|
|
KEHEBATAN produksi dan pembawa watak teater P. Ramlee The Musical yang dpentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur masih utuh dalam ingatan.
Ia merupakan sebuah teater yang membawa ingatan khalayak kepada kisah hidup suka dan duka seorang insan seni yang martabatnya diangkat tinggi oleh masyarakat. Mata penonton melihat dan menyelusuri jalan hidup Tan Sri P. Ramlee, sewaktu dia bangun dan pernah rebah.
Kali ini, orang Sarawak berpeluang menyaksikan pementasan ketiga teater itu yang bakal berlangsung selama dua hari bermula pada 9 September ini bertempat di Pusat Persidangan Borneo, Kuching, Sarawak.
Teater yang berlangsung selama dua jam ini diadakan sempena sambutan Kemerdekaan ke-50 tahun Sarawak dalam Malaysia dan dianjurkan oleh pihak Enfiniti Events Sdn. Bhd.
Menariknya, semua para pelakon yang terlibat dalam teater ini merupakan 'wajah baharu' untuk karakter P. Ramlee, Saloma, Norizan dan Junaidah.
Jika sebelum ini tugas pembawa karakter P. Ramlee diberikan kepada Musly Ramlee dan Sean Ghazi, kepercayaan kali ini diberikan kepada aktor Tony Eusoff.
|
|
"Saya mencari rakaman belakang pentas P. Ramlee untuk mencari pesona dan cuma bertemu dengan satu video di laman YouTube. Saya terima watak ini kerana sukakan cabaran. Buat saya, P. Ramlee merupakan seorang artis dengan minda yang terbuka. Seorang seniman yang tulen dan mempunyai kasih sayang terhadap seni yang sangat tinggi," ujar Tony yang meminati filem Seniman Bujang Lapuk.
Buat Datin Seri Tiara Jacquelina, kali ini dia turun padang. Selain bertindak sebagai Penerbit Eksekutif untuk pementas di Pusat Konvensyen Borneo, dia turut membawakan watak Norizan, isteri kedua seniman P. Ramlee.
"Allahyarham Norizan merupakan isteri P. Ramlee yang paling saya minati. Saya menganggap wataknya mencabar kerana saya tidak pernah membawakan watak yang agresif. Jadi, saya tidak akan melepaskan peluang ini. Saya melihat ada persamaan antara saya dengan Norizan iaitu sikap mengawal," ujar Tiara yang pernah terlibat dalam satu drama bersama Norizan pada tahun 1992.
"Saya lupa tajuknya (drama itu) tetapi waktu itu, saya melihat Norizan mempunyai aura yang sangat besar. Walaupun hidup tidaklah senang tetapi dia tetap membawakan sisi elegan dalam dirinya," tambahnya yang melakukan kajian tentang Norizan.
|
|
Merujuk kepada pertukaran wajah-wajah baharu dalam setiap karakter dalam teater ini, Tiara dengan senang hati melihat situasi itu sebagai satu yang segar untuk teater tersebut yang telah dipentaskan pada tahun 2007 dan 2008 dan ini.
Meminati Tony sebagai pelakon yang bagus, Tiara juga memberitahu tentang kesukaran untuk mereka mendapatkan seseorang yang bersuara lunak untuk membawakan watak Saloma.
"Akhirnya, Melissa Saila yang merupakan pengarah bersama teater ini mencadangkan Elly Mazlien. Sesuatu yang baru untuk para penonton," ujarnya yang berharap teater percuma ini akan mendapat sambutan daripada seluruh warga Borneo.
Selain teater yang dipentaskan pada 9 dan 10 September ini, sebuah konsert tribute P. Ramlee oleh pemain violin, Idris Sardi akan turut diadakan pada 12 dan 13 September di lokasi yang sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: