
Maya Karin
PONTIANAK Harum Sundal Malam karya yang berjaya mengangkat namanya sebagai seorang pelakon yang memiliki kelasnya tersendiri.
Mana tidaknya, sejak filem seram itu ditayangkan pada 2004 itu seakan memberi impak yang positif terhadap industri perfileman tanah air, tambahan pula mendapat sentuhan kreatif daripada sutradara Shuhaimi Baba.
Selain itu, kredibiliti Maya selaku pemegang watak utama nyata menjadi dan tidak dinafikan lakonannya memberi kesan yang mendalam dan tidak hairanlah gelaran puntianak melekat dalam dirinya sehingga ke hari ini.
“Sebenarnya sepanjang sepuluh tahun ini saya memang mengelak untuk menerima sebarang tawaran bagi watak seram.
“Saya mahu simpan keistimewaan dan menjadikan watak puntianak itu, yang saya bawakan sebelum ini lebih eksklusif.
“Saya akui watak itu memang memberi impak dalam karier saya. Lebih membanggakan, bukan peminat dewasa, malah kanak-kanak juga cukup mengenali saya dengan watak itu,” katanya.
Bagi memastikan kariernya kekal lama, Maya akui begitu selektif dalam memilih watak dalam sesebuah karya.
“Selepas Pontianak Harum Sundal Malam, saya tidak mengambil mana-mana tawaran seperti itu lagi sehinggalah watak Jwanita diberikan kepada saya.
“Selain watak yang berbeza, saya lihat skrip dan jalan cerita yang diselitkan sangat menarik dan paling penting ia berbeza dengan filem lain membuatkan saya tertarik untuk menerimanya.
“Sebab itu saya yakin Jwanita boleh berdiri dengan sendiri tanpa bayangan watak puntianak yang saya bawakan sebelum ini.
“Alhamdulillah, apa yang saya harapkan benar-benar terjadi apabila filem ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada penonton,” ujarnya.
Cinta alam sekitar
Siapa sangka, di sebalik popularitinya, aktres cantik ini juga sebenarnya adalah seorang yang bergiat aktif dalam kempen kesedaran alam sekitar.
Sejak 2010 lagi, Maya telah mewujudkan kempen peribadinya ‘MayaLovesNature’ yang mendorong kesedaran mengenai penggunaan yang berlebihan dan pembaziran beg plastik.
Melihatkan manfaat kempen dijalankan, Maya kini sibuk merancang untuk meneruskan kempen alam sekitar yang bersesuaian pada masa akan datang.
“Sebenarnya inilah impian saya sejak berusia 18 tahun lagi dan masih belum bergelar artis. Ketika itu saya sentiasa memikirkan cara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hijau dan memiliki alam sekitar yang lebih segar.
“Insya-ALLAH, sekarang ini saya sedang memikirkan aktiviti selanjutnya dan beberapa perbincangan telah dilakukan untuk laksanakannya.
“Siapa lagi yang akan jaga alam sekitar ini kalau bukan kita sendiri? Lagi pun sebagai manusia kita memerlukan persekitaran yang sihat dan segar untuk meneruskan kehidupan,” tegasnya.
Menyedari sokongan peminat adalah tulang belakang atas kejayaan karier seninya, Maya yang bakal tampil dengan single Serik Dengan Cinta hasil kolaborasi bersama penyanyi rap Juzzthin, sanggup meluangkan masanya untuk turun padang bertemu peminatnya.
Terbaru, Maya sempat meluangkan masa bersama peminat yang merupakan pemenang peraduan iM4U FM FUNtasi di Subang Jaya, baru-baru ini.
Tiga pendengar bertuah, Syafiq Ramli, Rozaudin Haron dan Mujammad Anwar Abdul Hassan telah terpilih untuk bersama-sama menjamu makan tengah hari bersama pelakon Jwanita itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: