
Meer Sadik (depan, tengah) dan rakan kongsi Habib dari Itali menunjukkan koleksi barang kemas Oro Italia 916.
HABIB Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels) yakin mencapai sasaran jualan lebih RM100 juta bagi koleksi barang kemas terbarunya, Oro Italia 916, dalam tempoh setahun.
Pengarah Urusannya, Datuk Meer Sadik Habib berkata, ini kerana, rekaannya menampilkan ciri-ciri sofistikated mampu menarik golongan muda untuk memiliki barangan kemas sebagai pelaburan.
“Kebanyakan pembeli emas sebelum ini datang daripada golongan matang, memandangkan rata-rata reka bentuk barang kemas sedia ada adalah rekaan asas.
“Dengan rekaan lebih menarik ini, saya yakin lebih ramai golongan muda akan membeli emas. Jika anda bercadang untuk melabur, ini masa yang sesuai memandangkan harga pasaran emas dijangka akan meningkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Oro Italia ke Malaysia, di Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Meer Sadik berkata, Habib Jewels bekerjasama dengan rakan kongsinya dari Itali dalam menghasilkan koleksi Oro Italia 916.
“Turut diperkenalkan dalam koleksi ini adalah emas hitam. Setiap satu daripada barang kemas ini direka tukang emas berkemahiran tinggi dan menampilkan ciri-ciri sofistikated yang biasa dilihat pada barang kemas Itali,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Habib Jewels berada di landasan betul dalam mencapai jualan seperti yang disasarkan pada tahun ini walaupun menghadapi persekitaran ekonomi tidak menentu.
“Kita hampir mencapai sasaran jualan ditetapkan walaupun pada tahun ini, pelbagai cabaran dihadapi seperti pelaksanaan GST dan kejatuhan nilai ringgit.
“Bagaimanapun, semua itu berjaya diatasi dengan pelancaran reka bentuk terbaik, barang efisien dan penawaran harga rendah menyebabkan pelanggan memberi sokongan pada kami,” katanya.
Koleksi Oro Italia 916 berasal dari Itali, dilancarkan bersempena pameran dan jualan Kumpulan Habib berlangsung sehingga 10 November ini di Ruang Legar Utama, The Curve, Mutiara Damansara.
Lebih 500 rekaan koleksi Oro Italia 916 ditawarkan dalam pameran itu dengan tawaran hebat.
Habib merupakan antara syarikat barang kemas pertama di Malaysia yang menghasilkan barang kemas rekaan unik dan elegan dari Itali dengan kandungan emas 22 karat atau emas 916.
Sepanjang pameran dan jualan Kumpulan Habib yang melibatkan Habib Jewels, Pandora dan Ice-Watch, pelanggan boleh menikmati potongan dari RM8 hingga RM25 segram untuk barangan kemas emas 916 dan emas 999, diskaun sehingga 70 peratus barang kemas berlian dan batu permata serta pelbagai tawaran menarik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: