SHAH ALAM - Penyanyi Jamal Abdillah akan tetap dibicarakan atas tuduhan mengugut isterinya, Fatimatuzahra Samad melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dua tahun lalu meskipun dua representasi agar tuduhan itu ditarik balik telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
Kedua-dua representasi dikemukakan Fatimatuzahra, 26, sendiri dan peguam Datuk Taqiyuddin Yahya yang mewakili Jamal pada tahun lalu.
Ketika prosiding, Penolong Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim berkata, pendakwaan ke atas Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidullah Ali, 48, akan diteruskan selepas kedua-kedua representasi yang dikemukakan isteri dan peguam penyanyi itu ditolak.
Bagaimanapun, Taqiyuddin memohon budi bicara mahkamah untuk memanggil pengadu iaitu Fatimatuzahra bagi bertanyakan sendiri sama ada dia bersedia menarik balik laporan ugutan tersebut atau tidak.
"Walaupun Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah beri kuasa kepada pendakwaan tetapi jika pengadu sendiri tidak bersedia untuk teruskan kes, mahkamah haruslah bertindak sebagai pengadil dengan bertanyakan kepada pengadu," katanya.
Siti Syakimah kemudiannya bangkit dan berkata: "Arahan adalah untuk teruskan perbicaraan dan mohon ditetapkan tarikh bicara."
Sehubungan itu, Majistret Norkamilah Aziz menetapkan 20 April ini sebagai tarikh bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: