BANYAK sungguh Cik Normah dengar rungutan mengenai seorang pelakon wanita seksi ini. Dulu pernah seorang penerbit mengeluh mengenai disiplin pelakon yang baru hendak kenal makna popular itu. Selalu sangat dia buat hal hingga menyusahkan banyak pihak lain. Mahu tak mengamuk penerbit berkenaan apabila artis ni selalu datang set sesuka hati. Seolah-olah produksi itu dia yang punya.
Sangka Cik Normah selepas ditegur, dia akan insaf. Rupanya tidak. Sebaliknya sikap ikut angin itu semakin menjadi-jadi. Baru-baru ini, dia buat hal dengan teman Cik Normah pula. Berpeluh teman Cik Normah menunggu dia datang ke set fotografi. Jarinya pun dah naik lenguh mendail nombor telefon bimbit, namun artis ni buat tak peduli saja.
Hendak dibatalkan sesi fotografi, serba salah teman Cik Normah kerana penaja sudah sedia menanti. Mahu atau tidak, terpaksa ditebalkan mukanya menghadap penaja berkenaan. Iyalah, penaja fotografi itu pula bukan calang-calang kerana mereka begitu dihormati kerana statusnya sebagai konglomerat gergasi. Sudah tentu teman Cik Normah gelisah apabila artis tu buat perangai.
Teman Cik Normah tak kisah kalau artis tu tak hormat diri dan kerjayanya sendiri. Tetapi yang buat dia berkecil hati, artis yang hanya gah dengan kisah cinta itu juga tidak pandai menunjukkan rasa hormat kepada orang lain. Sudahlah lewat beberapa jam, siap diperlinya teman Cik Normah kenapa datang awal.
Dah sampai, teman Cik Normah ni terpaksa menunggu lagi kerana dia belum bersolek. Sudahlah tu, dikerahnya teman Cik Normah supaya segera menghabiskan sesi fotografi. Dia ingat dia siapa? Sebut nama pun belum tentu semua orang kenal, sudah mula berangan seperti bintang Hollywood.
Kalau begini gayanya, nampaknya tak ke manalah pelakon yang bagi Cik Normah cuma sekadar penyendal industri hiburan. Ada pun tidak memberi apa-apa kesan. Takkan nak harap kisah cinta dan fotonya yang gemar menayang tubuh saja menjadi santapan peminat. Gelilah Cik Normah! Nak saja Cik Normah kasi cermin muka supaya dia dapat muhasabah dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: