|
SELEPAS memikul tanggungjawab sebagai pemegang watak penting dalam filem Tanda Putera, Rusdi Ramli dan Faezah Elai ternyata masih bugar dan tidak dicela.
Tiada sedikit pun kelopak keyakinan mereka gugur ekoran taufan kontroversi yang hampir-hampir membenamkan karya Datin Paduka Shuhaimi Baba itu.
Tanda Putera merupakan sebuah filem yang selama ini ditunggu-tunggu telah terhidang untuk diratah dengan amarah mahupun dihadam dalam santun. Ibarat sebuah makanan buat pencinta karya yang idealis, Tanda Putera hadir dalam wacana bukan sekadar sebuah filem yang biasa. Jika tidak, mengapa sejak pembikinannya seleasi dilakukan, filem berlatarkan era pasca merdeka itu ditunda selama beberapa kali untuk dijadikan tontonan umum.
Hari ini, debar Tanda Putera belum berpenghujung. Masuk hari keempat menerjah panggung seluruh tanah air, filem yang pernah digeruni kerana dianggap berisiko menggugat kesejahteraan kaum itu mampu menerbitkan rasa bangga jika ditonton tanpa curiga.
Tiada api sengketa yang hendak dikipas. Namun sesuatu yang nyata, pengisahan dua negarawan ulung, Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail yang menjadi intipati penceritaan dikecam bahkan ada juga tempias rasis terpercik ke muka pengarah dan pelakon terlibat. Namun bagi Rusdi dan Faezah, mereka positif walaupun banyak kekangan yang berlaku.
Dikecam rasis
"Dua kali ditunda dan sekarang barulah khalayak dapat menonton sendiri apa yang kontroversi sangatnya dengan filem Tanda Putera. Rasanya, sebelum ini pun ada filem yang ditunda tayangannya tapi statusnya tidak sama dengan Tanda Putera. Filem Tanda Putera ditunda tapi tiada janji atau tarikh bila ia boleh masuk panggung. Saya tidaklah tertekan sebagaimana yang dirasai oleh penerbit dan pengarah. Tapi, sebagai pelakon ada juga terfikir, kalaulah filem ini tidak dapat ditayangkan, bila lagi tawaran sebegini akan datang," luah Rusdi.
Bicaranya mengalir tenang, setenang keperibadiannya. Dia tersenyum sambil mengajak rakyat Malaysia untuk menilai sendiri secara rasional dengan menonton filem berkenaan.
"Bab dikecam atau digelar rasis, saya tahu. Tapi, tak layan sangat kerana saya bukan jenis yang suka melayari internet. Kalau ada yang masih dakwa kami ini buat filem rasis, itu salah. Isteri saya sendiri berketurunan Cina. Dia (Sharon Paul) juga terlibat sebagai komposer lagu tema filem berkenaan. Kami sama-sama faham dan tahu niat filem ini dibikin," jelas Rusdi yang memikul tugas besar dalam filem patriotik kedua lakonannya itu di bawah arahan Shuhaimi Baba selepas 1957: Hati Malaya.
Tidak merasa bijak atau menjadi arif mengenai sejarah, Faezah yang buat pertama kalinya muncul dalam filem Shuhaimi Baba itu pula merasakan apa yang disensasikan mengenai Tanda Putera mungkin ada hikmahnya.
|
"Saya tak pernah putus harap untuk berkongsi filem ini dengan rakyat Malaysia. Rasanya, ia karya terbaik Shumi (panggilan untuk Shuhaimi Baba) setakat ini. Saya kata begitu bukan kerana saya salah seorang pelakon yang terbabit, tapi kerana filem itu sendiri yang bagus. Rugi jika ia tidak ditayangkan. Dalam masa yang sama, saya tahu Shumi tidak akan berhenti berjuang untuk filemnya.
"Saya sendiri tidak kesal dengan kontroversi yang timbul. Tapi, sedih dengan pemikiran segelintir pihak. Mungkin ada hikmahnya juga, apabila tiba waktu tayangan seperti sekarang, semua orang rasa mahu lihat apa yang sensasi sangat sebelum ini. Dalam Tanda Putera, kisah 13 Mei itu hanyalah latar masa dan fakta dalam sejarah. Ia dimasukkan untuk menggambarkan betapa sukarnya Tun Razak dan Tun Dr. Ismail bertindak memperbaiki situasi terburuk negara ketika itu," getus Faezah yang melakonkan watak Tun Rahah, isteri kepada Tun Razak.
Lebih mendebarkan Faezah, wanita bernama Tun Rahah bukan sekadar tokoh dalam sejarah bahkan ibu kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tuah suara
Merakamkan kisah kehidupan peribadi Tun Razak sehingga beliau digelar Bapa Pembangunan Malaysia ke dalam sebuah filem, kejayaan atau kegagalan filem itu bukannya kerja pengarah semata-mata.
"Dari segi pembikinan dan skrip, itu memang kerja pengarah tapi hasilnya, kerja lakonan yang akan difokuskan. Saya berbangga kerana diberi kepercayaan. Tapi, terbeban dengan amanah yang diberi.
|
"Sebagai pengarah, Shumi tidak akan jawab secara konkrit kenapa saya yang dipilih. Namun, sejak dahulu, dia selalu kata salah satu pemilihan pelakon diputuskan kerana nada suara. Saya letak seluruh kepercayaan kepada Shumi dan memberikan apa sahaja yang dia mahu termasuklah isu 13 Mei yang hangat diperkatakan.
"Saya yakin, ramai yang mahu lihat kisah itu dengan mata dan kepala sendiri. Jika tidak didedahkan, lama-kelamaan 13 Mei hanya akan jadi mitos dek bermacam-macam versi cerita yang didengar, sedangkan ia fakta. Secara peribadi, saya lebih tertarik kepada situasi negara yang sedang sakit dan dalam masa yang sama dipimpin oleh pemimpin yang sedang berjuang melawan penyakit. Tun Razak sakit leukimia manakala Tun Dr. Ismail pula sakit jantung.
"Jadi, sentimen perkauman tidak harus wujud kerana generasi sekarang sudah boleh berfikir. Semua orang bebas memilih ideologi politik tapi, berparang bukan cara yang sepatutnya," kata Rusdi yang kini berjinak-jinak dengan kerja pengarahan drama.
Enam bulan selepas melahirkan puteri sulung, Dealova Heyrinna, Faezah memanaskan enjin kariernya dengan penampilan pertama usai berpantang menerusi sebuah telemovie raya, Abah Tak Balik Malam Raya.
Lebih matang bersulam semangat hidup yang sedang bugar dalam dakapan, pelakon yang dikenali menerusi drama Asmara itu berganda debarannya. Bukan satu tetapi, dua filem termasuk naskhah pertama lakonannya masuk panggung secara serentak.
"Sekarang dua filem saya yang sama-sama memulakan tayangan bermula pada 29 Ogos, Tanda Putera dan KL Zombi. Ia dua buah filem yang berbeza genre," katanya yang tidak terjangka lakonannya akan disaksikan dalam dua judul filem sekali gus.
Bernostalgik kisah isteri yang tidak tahu penderitaan suami yang mengidap penyakit leukimia, wanita yang menjadi ibu tunggal pada umur 30-an dan mampu membesarkan anak-anak sehingga salah seorang daripadanya bergelar Perdana Menteri, tiada kata-kata yang dapat Faezah gambarkan untuk mendefinisikan wanita unggul itu.
"Ketika itu, saya belum berkahwin, masih tercari-cari bagaimana emosi isteri dan ibu. Apa yang terpapar dalam Tanda Putera adalah kerja terbaik yang pernah saya lakukan," katanya bercampur-campur antara terharu dan bangga.
Diletakkan di kerusi berdarjat, duduk, berjalan, ketawa dan menangis, semuanya harus terkawal dan dikawal, Tun Rahah serta Tanda Putera juga merupakan tanda aras yang sedang dicipta Faezah dan Rusdi bersama pelakon-pelakon lain dalam filem itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: