Thursday, February 5, 2009

Keluhan hati Erma Fatima


ERMA sanggup pergi ke Palestin untuk menghulurkan bantuan walaupun perang sedang meletus.


PADA wajahnya jelas ada riak kekecewaan. Selepas diselidiki, rupa-rupanya pengiat seni tanah air yang dikenali dengan nama Erma Fatima sedikit terkilan dengan sikap karyawan seni tanah air.

Dia sebenarnya kecewa dengan sambutan golongan artis terhadap upacara solat hajat yang diadakan sempena Doa Buatmu Palestin baru-baru ini.

Upacara tersebut sepatutnya disertai ramai penggiat seni di Malaysia yang bukan sedikit jumlahnya, namun yang hadir hanya kira-kira 100 orang termasuk tetamu kenamaan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal.

"Saya amat gembira dengan perjalanan malam Doa Buatmu Palestin selama dua hari berturut-turut, cuma saya kurang berpuas hati dengan upacara solat hajat yang dibuat di lobi Istana Budaya.

"Sepatutnya solat hajat itu disertai oleh lebih ramai karyawan seni. Perkara ini amat menyedihkan saya. Yang saya lihat turut serta dalam solat hajat itu ialah Linda Onn dan Rabbani.

"Entahlah, saya tidak tahu ke mana perginya artis-artis lain termasuk generasi muda," luah Erma hampa.


RABBANI juga tidak ketinggalan memberi sokongan seratus peratus untuk majlis amal ini.


Melupakan seketika kedukaan yang dialami, Erma menjelaskan, dia berterima kasih kepada golongan selebriti yang turut meluangkan waktu menghadiri acara Doa Buatmu Palestin.

"Bayangkan, artis-artis yang hadir membuat persembahan tidak diberikan sebarang bayaran apatah lagi wang sagu hati, tetapi mereka tetap datang untuk membabitkan diri dalam majlis amal.

"Tiada sebarang keluhan kerana mereka beranggapan soal bayaran tidak menjadi keutamaan," tambah Erma yang bertindak selaku Pengerusi Doa Buatmu Palestin.

Diadakan selama dua hari, bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, setiap waktu terisi dengan pelbagai aktiviti seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, berzikir, selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.

Sebanyak 100 buah gerai dibuka di pekarangan Laman Santai yang juga disertai oleh artis-artis seperti Awal Ashaari, Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Julia Ziegler, Enot, Rubiah Suparman, Ayati Tasrip dan lain-lain.

Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Nur Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Umie Aida, Zahida Rafik, Rosyam Nor dan Vanidah Imran.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis seperti Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Aqasha, Salwa Abdul Rahman, Sarah Raisuddin, Ezlynn, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.


TIGA pendeklamator puisi kebangsaan, (dari kiri), Tengku Khalidah Tengku Bidin, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid dan ASP Rosebaini Kassim mendeklamasikan sajak mereka sambil diiringi petikan gitar, Asman Hashimie Abdullah.


Pereka-pereka fesyen tempatan seperti Albert King, Jovian Mandagie, Micheal Ong, Calvin Thoo, Radzuan Radziwill dan lain-lain turut hadir membuat jualan di gerai masing-masing.

"Semua hasil keuntungan barang yang dijual di gerai artis-artis dan sumbangan pengunjung dimasukkan terus ke dalam dana Tabung Kutipan Palestin.

"Pada hari pertama acara ini diadakan, saya telah mengutip derma sebanyak RM50,000. Dicampurkan dengan malam seterusnya, sumbangan keseluruhan yang diperoleh dianggarkan hampir mencecah RM100,000.

"Tiada yang lebih membahagiakan saya dengan jumlah wang yang diperoleh untuk tempoh dua hari.

"Saya bersyukur sangat sebab rancangan bagi menjayakan Doa Buatmu Palestin bersama-sama artis lain, berjaya menampakkan hasil yang membanggakan," tutur Erma teruja.

Buktikan artis turut prihatin

Sebenarnya Erma terpanggil untuk turut menjadi sukarelawan membantu rakyat Palestin yang dizalimi Zionis ekoran gurauan seorang teman.

Teman yang dimaksudkannya ialah Datuk Shazally Ramli yang menegaskan kepada Erma bahawa golongan artis tidak memiliki kekuatan untuk menjadi sukarelawan membantu penduduk Palestin.

Tidak menganggap gurauan itu sekadar satu usikan nakal, sebaliknya ia jadi pembakar semangat buat Erma untuk direalisasikan kepada khalayak bahawa selebriti juga mampu mempamerkan sumbangan jika diperlukan.


JAMAL mendendangkan lagu Seroja dengan penuh emosi.


Menurut Erma, pada awalnya dia terkejut dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom itu kononnya golongan artis sekadar melihat begitu sahaja konflik di Gaza tanpa dapat memberikan apa-apa sumbangan termasuk menjadi sukarelawan Malaysia ke Semenanjung Gaza.

"Saya sedar bukan senang untuk jadi seorang sukarelawan. Apabila sampai sahaja di negara itu, sudah pasti kita sendiri akan berasa terkejut melihat situasi sebenar.

"Berhadapan dengan realiti melihat insan termasuk kanak-kanak yang terbunuh dan cedera parah, kita tidak mampu untuk berdepan dengan situasi genting itu.

"Saya percaya tidak semua selebriti mementingkan diri, sebaliknya saya memiliki beberapa sahabat yang teruja untuk mengambil bahagian sebagai sukarelawan ke Semenanjung Gaza.

"Saya tidak terguris dengan kata-kata Shazally, sebaliknya saya anggap ia sebagai cabaran terbesar untuk saya membuktikan artis juga boleh menjadi sukarelawan," kata Erma semasa ditemui pada majlis itu.

Bukan calang-calang sumbangan, sebaliknya ia memerlukan sepenuh kekuatan mental dan fizikal apatah lagi mendalami perkara baru yang melibatkan soal korban nyawa dan insan mengalami cedera parah.

Mengimbas detik dia diusik oleh Shazally, Erma berkata, tokoh korporat itu sengaja mahu menyakat dirinya setelah dia menguar-uarkan tentang karnival kebajikan yang ingin dilaksanakan.

Barangkali naluri Erma yang penuh sifat kemanusiaan dan kesejagatan, terus tersentuh dengan usikan daripada rakan.

Lantaran itu, Erma mengambil keputusan untuk menubuhkan 'tentera' khas yang merupakan sukarelawan artis.

"Untuk permulaan, saya akan melatih jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan.

"Mereka yang bakal dilatih ini tidak hanya terhad membantu mangsa serangan Israel di Gaza, sebaliknya berperanan untuk memberi pertolongan jika ada bencana alam di negara sendiri.

"Saya akan cuba mendapatkan khidmat doktor pakar untuk melatih pasukan sukarelawan saya tentang langkah-langkah yang betul bagi memberi pertolongan cemas dan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam kekejaman di Gaza.

"Mudahlah sedikit kalau sudah ada sukarelawan sendiri yang dapat hulurkan bantuan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan keadaan," tegas Erma.

Ditanya masa yang sesuai untuk pasukan sukarelawan artis ditubuhkan, lekas sahaja jawab Erma: "Saya bakal melaksanakan perkara ini dalam tempoh terdekat.

"Saya mahu buang persepsi masyarakat tentang artis yang dikatakan hanya tahu jadi 'penyeri' jika menghadiri upacara berkaitan kebajikan ataupun sukarelawan."

Bukan gila publisiti

Bukan hanya mencari sukarelawan untuk dilatih, sebaliknya Erma sendiri menjadi orang pertama yang menawarkan diri bergelar sukarelawan.

"Saya sanggup pergi ke sana menghulur bantuan walaupun waktu itu wilayah itu sedang berperang," jelas Erma.

Mungkin ada yang berpendapat Erma hanya tahu mencanang dan beranggapan kata-katanya tidak lebih sebagai omongan kosong.


LAGAK Erra sewaktu mahu melelong koleksi baju miliknya.


Erma bagaimanapun pasrah dan akur dengan penilaian negatif manusia lain yang suka merendah-rendahkan dirinya.

"Jika masih ada sesetengah pihak yang mendakwa saya suka bercakap lebih, saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan kepada mereka.

"Cuba bagi bukti yang kukuh. Apa yang pernah saya cakap sebelum ini yang tidak direalisasikan?

"Saya berupaya menubuhkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang punya fungsi tersendiri dalam industri seni.

"Banyak perkara sudah saya lakukan dalam hidup ini. Lantas, tiada istilah saya hanya pandai cakap tanpa mengaplikasikan setiap pertuturan saya.

"Saya tidak gila publisiti murahan atau ingin dikenali sebagai individu yang suka cakap lebih, sebaliknya ini adalah tanggungjawab saya untuk mencari orang yang boleh menjadi sukarelawan.

"Kalau saya hendak publisiti, saya boleh laksanakan dalam pengarahan saya. Jadi tidak timbul langsung saya hendak publisiti," luah Erma dalam lontaran suara yang cukup tenang.

Erma mengakui, kalau dalam tahun 2009 masih belum terbentuknya kumpulan sukarelawan, maka wartawan berhak melabelkan dia sebagai individu yang suka cakap berlebihan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: