Monday, November 2, 2015

Wanita Mualaf Dakwa Tak Tahu Hak, Bantuan Zakat




Gambar hiasan.
PETALING JAYA: Seorang wanita mualaf yang hanya mahu dikenali sebagai Rose Abdullah mendakwa tidak pernah menerima agihan asnaf bagi tempoh had panggilan sepanjang lima tahun bergelar saudara baharu.
Malah, Rose Abdullah, 34, mendakwa tidak pernah dimaklumkan mana-mana pegawai majlis agama negeri mengenai hak dan bantuan yang layak diterima saudara baharu.
"Ada rakan mualaf saya yang maklumkan mereka dapat bantuan RM1,500 sebaik memeluk Islam.
"Tapi dalam tempoh 10 tahun memeluk agama Islam, seingat saya, tiada sebarang bantuan diterima," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Ibu kepada empat anak itu berkata, walaupun tidak menerima sebarang bantuan, segala urusan pada tahun pertama bergelar mualaf sentiasa dipermudahkan.
"Benarlah kata orang, Islam itu indah dan mudah. Walaupun tiada bantuan diterima, saya ada terima sumbangan dari rakan-rakan di kolej tempat saya mengajar.
"Sebelum memeluk Islam, saya berdoa agar urusan saya dipermudahkan. Tiga bulan sebelum bergelar mualaf, saya mendapat tawaran kerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta," katanya.
Wanita berasal dari Sarawak ini juga bersyukur kerana mendapat sumbangan RM50,000 daripada seorang individu yang berniat membantu urusan majlis perkahwinannya.
"Alhamdulillah ada yang sudi membantu. Pada awalnya agak terkejut juga kerana tak sangka jumlah yang diterima terlalu banyak. Saya percaya itu rezeki daripada Allah," katanya.
Berdasarkan pengalaman yang dilaluinya, Rose yang kini bergelar suri rumah berharap agar majlis agama negeri mengkaji semula sistem pengagihan bantuan kepada mualaf yang layak supaya ia diseragamkan.
"Pihak majlis agama islam negeri perlu mencari jalan alternatif untuk mengenal pasti permasalahan yang dihadapi golongan ini.
"Jangan sampai kami pertikaikan ke mana hala tuju dana yang sepatutnya diagihkan kepada kami. Tolonglah teruskan berhubung dengan saudara baharu, ambil tahu mengenai nasib dan hala tuju kehidupan mereka hari ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: