|
PERJALANAN hidup vokalis grup MOJO ini tidak mudah. Biarpun tampak senang dan popular, namun pelbagai ranjau yang dilalui oleh figura bernama Nasharul Aweera Noriyissham atau lebih dikenali sebagai Aweera itu.
Pada usia 22 tahun, Aweera sudah diuji dengan cabaran besar apabila dia diisytiharkan muflis sejak 11 Julai lalu.
Biarpun hal itu meruntun jiwa Aweera, namun jauh di sudut hatinya dia melihat tindakan itu sebagai pengajaran buat dirinya.
"Memang isu itu (muflis) memberi tekanan kepada saya. Tetapi, ia telah pun berlaku dan saya akui kesilapan yang pernah saya lakukan dahulu.
"Tidak ada gunanya saya berfikiran negatif tentang perkara itu selain menjadikannya sebagai pengajaran untuk diri saya dan masyarakat terutamanya generasi muda," katanya yang menyatakan ia disebabkan pinjaman yang dibuatnya ketika berusia 19 tahun.
Namun begitu, Aweera tidak mahu para peminat memperbesar-besarkan isu tersebut. Dia meminta agar diberi sedikit ruang untuk dia menyelesaikan masalah itu.
"Saya tahu bahawa hal itu (muflis) sudah diketahui umum. Namun, saya berharap agar masyarakat memberi peluang untuk saya segera menyelesaikannya.
"Apabila ia selesai kelak, saya akan mengumumkan perkhabaran gembira kepada semua," ulas bekas peserta rancangan realiti televisyen One In A Million musim ketiga itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: