QUE dibantu Pengarah Urusan Lord's Tailor, Robert Loh ketika sesi suai padan sut yang bakal digayakan untuk majlis persandingannya. |
Linda Jasmine temani Que Haidar di butik Lord's Tailor yang menaja persalinan sempena hari bahagia mereka
MAGIS cinta menyatukan dua jiwa berbeza latar, mengikat kasih yang saling berjanji untuk melengkapi antara satu sama lain saat tangan dijabat melafazkan ikrar sehidup semati.
Menanti detik 14 Februari untuk disatukan sebagai suami isteri mengundang pelbagai rasa kepada aktor, Que Haidar dan koreografer popular, Linda Jasmine.
Sukar untuk menterjemahkan segala rasa yang berperang di sudut hati mereka dalam bentuk perkataan, namun yang pasti kata Que, debaran mula bertandang selepas dia menjayakan penggambaran sebuah drama.
“Sebelum ini jika ada yang bertanya perasaan saya, tiada apa yang berbeza. Tetapi semua itu berubah selepas saya menjayakan penggambaran sebuah drama di masjid.
“Ketika penggambaran, ada satu upacara akad nikah dijalankan di masjid berkenaan membuatkan saya segera terbayang bagaimana keadaan apabila menjabat tangan kadi nanti.
KELIRU memilih kafling bersesuaian untuk dikenakan dengan sut yang dipakai Que. |
“Semuanya bercampur baur ketika ini - berdebar, teruja, seronok dan memikirkannya membuatkan saya gelisah memikirkan hari mendatang,” kata Que yang ditemani bakal isterinya ketika ditemui pada sesi suai padan pakaian di Lord’s Tailor, Bangsar, petang Selasa lalu.
Perasaan yang sama turut dirasai Linda yang mengakui, hatinya tidak tenteram selagi segala perancangan diatur belum selesai.
Tiada lain yang diimpikan kecuali majlis pernikahan dan persandingan yang akan berlangsung di Bora Ombak, Ampang, bermula jam 5 petang itu berlangsung sempurna.
“Semakin hampir acara, makin banyak persiapan yang perlu dilakukan. Memang agak terkejar-kejar namun saya bernasib baik kerana pengalaman sebagai koreografer banyak membantu saya untuk bertenang menanganinya.
KAD undangan direka khas oleh sepupu Linda, Jeslina Hashim. |
“Pelbagai perkara yang bermain dalam fikiran kerana saya mementingkan kesempurnaan. Namun, saya sedar ada kalanya saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.
“Justeru, saya berusaha memberikan yang terbaik bersama harapan supaya semua hadir akan berkongsi kebahagiaan kami pada malam itu,” katanya.
Perancangan awal, mereka mahu mengadakannya secara sederhana dan ringkas. Cukup jika selepas diijabkabulkan, mereka meraikan sanak saudara menikmati hidangan makan malam di restoran terpilih.
Bagaimanapun, perancangan itu berubah apabila keluarga mahu melihat mereka berdua disandingkan. Untuk tidak menghampakan permintaan keluarga, hasrat itu mereka tunaikan.
“Alhamdulillah, semua yang besar sudah diselesaikan cuma sekarang tinggal beberapa perkara kecil untuk diberi perhatian kerana mahu memastikan tetamu selesa pada hari itu,” katanya.
Akui Que, menjelang tarikh pernikahan jadual hariannya agak padat apatah lagi masih terikat dengan penggambaran telefilem sehingga 11 Februari ini.
Justeru, kebanyakan persiapan terpaksa diuruskan Linda sendirian membuatkan Que kagum dengan ketabahan dan kekuatan bakal isterinya.
“Saya tahu ada ketika Linda tertekan untuk memastikan semua persiapan sempurna seperti yang diimpikannya. Cuma telefon menjadi pengerat hubungan, tempat Linda mengadu dan mencurah rasa hatinya.
“Dalam hal ini kami banyak bersabar. Perjalanan menempuh alam baru bukan sesuatu yang mudah, jadi saya sentiasa mengingatkan diri supaya tenang dalam menempuh dugaan,” katanya.
Linda yang sudah empat tahun berpisah dengan bekas suaminya menyifatkan dirinya bertuah kerana sejak berusia 14 tahun dia mula hidup berdikari.
Ketika teman sebayanya enak menikmati alam remaja, Linda pula memikul tanggungjawab sebagai guru tari di kelas seni persembahan.
“Mungkin kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu membuatkan saya selesa berdikari dalam menguruskan pelbagai hal.
“Ia tidak pernah membuatkan saya berasa terbeban kerana itu adalah tanggungjawab. Cuma sekarang saya berasa agak tenang dan lega kerana Que sentiasa ada untuk berkongsi segala masalah yang saya lalui,” katanya, sesekali tersenyum manja kepada bakal suaminya.
Majlis pernikahan mereka berlangsung ringkas tanpa sebarang hantaran, sebaliknya Que cuma memberikan Linda mas kahwin, senaskhah Al-Quran dan sebentuk cincin.
Bisik Linda berulang kali, dia begitu bimbang jika majlis yang dianjurkannya itu tidak menyenangi hati sesetengah pihak.
“Saya risau jika ada yang terasa hati apabila tidak menerima undangan daripada kami berdua. Saya minta maaf kepada mereka yang tercicir namanya.
“Banyak yang difikirkan ketika ini membuatkan ada ketika kami berdua terlupa. Pinta saya dan Que, doakan perkahwinan kami berjalan sempurna kerana hanya itu yang kami harapkan,” kata Linda yang akan menggayakan rekaan Datuk Sharifah Kirana pada majlis pernikahan, manakala persandingan pula disediakan Syaiful Bahrim dan Calvin Thoo.
Tak sangka bertemu jodoh
MEMBESAR dalam dunia berbeza, Que menghabiskan alam kanak-kanaknya di kampung manakala Linda pula membesar di kota raya yang mencabar membuatkan mereka tidak terfikir akan bertemu jodoh.
Saat diperkenalkan, langsung tidak terfikir mereka akan bertemu jodoh dan mengakhiri cinta yang mula serius terjalin dengan ikatan perkahwinan.
“Dulu Linda selalu kutuk saya, malah sewaktu diperkenalkan oleh teman kami beberapa tahun lalu dia pantas berkata, tidak.
“Tetapi itulah kuasa Tuhan, akhirnya kami bertemu jodoh. Perbezaan mengeratkan kami berdua biarpun pada mulanya saya sendiri takut untuk meluahkan perasaan,” kata Que.
Mengahwini Linda juga bermakna Que akan menggalas tanggungjawab sebagai bapa kepada cahaya mata lelaki kesayangan guru tari itu, Qalif Khan hasil perkahwinan terdahulunya.
Ditanya mengenainya, anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu berkata, dia sudah bersedia untuk memainkan peranan sebagai ketua keluarga.
“Kalau Linda tidak mempunyai anak pun, kami akan dikurniakan cahaya mata juga. Jadi proses itu sama saja dan saya tetap akan menggalas tanggungjawab itu.
“Kalau takut, saya tidak akan bersedia untuk menikahi Linda,” katanya.
Info
Majlis pernikahan Linda Jasmine, Que Haidar
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: