Friday, February 6, 2009

Kagumi semangat penduduk Palestin


Nurul Syuhada di Semenanjung Gaza

Sembilan hari bermastautin di Semenanjung Gaza banyak menginsafkan pengacara dan kru Majalah Tiga

TANGGAL 19 Januari lalu mencatat sejarah peribadi buat pengacara jelita ini. Jika selama ini dia hanya melihat segala kisah sedih, penderitaan, kemusnahan, kekejaman yang berlaku hanya menerusi akhbar dan kaca televisyen, namun pada tarikh yang bersejarah itu, semuanya kini terbentang di depan mata.

Berpeluang menjejakkan kaki di bumi yang baru bermandikan darah iaitu Palestin, baru-baru ini atas nama bertugas, perantara program Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain lebih mengenali erti sebuah kehidupan.

Sembilan hari bermastautin di lokasi yang menjadi perhatian dunia itu, banyak perkara yang dipelajari Nurul. Bukan sekadar kesan akibat peperangan, tetapi diberi kesempatan melihat betapa kentalnya semangat juang penduduk Palestin yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta.

“Saya kagum semangat yang ditunjukkan mereka. Walaupun dilanda perangn namun situasi itu sedikit pun tidak melemahkan semangat mereka untuk terus berjuang mempertahankan maruah diri dan negara.

“Bagi mereka, mati kerana mempertahankan negara adalah mati syahid dan mereka bangga dengan perkara itu,” ujar Nurul yang baru pulang membuat liputan di Semenanjung Gaza untuk program Majalah Tiga hujung Januari lalu.



Berpeluang berbicara dengan penduduk di situ, jelas Nurul membuka lebih banyak ruang untuknya mengenali sikap mereka yang positif dan kecekalan mereka dalam menghadapi dugaan.

“Bagi Nurul sendiri, kalaulah perkara itu (perang) terjadi di negara kita dan diri kehilangan insan tersayang, memang tak dapat nak dibayangkan macam mana sedihnya perasaan ini.

“Lebih mengagumkan sehari selepas gencatan senjata berlaku, mereka terus menjalankan tugas seperti biasa, berniaga untuk membina semula kehidupan yang dihancurkan pihak Israel. Biar susah macam mana pun, mereka tabah meneruskan kehidupan,” imbas Nurul yang hadir di Balai Berita, Rabu lalu untuk berkongsi pengalaman sewaktu berada di Gaza sambil ditemani Penolong Penerbit Majalah Tiga Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Bercerita mengenai tugasannya, Nurul berkata, bukanlah satu tugas mudah apatah lagi inilah kali pertama dia berada di lokasi yang baru saja dilanda peperangan. Namun dengan semangat serikandi, Nurul sanggup mengetepikan semua itu atas nama kemanusiaan sejagat.

NURUL sempat memberikan gula-gula kepada kanak-kanak Palestin.

“Masa mula-mula diberitahu yang Nurul akan ditugaskan membuat liputan di Gaza, perasaan bimbang mula menguasai diri. Iyalah, inilah kali pertama Nurul akan berada di bumi yang baru saja dilanda perang, pasti suasananya nanti berbeza dengan mana-mana lokasi yang pernah Nurul kunjungi sepanjang mengacarakan program ini.

“Malah, keluarga Nurul sendiri juga bimbang dengan keadaan Nurul di sana nanti. Tapi mengenangkan peluang datang hanya sekali dan Nurul teringin mencuba sesuatu yang belum pernah Nurul lakukan, maka Nurul kuatkan semangat untuk menerima tawaran itu.

“Masa rakaman dijalankan, Nurul sendiri masih teragak-agak bagaimanakah cara yang sesuai untuk menyampaikan laporan kesan peperangan. Bagaimana intonasi suara, bentuk skrip, gerak gaya supaya tidak terbawa-bawa cara biasa sewaktu Nurul menyampaikan cerita yang bukan mengenai kisah peperangan.

“Maklumlah, ini adalah pertama kali Nur berada di kawasan peperangan. Tetapi penolong penerbit, Shahnun banyak memberi tunjuk ajar supaya rakaman berlangsung dengan jayanya,” cerita Nurul sambil memberitahu penampilannya juga berbeza dalam program itu nanti kerana tidak sempat untuk mengenakan mekap.

Adat berada di kawasan seperti itu, pastinya pelbagai cabaran yang menanti dan bagi Nurul, soal keselamatan diri adalah cabaran paling utama.

“Sebelum bertolak ke sini lagi kami sudah diberitahu yang kami hanya diinsuranskan setakat di Kaherah saja. Sebaik saja memasuki sempadan, semuanya atas diri sendiri. Jadi sepanjang membuat liputan, Nurul kena ambil kira juga soal keselamatan.

“Syukur sepanjang kami berada di sana tidak ada apa yang berlaku. Tuhan permudahkan perjalanan kami dan Alhamdulillah, kami dapat apa yang kami mahukan. Tunggu saja paparan dua episod perjalanan kami di sana nanti,” ujar Nurul teruja.

Temui kejadian misteri

SEPANJANG berada di sana, banyak perkara yang mencuit hati wanitanya. Menyaksikan wajah kanak-kanak yang kehilangan insan tersayang, membuatkan perasaan simpatinya melimpah ruah sehingga mengalirkan manik jernih di pipinya.

“Sedih melihat keadaan mereka. Mujur juga Nurul ada bawa tiga kotak coklat, jadi sepanjang membuat liputan tu, Nurul berilah coklat kepada mereka. Macam Santa Claus,” seloroh Nurul sambil tertawa.

Begitupun, pengacara yang dicungkil bakatnya menerusi program Pengacara Jemputan Nona ini sempat juga menceritakan mengenai kejadian misteri yang sehingga kini masih lagi menghantui fikirannya.

“Sewaktu berada di ibu pejabat polis yang mana terdapat 250 orang yang mati syahid akibat dibedil, saya ada menemui tulang jari yang masih terlekat cebisan daging. Masa jumpa tu, Nurul masih tak pasti apakah benda itu dan tiba-tiba Nurul mengambil tulang itu dan menciumnya.

“Apabila mendapat tahu yang tulang itu adalah tulang manusia, Nurul memang terkejut sangat. Cuma yang menghairankan, tulang itu tidak berbau langsung. Lazimnya kalau cebisan mayat memang berbau. Inilah kuasa Tuhan dan ini juga adalah ciri-ciri mereka yang mati syahid,” cerita Nurul sambil memberitahu tulang itu kemudian dikebumikan dengan sempurna oleh kru Majalah Tiga serta anggota Dewan Pemuda Masjid yang turut bersama-sama mereka ketika itu.

Sementara itu, untuk liputan di Gaza ini, Shahnun berkata, sebanyak dua episod akan disiarkan dengan objektif memberi gambaran kepada penonton apakah yang berlaku kepada bumi Palestin itu selepas perang.

“Dalam episod pertama yang akan disiarkan malam esok, kami akan paparkan kecekalan rakyat Palestin berdepan dengan situasi peperangan dan bagaimana mereka bangkit semula selepas peperangan. Sementara untuk episod kedua, kami akan menyiarkan rakaman pengalaman suka dan duka kami sebelum dapat menjejak bumi Gaza itu,” jelas Shahnun sambil memberitahu selain mereka berdua, rombongan itu terdiri daripada seorang jurukamera TV3, dua kru berita TV9 serta dua wartawan daripada kumpulan NSTP dan seorang jurugambar.

INFO

Episod pertama akan disiarkan malam esok, Sabtu jam 9 malam di TV3, manakala episod kedua akan menyusul pada 14 Februari pada hari dan waktu yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: