
Kehadiran warga SMK Tunku Syed Idrus menceriakan lagi pasangan suami isteri warga emas di Kampung Dusun, semalam. Umi (duduk, dua kiri) dan Noraini (duduk, dua kanan).
TAMPIN – "Walau dia dah nyanyuk, wan tetap sayang suami wan" luah luah Che Mah Daud, 81, ketika ditemui sempena Program Khidmat Masyarakat, di Kampung Dusun, di sini, semalam.
Menurut Che Mah, suaminya, Mohd Nor Md Isa, 81, mengalami masalah kesihatan dan nyanyuk selepas kediaman mereka terbakar sejak lebih enam tahun lalu.
"Adakalanya pakcik terkencing di merata-rata tempat. Tapi wan tetap bersabar dan layan sahaja kerenah dia.
"Bagi wan, susah senang biar bersama. Wan selalu beritahu dia, 'kita makan sama, tidur sama, tapi bila abang dah pergi nanti, tinggallah Mah sorang-sorang'," katanya ketika ditemui semasa program berkenaan.
Bercerita lanjut, Che Mah memberitahu, mereka ditakdirkan sebagai suami isteri sejak pertama kali dia dan suaminya bertemu di Pekan Bahau.
"Kami berkahwin pada 18 Ogos 1957, masa tu wan janda anak dua dan bekerja di Balai Polis Air Kuning. Gaji polis zaman dulu kecil.
"Hasil perkahwinan itu, kami dikurniakan tujuh orang anak. Jadi selepas Merdeka, wan nekad berhenti kerja dan jaga anak-anak. Pada masa itu, suami wan sanggup menyerahkan kesemua gaji bulanannya pada wan untuk uruskan perbelanjaan keluarga dan anak-anak," katanya.
Kata Che Mah, segala urusan memasak serta mengemas rumah dilakukannya sendiri dan anak serta cucunya ada membantu sekiranya mereka pulang ke rumah.
"Tapi hari ni wan betul-betul gembira bila ada cikgu, pelajar sekolah dan penduduk bergotong-royong membersihkan dan mengecat rumah ini," katanya.
Sementara itu, dalam program berkenaan, seramai 40 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Syed Idrus membersihkan kediaman pasangan warga emas itu selain turut menyampaikan sumbangan wang tunai.
Ketua Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan SMK Tunku Syed Idrus, Umi Huzaifah Ngah berkata, penganjuran program khidmat masyarakat berkenaan sudah masuk tahun keempat.
Menurutnya, program tersebut diadakan bagi membolehkan pelajar mengamalkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam mata pelajaran berkenaan.
"Malah, kita harap agar usaha kita ini akan dapat menceriakan lagi keluarga yang dikunjungi dan pelajar juga dari masa ke masa akan dapat membantu masyarakat memerlukan,” katanya.
Turut hadir, Pengetua SMK Tunku Syed Idrus, Noraini Abdul Manaf dan Penghulu Adat, Abdul Razak Tambi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: