Sunday, February 1, 2009

Irma serasi bersama Nabil





Hubungan dengan Raja Lawak 2 bukan lagi rahsia namun masih terlalu awal untuk mengklasifikasikan keserasian yang semakin terjalin

HAMPIR lima tahun pembabitan Irma dalam industri hiburan, perjalanan seninya diperhatikan agak perlahan, berbanding artis baru lain seperti Fouziah Gous, Diana Danielle mahupun Sharifah Norazean atau Scha mereka semakin rancak menempa nama dan populariti. Perkara ini diakui Irma sendiri apabila mendapati karier rakan artis yang lebih junior daripadanya, terus melonjak dan mendapat perhatian ramai.

“Pada awal pembabitan saya dalam bidang seni, saya bermula dengan ‘zero’, tak ada pengalaman, jadi saya kurang mendapat kepercayaan pengarah mahupun penerbit. Walaupun semakin hari saya cuba memperbaiki mutu lakonan, pendakian menuju ke puncak masih perlahan sekalipun tawaran lakonan tak pernah putus. Justeru, saya tak tahu di mana silapnya, mungkin nasib dan rezeki belum benar-benar memihak kepada saya.

“Selain itu, saya juga kurang pendedahan cerita kontroversi yang menjadi perhatian media dan orang ramai. Macam mana nak ada kontroversi, dah memang saya tak suka kontroversi, selain mengelak diri daripada terbabit kisah sensasi yang boleh diperbualkan. Saya akui, kontroversi dan cerita sensasi sedikit sebanyak membantu karier seni seseorang artis, namun ia sekadar faktor tempelan.



“Tapi, kontroversi atau kisah peribadi artis yang keterlaluan, sebenarnya tidak begitu sihat dan lebih parah sekiranya ia mengatasi karier. Namun, saya bersyukur, sekalipun karier berjalan agak perlahan tanpa sebarang kontroversi yang boleh dicanang, saya masih mampu mengharungi dunia seni hingga hari ini, yang penting kesabaran dan ketekunan,” kata Irma.

Sejak kisah putus cintanya dengan aktor kacak dan pengarah muda, Farid Kamil mendapat liputan media massa sedikit masa lalu, Irma masih belum menemui cinta baru sehinggalah pertengahan Januari lalu, namanya kembali menjadi sebutan apabila dia dikatakan menjalin hubungan rapat dengan juara Raja Lawak 2, Nabil.

“Kisah yang saya anggap terlalu peribadi itu bukan saya minta digembar-gemburkan. Tapi, sebagai seseorang yang tidak terikat dengan sesiapa, tiada komitmen, saya juga berhak untuk berkawan dengan sesiapa saja, termasuklah Nabil. Kalau saya tak berkawan, jawabnya tak kahwinlah saya sampai bila-bila. Justeru, kisah saya berkawan dengan Nabil, akhirnya mampu dihidu pihak wartawan, saya mengalah.

“Saya akui, ketika ini saya memang berkawan rapat dengan Nabil. Kami saling mengenali ketika terbabit dengan penggambaran sitkom Gegar Gitu Raya, tahun lalu. Hingga hari ini, keserasian antara kami semakin kelihatan,” kata Irma berterus-terang.

Pun begitu, sebelum ini Nabil dikatakan berkawan rapat dengan seorang pelajar kolej dan mereka pernah dilihat menghadiri Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) di Putrajaya, sekitar Ogos tahun lalu.

“Pada saat awal perkenalan kami, Nabil memberitahu saya, dia solo, tidak ada komitmen dengan sesiapa. Apabila dia membuat pengakuan begitu, saya berasakan tidak ada masalah apabila keluar dengannya. Namun, selepas tersiarnya nama Myra di media massa, pelajar kolej yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini, Nabil mengaku antara dia dan Myra, mereka sekadar kenalan biasa.


“Kebetulan, saya mula mengenali Myra ketika dia menjadi seorang tenaga kerja yang terbabit dalam penggambaran filem Dua Hati Satu Jiwa. Apabila berkesempatan bertemu Myra di lokasi penggambaran, saya tidak pernah bertanyakan kepada Myra mengenai persahabatannya bersama Nabil sebelum ini kerana Nabil sudah menjelaskan segala-galanya,” terang Irma lagi.

Akui hubungan pada peringkat awal

MENGENAI gosip yang tersebar di B*Pop sebelum ini, peminat mendakwa melihat kelibat Nabil dan Irma bersama seorang bayi sedang makan malam di Mutiara Damansara, Irma tidak menafikan perkara itu sebaliknya memberitahu, Nabil menolak kereta sorong bayi, anak angkat perempuannya apabila mereka makan malam di The Curve.

Irma juga dikatakan pernah berada di dalam kereta Nabil apabila dia menemani pelawak popular itu di lokasi penggambaran filem terbaru lakonannya, Kecoh Betul, baru-baru ini. Di samping itu, Irma pernah dilihat memandu kereta Nabil memasuki perkarangan Sri Pentas TV3, tidak lama dulu. Apa komen Irma mengenai dakwaan ini?

“Apa yang mampu saya katakan lagi, perkara itu memang berlaku dan saya tidak menafikannya,” kata Irma sedia berterus-terang.

Justeru, hubungan rapat mereka bukan satu rahsia lagi, namun adakah kedua-duanya masih ingin menyembunyikan perasaan cinta yang sebenarnya sedang dibaja itu?

“Sekalipun kami berkawan rapat, hubungan ini masih di peringkat awal untuk saya mengklasifikasikan ia berada di tahap mana - bercinta, berkasih sayang atau sekadar teman baik, masih samar-samar. Saya ada pengalaman putus cinta sebelum ini, justeru hubungan yang terjalin antara saya dan Nabil, saya hanya membiarkannya berjalan mengikut arus, just follow the flow.

“Andai persahabatan ini semakin serius, alhamdulillah. Tapi kalau kami ditakdirkan hanya selesa sebagai kawan baik saja, saya terima segala ketentuan ini seadanya,” kata Irma yang menyerahkan untung nasib perkenalannya bersama Nabil di tangan Tuhan.

Nabil akui sayangi Irma

DALAM pada itu, ada desas-desus mendakwa Irma adalah orang ketiga dalam perhubungan Nabil bersama Myra sebelum ini. Sejauh mana Irma menerima kenyataan itu?

“Saya difahamkan oleh empunya diri (Nabil), dia tak pernah bercinta pun dengan Myra, mereka sekadar kawan baik. Justeru, macam mana nak kata saya orang ketiga dalam perhubungan mereka?,” soal Irma, sekali gus memperbetulkan dakwaan negatif terhadap dirinya.

Andai kata dalam masa Nabil dan Irma berkawan rapat, tiba-tiba saja Nabil cuba mendekati gadis lain, bagaimana Irma menerimanya?

“Saya tak mampu menghalangnya kerana Nabil berhak berkawan dengan sesiapa saja,” kata Irma ringkas.

Sementara itu, Nabil yang dihubungi ketika dia masih menjalani penggambaran filem, Momok The Movie di Temerloh, Pahang minggu lalu, mengakui antara dia dan Myra hanya berkawan baik, tidak ada hubungan istimewa antara mereka sebelum ini.

“Saya tidak pernah mengaku bercinta dengannya, jadi macam mana nak kata kami putus cinta? Sekalipun saya berkawan dengan Irma, namun hingga hari ini saya masih berhubungan dengan Myra. Kami tidak pernah bergaduh. Irma dan Myra kedua-duanya kenalan baik saya. Saya masih bujang, jadi tak salah saya berkawan dengan ramai orang. Cuma ketika ini, saya lebih rapat dengan Irma.

“Justeru, isu saya meninggalkan Myra tak pernah timbul. Saya juga tidak bersetuju apabila mendakwa Irma adalah orang ketiga kerana antara saya dan Myra, kami tak pernah bercinta,” kata Nabil yang mengakui Myra masih menuntut di Universiti Limkokwing, Cyberjaya.

Selepas puas dipujuk, akhirnya Nabil mengaku juga dia sebenarnya menyayangi Irma, biarpun ketika ini hubungan mereka masih di peringkat awal.

INFO: Irma Hasmie

  • NAMA PENUH: Irma Hasmie Ibrahim
  • TARIKH LAHIR: 8 Januari 1982
  • ASAL: Kuala Lumpur
  • KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
  • DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Pakistan, Cina)
  • PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur
  • KOMERSIAL: Pringles, Maxis, Yamaha dan Fair & Lovely
  • DRAMA: Awan Dania, Lima, Hantu Raya, Duda & Dara dan Rahsia Gambar
  • FILEM: Dua Hati Satu Jiwa, Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Bujang Senang dan Diva
  • PROGRAM TV: Chopp! (TV9), Roda Impian (Astro) dan Fesyen Lebaran (RTM)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: