Sunday, November 8, 2015

Kerja keras Sonam Kapoor


Kerja keras Sonam Kapoor

KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah juga darah seni yang mengalir dalam diri aktres jelita, Sonam Kapoor.
Aktres berusia 30 tahun itu mewarisi bakat  bapanya yang juga pelakon filem Bollywood tersohor, Anil Kapoor.
Sungguhpun dilahirkan dalam keluarga Kapoor, Sonam bagaimanapun tidak mahu ‘mempergunakannya’ bagi membina karier lakonannya di Bollywood.
“Saya sangat bertuah dilahirkan dalam ‘senduk emas’ tetapi saya juga bekerja keras dalam membentuk karier.
“Saya banyak menjalani sesi uji bakat bahkan saya juga melalui proses yang sama ketika mendapatkan peranan utama dalam filem pertama, Saawariyaa pada 2007.
“Malah, saya juga berusaha bersungguh-sungguh demi mempertahankan karier saya sehingga ke hari ini,” katanya.
Biarpun filem pertamanya itu gagal, nama Sonam berjaya tercalon di Anugerah Filmfare untuk kategori Penampilan Pertama Wanita Terbaik selain memenangi kategori Bintang Terkenal Wanita Masa Hadapan di Anugerah Stardust menerusi persembahannya dalam filem tersebut.
Gagal pada filem pertama, bukanlah bermakna Sonam akan berputus asa sebaliknya anak kelahiran Mumbai ini terus berusaha meningkatkan keupayaan lakonannya di Bollywood.
“Seseorang harus menerima pasang surut dalam hidup. Selama masih ada orang yang menganggap saya bagus untuk diajak kerja, saya bahagia.
“Saya akan merasa khuatir dan sedih jika tiada ada pembuat filem yang mengajak saya bekerjasama.
“Tapi sekarang, saya mulai bekerja dengan orang-orang hebat dalam filem-filem yang bagus,” katanya kepada Hindustan Times.
Sehingga hari ini, Sonam sudah membintangi beberapa filem seperti Delhi-6 (2009), I Hate Luv Storys (2010), Aisha (2010), Thank You (2011), Mausam (2011), Players (2012), Bombay Talkies (2013), Raanjhanaa (2013), Bhaag Milkha Bhaag (2013), Bewakoofiyaan (2014), Khoobsurat (2014) dan Dolly Ki (2015).
Impi ke Hollywood
Tidak hanya ingin berjaya di India, Sonam juga mengimpikan untuk ke Hollywood, suatu hari nanti.
Sebelum ini, aktres bermulut lancang ini sempat menjalani sesi uji bakat menerusi filem Pirates of The Caribbean pada 2013.
“Saya sedang mengikuti sesi uji bakat untuk beberapa projek antarabangsa.
“Saya hanya akan berbincang dengan mereka jika mereka menganggap saya cukup bagus untuk berlakon di Hollywood,” jelasnya.
Pada masa sama, aktres jelita ini turut meletakkan harapan untuk menjadi seorang sutradara.
Tambahan pula, sebelum Sonam terjun dalam bidang lakonan, dia pernah bekerja sebagai penolong pengarah kepada Sanjay Leela Bhansali menerusi filem Black (2005).
“Selain menjadi pelakon, saya teringin mengarahkan filem.
“Mungkin mimpi itu akan terlaksana dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya kepada Indian Express.

Selesa bersama Salman Khan
Dalam perkembangan lain, Sonam sekali lagi bergandingan dengan aktor kacak, Salman Khan menerusi filem terbaru mereka, Prem Ratan Dhan Payo.
Sebelum ini, Sonam dan Salman pernah bekerjasama menerusi filem Saawariyaa pada 2007.
Kali ini, Sonam mengakui berasa amat rapat dengan pelakon berbadan sasa itu.
“Saya bersyukur dapat jadi sebahagian daripada filem ini.
“Saya adalah peminat tegar Salman sejak sekian lama.
“Walaupun saya sedikit gugup, tapi saya terasa amat rapat dengannya sekali gus selesa bekerja bersamanya,” katanya.
Filem arahan Sooraj R Barjatya ini turut dibintangi Anupam Kher, Swara Bhaskar, Neil Nitin Mukesh, Deepak Dobriyal dan Armaan Kohli.
Prem Ratan Dhan Payo berdasarkan daripada novel The Prince and the Pauper.
Ia mengisahkan King Prem (Salman) iaitu seorang raja yang sangat disanjung dan dihormati oleh rakyatnya. Dia mempunyai hasrat untuk menjadi rakyat biasa sementara adik tirinya merancang untuk merampas takhta daripadanya. Prem kemudian bertemu dengan Vijay yang mempunyai rupa paras sepertinya dan mengambil keputusan untuk bertukar identiti. Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam 12 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: