Sunday, November 1, 2015

Sedia lepaskan James Bond?


Sedia lepaskan James Bond?

WATAK James Bond sememangnya telah melonjakkan nama aktor kacak, Daniel Wroughton Craig atau nama pentasnya, Daniel Craig.
Bahkan, kemunculannya sebagai ejen perisik fiksyen paling popular dalam sinema dunia itu juga dilihat telah membawa satu revolusi baharu.
Biarpun ‘pelantikannya’ sebagai ejen perisik 007 mencetuskan kontroversi pada awalnya, Craig bagaimanapun berjaya menutup dengan persembahan cemerlangnya dalam tiga filem James Bond iaitu Casino Royale (2006), Quantum Of Solace (2008) dan Skyfall (2011).
Malah, keupayaan pelakon berusia 47 tahun itu menerajui watak ciptaan penulis terkenal, Ian Fleming turut mendapat pujian daripada aktor veteran, Roger Moore menerusi bukunya, Bond On Bond.
Moore juga pernah memainkan watak James Bond dari tahun 1973 hingga 1985 sekali gus diiktiraf sebagai Bond Terbaik berdasarkan anugerah dan penjurian yang dilakukan melalui undian oleh Anugerah Akademi pada 2004.
Bagaimanapun, selepas hampir sedekad digambarkan sebagai ejen 007 yang berwibawa, Craig mengakui tidak sabar untuk meletakkan senjata dan menggantungkan sut mewah yang dipakainya selama ini.
Dalam satu temu bual dengan majalah Time Out, aktor kelahiran England itu ditanya sama ada masih mahu bermain watak utama dalam filem penyiasatan terkemuka itu.
Sebagai jawapan, Craig memberitahu sudah tidak sanggup walaupun sekali sahaja lagi berlakon sebagai James Bond.
“Saya sanggup pecahkan kaca dan memotong pergelangan tangan menggunakan kaca daripada terlibat lagi dengan filem tersebut.
“Tidak buat masa ini, mungkin tidak sama sekali. Saya telah selesai dan apa yang saya mahu buat ialah melakukan sesuatu yang lain pula,” katanya.
Craig yang bakal muncul dalam francais terbaru James Bond, Spectre bagaimanapun sanggup mempertimbangkan tawaran pada masa akan datang jika fokusnya untuk duit.
“Selagi saya mampu, saya akan melakukannya. Tetapi, saya tidak mahu terlalu awal membuat sebarang jangkaan,” katanya sambil mengakui ada menandatangani kontrak untuk sebuah filem.
Ekoran daripada kenyataan itu, timbul pula pelbagai spekulasi mengenai siapakah yang bakal menggantikan Craig seterusnya menjadi James Bond yang baharu.
Malah, beberapa nama selebriti popular telah disebut-sebut seperti Idris Elba, Hugh Jackman, Jason Statham, Damian Lewis, Tom Hardy termasuklah lagenda bola sepak, David Beckham.
Kisah hidup dibukukan
Dalam pada itu, kisah hidup pelakon filem The Girl With The Dragon Tattoo itu bakal terungkap dalam biografi, Daniel Craig: The Biography hasil tulisan, Sarah Marshall.
Dalam buku tersebut turut diceritakan perjalanan hidup pelakon filem Lara Croft: Tomb Raider ini dari muda ketika zaman kesusahannya sehinggalah berjaya mencipta nama sebagai aktor terkenal di Hollywood.
Pada masa sama, biografi itu turut memaparkan kisah kejayaannya berperanan sebagai James Bond dan kisah cintanya dengan sejumlah selebriti kelas A seperti  Kate Moss dan Sienna Miller serta perkahwinannya dengan bekas pemenang Anugerah Akademi, Rachel Weisz.
Khabarnya, Daniel Craig: The Biography akan diterbitkan pada 5 November ini dengan harga £7.99 oleh John Blake Publishing Ltd.
Sekali lagi jadi perisik 007
Dalam perkembangan lain, Craig kembali memegang watak perisik 007 menerusi filem James Bond ke-24 iaitu Spectre.
Spectre dihasilkan tiga tahun selepas kejayaan filem Skyfall yang berjaya mencatatkan kutipan melebihi AS$1 bilion (RM3.8 bilion) di seluruh dunia.
Menariknya, filem arahan Sam Mendes itu turut mempertaruhkan bekas pemenang Anugerah Akademi, Christoph Waltz sebagai watak antagonis, Franz Oberhauser.
Bukan itu sahaja, bintang jelita kelahiran Itali, Monica Bellucci dan Lea Seydoux turut terpilih sebagai gadis Bond selain Naomie Harris, Ralph Fiennes dan Ben Whishaw yang masing-masing kembali memegang watak sebagai Eve Moneypenny, M dan Q.
Berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem itu, Craig dikatakan mengalami kecederaan lutut sehingga memerlukannya melakukan pembedahan.
Situasi itu menyebabkan penggambaran filem bergenre aksi itu terpaksa dihentikan seketika.
“Selama masa berehat, dia melakukan beberapa proses fisioterapi bagi memperbaiki bahagian lututnya yang cedera,” kata wakil Craig kepada Aceshowbiz.
Spectre mengisahkan usaha James Bond yang bersedia untuk membongkar rahsia sebuah organisasi penjenayah yang dikenali sebagai Spectre selepas menerima satu mesej daripada seseorang yang tidak dikenali. Apakah yang terjadi, nantikannya di pawagam mulai 5 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: