KUALA LUMPUR: Kemunculan kumpulan rock Wings menerusi persembahan bertenaga dengan lagu pembukaan iaitu Bazooka Penaka tepat pukul 10 malam menamatkan penantian peminat yang membanjiri Stadium Merdeka pada Sabtu.
Taring Wings dan vokalis utamanya Awie masih berbisa dan ternyata berjaya memukau 20,000 peminat yang hadir ke konsert bersempena ulangtahun ke-30 kumpulan itu.
Biarpun sudah berusia 46 tahun kemantapan vokal Awie pada malam tersebut luar biasa dan membuktikan lelaki berkenaan tiada tandingan.
Wings menyampaikan 28 buah lagu pada konsert tersebut.
Malah ahli kumpulan lain iaitu Joe, Black dan Eddie yang menjadi tulang belakang Wings turut berbisa dengan kemantapan persembahan menerusi instrumen masing-masing.
Tidak membiarkan peminat menunggu lama, Wings meneruskan persembahan mereka menerusi set pertama itu dengan lagu seperti Inspirasi Tamingsari, Bujang Senang, Orang Kita dan Gemala Sakti yang mengangkat nama mereka pada pertengahan tahun 80-an.
Awie mewakili kumpulannya turut mengambil kesempatan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan padu peminat yang digelarkannya sebagai 'sayap-sayap Wings' sepanjang 30 tahun karier mereka dalam industri muzik tanah air.
Persembahan Awie tidak menghampakan 20,000 peminat yang membanjiri stadium.
Secara keseluruhannya Wings menyampaikan 28 buah lagu menerusi konsert yang berlangsung selama tiga jam itu.
Antara lagu yang disampaikan adalah Romania, Jumpa Hilang, Satelit Puaka danPengabdian Ku Kekasih.
Terdahulu, Stadium Merdeka mula dibanjiri peminat seawal pukul 2 petang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur yang ingin menjadi sebahagian daripada sejarah bersempena Konsert Wings 30 Tahun.
Biarpun hujan peminat yang hadir langsung tidak berganjak sehingga konsert selesai kira-kira pukul 3 pagi.
Biarpun hujan lebat melanda ibu negara pada lewat petang namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat mereka untuk memberi sokongan kepada kumpulan rock terkenal itu.
Seperti dijanjikan 200 artis dibawa untuk memeriahkan acara tersebut sebelum konsert utama berlangsung dan sambutan diberikan cukup meriah daripada pengunjung.
Bermula sedikit lewat daripada jangkaan awal akibat faktor cuaca, persembahan pembukaan daripada artis ternama seperti Ito (Blues Gang), Datuk Hattan, Afdlin Shauki, Azlan & The Typewriter, One Nation Emcee, Bila (AF 2015) dan Aweera mula menghangatkan suasana konsert dengan persembahan mereka pada pukul 9 malam.
Joe dengan gayanya yang tersendiri.
Persembahan mereka turut diiringi oleh pemuzik handalan seperti Hillary Ang (gitar), Rody Kristal (gitar), Paei (drum), Lee Tse Wan dan Fly (bass).
Malah kemunculan Saiful Apek dan Yasin menerusi sketsa sebelum kemunculan Wings turut menggamatkan suasana dan menyuntik kelainan kepada sebuah konsert Wings.
Komitmen dan kesungguhan barisan artis yang sama-sama menjayakan Konsert Wings 30 Tahun harus diberi pujian.
Dalam pada itu, Wings turut menjemput bekas anggota kumpulan itu seperti Mus dan Jojet untuk sama-sama memeriahkan konsert berkenaan.
Awie puas dapat mengadakan persembahan untuk peminat.
Mus sempat meyampaikan beberapa buah lagu seperti RNR Lu Punya Suka, Jerangkung Dalam Almari dan Blues Ular Sama manakala Jojet dengan persembahan drum solo.
Kemunculan mereka meninggalkan nostalgia kepada peminat Wings dan rata-rata tidak melepaskan peluang menyanyi bersama Mus.
Sementara itu, Awie meneruskan persembahan pada malam tersebut dengan beberapa lagi seleksi lagu terbaik kumpulan itu seperti Menakluk Kosmos, Ingatkan Dia, Amok, Sayap Ilusi dan Awang Trasher.
Bagaimanapun stadium kembali gamat apabila lagu Taman Rashidah Utama berkumandang dan menjadi antara kemuncak terbaik konsert pada malam itu.
Hattan turut hadir memberikan persembahan tribute kepada Wings.
Peminat yang hadir juga langsung tidak berganjak daripada tempat mereka walaupun jam sudah hampir menunjukkan pukul 2 pagi.
Sorakan dan sokongan mereka begitu energetik dan ia senario yang sudah lama tidak dilihat dalam sesebuah konsert tempatan.
Pemilihan lagu Hukum Karma, Opera Hidup dan Sejati sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Peronda Jaket Biru tindakan terbaik kerana lagu-lagu tersebut menjulang nama Wings ke tempatnya hari ini.
Secara keseluruhannya Konsert Wings 30 Tahun bukan satu pengakhiran buat kumpulan itu sebaliknya permulaan untuk mencipta lebih banyak sejarah pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: