Kumpulan Hujan
"SAYA menangis di atas pentas apabila melihat bendera gergasi bertulis 'Hujan10Tahun' terpampang semasa membuat persembahan," kata vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mengenai sambutan hangat peminat setia kumpulan muzik itu baru-baru ini.
Noh berkata bendera yang dipaparkan oleh penyokong setia kumpulan itu yang dikenali sebagai 'Raingers' secara beramai-ramai di bawah pentas sebagai tanda sokongan padu tanpa jemu mereka amat menyentuh perasaannya.
"Adanya kami di sini (selama 10 tahun) sebab sokongan Raingers yang tak pernah berbelah bahagi kepada perjuangan muzik kami... asalnya kami bermain muzik hanya untuk kepuasan sendiri dan tidak pernah bermimpi untuk pergi sejauh ini," katanya kepada pemberita selepas menjayakan Konsert Hujan 10 Tahun di KL Live, Life Centre, Sabtu lepas.
Walaupun sudah dua tahun 'menghilang', namun ternyata Hujan tidak pernah hilang peminatnya, dan ini terbukti melalui sambutan luar biasa peminat mereka.
Malah suasana konsert pada Sabtu lepas lebih menyengat berbanding ketika era kemuncak kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu.
Sambutan peminat setia Hujan tetap hebat, walaupun dari awal lagi penganjur telah mengumumkan tiket habis dijual, masih ramai peminat yang sanggup beratur dan cuba mendapatkan tiket pada saat akhir, termasuklah mereka yang datang dari Brunei dan Singapura.
Mengenai konsert itu, Noh berkata:"Kami lega kerana akhirnya dapat menunaikan janji kepada 'Raingers'...sangat gembira dan bersyukur hajat kami terlaksana malah tidak menyangka perjalanan kami sudah pergi sejauh ini (10 tahun)."
Noh berkata, konsert menyambut ulang tahun ke-10 kumpulan itu juga merupakan idea Raingers sendiri yang mahukan Hujan mengadakannya bagi mengingati pewujudan kumpulan itu sejak satu dekad lepas.
Pada konsert kali ini, dua anggota asal yang telah meninggalkan Hujan iaitu Nazeri Nazirul (Dukegong) dan Azhar Imran (Jaja) turut sama menggegarkan pentas, dan menjadikan #Hujan10Tahun ibarat pentas pertemuan semula mereka serta turut mengubat kerinduan bagi 'Raingers'.
Hujan mempersembahkan 39 lagu hits termasuk Mencari Konklusi, Jiwa Kelajuan, dan Dugaannya dengan kualiti persembahan yang bertenaga dan layak mendapat pujian serta penarafan lima bintang.
"Hujan tahu anda (Raingers) sentiasa ada bersama kami dan untuk pengetahuan, kami juga tak pernah terlepas untuk sentiasa peka dengan perkembangan Raingers dua tahun ini," ujar Noh ketika berinteraksi dengan kira-kira 2,500 peminatnya yang hadir.
Kesetiaan Raingers juga tidak perlu dipertikaikan malah ketika kugiran itu mempersembahkan lagu 'Kembara', Noh boleh 'berehat' seketika memandangkan peminat-peminat setia mereka ini telah 'menggantikan tugasnya' dengan menyanyi beramai-ramai.
Ternyata Hujan berjaya memberi 'tempias besar' dalam arena muzik tempatan dan selama sedekad perjuangan mereka itu, ia mampu membuktikan band indie yang suatu masa dahulu pernah dipandang sepi juga kini mampu berdiri gah serta mencipta fenomena tersendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: