SELARI dengan hasrat untuk meneruskan perjuangan industri nasyid tanah air, Al-Manna kini tampil dengan single terbaharu, Ajarkan Aku Setia.
Sebelum ini, Al-Manna telah melakar kejayaan menerusi album pertama mereka, Selawat Kita Semua pada 2014.
Al-Manna dianggotai empat vokalis muda iaitu Muhammad Firdaus Arshad (Firdaus), Fahimi Indra Pramanta Didi Indra (Fahimi), Mohd Shahnizam Mohd Sa’ad (Shah) dan Mior Muhammad Ariff Mior Mokhtar (Mior).
Menariknya, kumpulan nasyid ini masih berpegang teguh dengan keupayaan penyanyi dan komposer, Bazli Hazwan daripada kumpulan UNIC.
Buktinya, Ajarkan Aku Setia adalah ciptaan dan terbitan daripada Bazli manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Atie dari Legacy Publisher selain menampilkan Ustaz Elyas Ismail sebagai artis jemputan.
Lebih istimewa, kali ini Al-Manna mencuba untuk memberi satu kelainan apabila tampil dengan genre nasyid pop.
Ketua Kumpulan Al-Manna, Fahimi memberitahu, tujuan penubuhan kumpulan nasyid itu adalah untuk mendekati dan memenuhi selera generasi baharu agar menggemari muzik berunsur ketuhanan dan kerohanian.
Selain itu, Al-Manna juga bertekad untuk mengembalikan kegemilangan zaman irama nasyid yang kini semakin kekurangan pelapis.
“Sebenarnya, sudah lama kami meminta lagu ini daripada Bazli cuma hanya tahun ini barulah ia dapat dilaksanakan.
“Lagipun, pada pemerhatian kami, peminat juga seolah-olah menantikan lagu yang matang dan segar daripada kami.
“Oleh itu, adalah menjadi harapan kami agar single baharu ini dapat memenuhi kehendak peminat,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas Majlis Menghargai Media dan Penggiat Seni serta Premiere Ajarkan Aku Setia, baru-baru ini.
Pada masa sama, Al-Manna juga sempat melancarkan rakaman klip video Ajarkan Aku Setia yang diarahkan oleh Azam Rasid dari Juxtapose Production iaitu salah seorang finalis Festival Filem Malaysia ke-27.
“Kami ingin membuktikan kesungguhan kami.
“Harapan kami agar setiap paparan yang ditunjukkan dalam klip video itu dapat memberi manfaat kepada peminat.
“Lagi pula, ia adalah ilham kami bersama Azam,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Fahimi, Al-Manna turut merancang untuk menghasilkan album terbaharu selewat-lewatnya tahun hadapan.
“Kami dalam proses untuk menghasilkan single seterusnya dan kali ini kami akan mencipta lagu serta lirik sendiri.
“Bahkan, kemungkinan juga kami akan berkolaborasi dengan beberapa penyanyi jemputan lain.
“Pada masa sama, kami juga berhasrat untuk mengeluarkan album terbaharu tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.
Bisnes dan motivasi
Meskipun usia keempat-empat anak muda ini masih lagi di awal 20-an, fokus Al-Manna tidak sekadar dalam dunia nyanyian sahaja.
Kumpulan nasyid ini sebaliknya mempunyai bisnes sendiri menerusi penubuhan syarikat, Al-Manna Solution dengan tiga teras perniagaan iaitu kumpulan nasyid, motivasi dan perundingan serta jualan busana Islamik.
“Menerusi teras perniagaan inilah, Al-Manna beroleh menjana pendapatan sendiri.
“Alhamdulillah, hasil usaha sama daripada kesemua ahli kumpulan kami berjaya membahagikan masa dengan baik di antara pelajaran dan karier.
“Lebih-lebih lagi, kami berempat tinggal berjiran sejak kecil di Datuk Keramat, Kuala Lumpur dan hubungan yang terjalin ini sudah dianggap seperti saudara kandung sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai Majlis Menghargai Media dan Penggiat Seni yang dianjurkan oleh kumpulan nasyid itu, Fahimi menjelaskan ia merupakan niat asal Al-Manna sebelum terjun ke lapangan seni hiburan.
“Ia adalah acara wajib tahunan daripada Al-Manna sendiri.
“Tambahan pula, ia sebagai salah satu cara kami memberi penghargaan kepada penggiat seni lain dan media.
“Sepanjang dua tahun berkecimpung dalam industri nasyid tanah air, kami mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya keluarga, pengamal media dan penggiat seni tanpa putus,” katanya sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: