Friday, November 6, 2015

Lebih 400 ucap kalimah syahadah



Lebih 400 ucap kalimah syahadah
Pelbagai program diadakan bersama dengan saudara baru bagi membolehkan mereka sentiasa dibimbing.
GEORGETOWN - Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) akan terus mengorak langkah demi mengembangkan dakwah Islam di negara ini selepas memiliki bangunan sendiri yang terletak di Jalan Argyll.
Bangunan empat tingkat hasil sumbangan dermawan itu baru dirasmikan Sabtu lalu dilengkapi dengan kedai buku, bilik mesyuarat, bilik pembelajaran, tempat permainan kanak-kanak serta ruang istirehat di tingkat paling atas.
IPSI yang ditubuhkan pada 1990 bermula di Masjid Kapitan Keling atas matlamat semata-mata mahu menyebarkan ilmu tauhid kepada pengunjung masjid.
Matlamat utama IPSI adalah menyebarkan firman ALLAH SWT melalui pendekatan termasuk pembacaan, pemahaman dan mempraktikkan al-Quran dan juga sunnah.
Presiden IPSI, Kamarudin Abdullah berkata, pelbagai kejayaan sudah dikecap sepanjang dua dekad IPSI ditubuhkan.
Menurutnya, antara kejayaan yang paling berharga buat mereka apabila hampir 400 orang mengucap kalimah syahadah.
“Selain itu, kecemerlangan IPSI juga boleh dilihat daripada jumlah program yang dijalankan dari tahun 2010 sehingga 2014.
"Lebih daripada 450 ceramah diadakan termasuk forum dan sesi tazkirah, begitu juga dengan bengkel dakwah sebanyak serta dialog antara agama yang tidak pernah ketinggalan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bangunan IPSI di Jalan Argyll, Sabtu lalu.
Majlis perasmian itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Hadir sama, Exco Agama, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.
Kamarudin berkata, tenaga utama yang menggerakkan IPSI terdiri daripada pelbagai bidang seperti perubatan, undang-undang, ekonomi, kejuruteraan, pengajian Islam, falsafah dan banyak lagi.
Justeru katanya, adunan kekayaan intelek berkenaan membolehkan pihaknya meneroka pelbagai aspek ibadah dakwah sehingga berjaya melebarkan sayap merentasi sempadan.
“Alhamdulillah apa jua bidang ilmu asalkan dapat dimanfaatkan penganut dan bakal penganut agama Islam, akan kami kaitkan dengan Islam dan seterusnya menyebarkannya,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kewujudan IPSI dapat mengurangkan beban umat Islam.
Menurutnya, ia berikutan terdapat pelbagai ancaman terhadap Islam dilakukan termasuk melalui media sosial.
“Apabila ancaman ini termasuk provokasi diterima oleh orang yang kurang ilmunya, jadi ia amat berbahaya.
“Wujudnya IPSI ini juga adalah salah satu inisiatif yang amat luhur dan murni sekali gus membantu memantapkan Islam di mata orang ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: