![]() |
Bunkface akui apa yang berlaku sekadar salah faham, akur tugas dan tanggungjawab media dalam membantu kerjaya muzik mereka
JALUR muzik indie yang menerjah ke arus perdana kini bukti atau evolusi bahawa negara kita tidak pernah ketandusan bakat tempatan. Aliran kreatif ini bergerak bebas dalam tempoh yang lama, namun bukan sehari dua nama mereka mula mekar seperti nasib penyanyi yang sedia ada.
Bagaikan sebuah keajaiban yang datang secara tiba-tiba tanpa diduga, populariti kumpulan indie seperti Estranged, Meet Uncle Hussain dan Hujan ini ditempa dalam kadar segera terutama sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Menambahkan trek profil kumpulan indie ini ialah melalui kemenangan yang dikecapi Estranged dan Meet Uncle Hussain dalam Anugerah Juara Lagu yang ke-22 dan 23. Kesungguhan bertahun-tahun kerja dan karya yang dihasilkan memberikan satu fenomena sekelip mata yang diibaratkan umpama magis.
Bunkface sebuah lagi kumpulan indie yang kian memahat nama menerusi lagu Situasi. Dianggotai empat orang anak muda berjiwa besar, percaturan merakamkan lagu Situasi dalam bahasa Melayu buat julung kalinya memberi impak yang cukup mengesankan.
Lagu itu meluncur laju di persada seni sejak Oktober tahun lalu sehangat kisah mereka yang dilabelkan kononnya sebagai ‘kekwat’ dan sukar untuk memberi kerjasama dengan media termasuk dikatakan mempunyai masalah dari segi sikap. Lebih sinikal lagi apabila kumpulan yang ditubuhkan secara rasmi sejak 2006 ini dihimpit dengan tuduhan tidak memerlukan media.
![]() |
| LAGU Situasi menjadi pengenalan awal meledakkan nama Bunkface. (Dari kiri) Youk, Sam dan Paan. |
Turut terpalit sama ialah Zara Ismail yang dipertanggungjawabkan menguruskan Bunkface apabila tindakannya menolak permintaan rakan wartawan yang ingin menemubual di sebuah majlis. Perlambangan ini sekali gus mengukuhkan lagi cerita yang mengatakan pemuzik indie ini digambarkan sebagai bermasalah, agresif dan mementingkan diri sendiri. Paling teruk, ada yang mengandaikan golongan seperti mereka terarah kepada perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah.
“Kami bersih dari benda kotor itu. Apa yang terjadi semuanya adalah salah faham yang tidak terduga dan ini semua lebih mematangkan kami untuk berdepan dengan dunia realiti dan media. Kami sudah menjelaskan perkara yang sebenar dan harap ia menjadi pengajaran terbesar untuk kami meneruskan perjuangan Bunkface. Kami melalui fasa kejutan budaya daripada ‘underground’ dan kemudiannya ke arus perdana. Kami masih baru.
“Peranan media tidak kami sangkal lagi dalam menaikkan nama artis dan sangat penting untuk kami. Kami tidak ‘kekwat’ dan menghormati semua pihak. Malah peminat pun kami anggap sudah seperti teman. Kami hanya menjadi diri sendiri dan tidak sesekali melupakan asal usul,” kata Sam selaku vokalis Bunkface lewat pertemuan dengan Hip baru-baru ini.
Fotografi sulung kumpulan ini bersama Berita Harian hanya dihadiri tiga orang saja iaitu Sam, Paan (gitaris utama) dan Youk (pemain bes) manakala pemain dram mereka iaitu Biak tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen pengajian Kejuruteraan Sivil di Politeknik Sabak Bernam. Malah Paan, 22, atau nama sebenarnya Ahmad Farhan Hashim juga menuntut jurusan muzik di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan). Begitu juga dengan Youk (Muhammad Farouk Jaafar), 20, pun menuntut di dalam bidang yang sama di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
![]() |
| GELAGAT Bunkface dan artis seberang, Adinia Wirasti dalam program AMP Around Asia yang akan menemui penonton Channel (V) Sabtu ini. |
Hanya Sam (Shamsul Annuar), 21, saja yang sudah bekerja membantu perniagaan ayahnya mengurus dan mengemaskini akaun. Perkenalan mereka mula berputik sejak di bangku sekolah lagi dan habis belajar mereka mula membentuk kumpulan Bunkface. Sering menyertai gig ikutan remaja masa kini, mereka sepakat memulakan langkah awal menyertai pertandingan Blast Off anjuran Hitz.tv pada 2006.
“Cuma rezeki tidak menyebelahi kami dan tersingkir di pusingan ketiga. Kami pun tidak menjangka muzik yang kami perjuangkan secara suka-suka dan sekadar hobi mengisi masa lapang pada mulanya menjadi serius. Bagi kami, bidang pelajaran masih menjadi keutamaan demi sebuah masa depan yang cerah dan muzik ini sebagai satu medium untuk kami menghiburkan orang yang boleh ‘layan’ muzik kami.
“Kami sendiri tidak menjangka Situasi menjadi karya kemuncak yang meledakkan nama Bunkface biarpun awalnya kami sudah memiliki album EP memuatkan enam buah lagu berbahasa Inggeris. EP itu berjudul Lesson Of The Season dan lagu Silly Lilly memberikan pengenalan kepada kehadiran Bunkface. Bagaimanapun ia tidak sehebat lagu Situasi yang kami hasilkan sebagai pengenalan untuk album penuh akan datang memuatkan tiga lagu berbahasa Melayu dan tujuh lagu berbahasa Inggeris,” celah Paan yang memberitahu album penuh itu nanti bakal memuatkan lagu bonus, Silly Lilly.
Latar belakang keluarga terutama Sam yang dilahirkan dalam keluarga campuran mungkin antara faktor yang memperlihatkan genre muzik mereka. Pengaruh atmosfera muzik kumpulan Green Day, Good Charlotte, Sum 41 dan Fall Out Boys menjadi nadi kepada kebangkitan pop punk yang diperjuangkan. Falsafah muzik mereka dilahirkan di dalam hati tanpa dikawal sesiapa dan sebolehnya biarlah idea muzik itu lebih segar serta senang menangkap.
Kejayaan pejuang muzik indie terdahulu tidak pernah dilupakan bahkan dijadikan penanda aras untuk mereka meneruskan legasi entiti muzik ini dengan penuh semangat. Malah melihat kepada permasalahan yang timbul ke atas Meet Uncle Hussain dan Hujan contohnya diambil sebagai iktibar untuk memastikan hayat Bunkface terus kekal selagi terdaya.
“Saya sendiri lebih terarah kepada komposisi muzik berbahasa Inggeris. Kami juga bersikap terbuka dengan mendengar semua genre muzik semua negara seperti Indonesia dan Malaysia. Ini proses pembelajaran kami untuk menerima dan menyerap segala jenis bentuk muzik. Kami belum cukup bagus lagi cuma janji kami akan terus memberikan muzik berkualiti dan menaikkan nama industri seni kita. Kami juga mendapat sokongan penuh daripada keluarga.
“Kami juga terbuka dalam hubungan sesama anggota dan semuanya dilayan seperti ahli keluarga. Kami berbangga dengan kejayaan pejuang indie seperti Meet Uncle Hussain dan Hujan. Takkan ada yang baru kalau tiada yang lama. Demi memastikan kami dapat mengekalkan jenama Bunkface dan mengelak berlakunya perpecahan, kami akan cuba berbincang dan mengkaji kekurangan yang ada,” kata Sam yang akan bersama-sama dengan kumpulannya mengikuti Hot FM Big Jam 2009 di Danga Bay, Johor 1 Mac ini.
Info Bunkface
Lirik Situasi
Diskriminasi menjatuhkan aku
Reputasi kini menjadi bisu
dan aku, ku layu
di situ
Mengharapkan sesuatu yang baru
itulah impian aku
korus
Dan bila kau menghilang
Musnahlah, musnah impian
Tuk menggapai bintang
Terangi hidup ku
Ku mahu kau tahu
engkaulah, destinasiku
dalam ingatanku.. oh oh oh…
Kerana diri ini tak daya lagi
menempuh hidup yang ku temui
dan aku, ku tunggu... oh oh oh
di situ
Mengharapkan sesuatu yang baru
itulah impian aku
Lirik Lagu Situasi - Bunkface
Profil Sam
Profil Youk
Profil Paan



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: