
PARA penyelam menanam ranting karang di kawasan yang telah dikenal pasti.
BAYU ‘simbiosis’ berpuput di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini apabila kesedaran tentang mustahaknya pergantungan antara hidupan di darat dan laut berjaya diterjemahkan. Lebih manis, tangan-tangan yang berjasa kepada alam itu ialah milik anak-anak muda yang sedar bahawa keindahan khazanah marin perlu dipusakai generasi akan datang.
Meraikan biodiversiti, seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher (SMKDAM), Kota Bharu, Kelantan berganding bahu dengan 15 guru dan 20 mahasiswa serta kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk melaksanakan misi besar menerusi acara menanam ranting karang terbanyak di Malaysia.
Pecah rekod
Pulau kelima terindah di dunia itu menjadi saksi kejayaan mereka menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menanam sebanyak 1,252 ranting karang.
SMKDAM dan UMK meleburkan rekod penanaman 777 ranting karang di Pulau Mabul, Sabah yang telah dicipta pada Oktober tahun lalu oleh penyedia perkhidmatan televisyen berbayar, Astro.
Simboliknya, angka 1,252 itu sendiri merupakan bilangan pelajar di SMKDAM.
Program pemuliharaan alam itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia, Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Kelantan dan Watercolours Resort.
Perasmian dan majlis menandatangani sijil MBOR itu telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof.

PELAJAR dan kakitangan SMKDAM dan
UMK meraikan kejayaan selepas berjaya menanam kira-kira 1,252 ranting
karang di Pulau Perhentian, sekali gus diiktiraf sebagai acara menanam
karang terbanyak di Malaysia.
Ia turut disaksikan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Ros, Pengetua SMKDAM, Che Ragayah Muhammad, wakil MBOR, Zulhairi Md. Zain, Ketua Pusat Taman Laut Besut, Wan Azli Wan Yusof dan Ketua Pegawai Operasi Watercolours Resort, Mike Soh Abdullah.
Ternyata, kepuasan terpancar pada wajah semua yang terlibat apabila misi itu berjaya dilunaskan dalam sorak gembira mereka yang berpakaian jaket keselamatan dan gogel di dalam air.
Percubaan kedua
Rata-rata pelajar SMKDAM yang menyertai misi itu ialah murid tingkatan 1, 2 dan 4.
Che Ragayah mendedahkan, acara itu merupakan percubaan kedua SMKDAM bersama UMK yang merupakan universiti angkat sekolah itu setelah mereka gagal pada cubaan sulung yang dianjurkan pada 24 Mac lalu berikutan beberapa masalah teknikal.
“Namun keinginan untuk menjayakan program tersebut telah menguatkan semangat kedua-dua pihak sehingga mereka berjaya menarik penglibatan MBOR,” katanya.
Che Ragayah berkata, program ini dirancang sebagai kemuncak aktiviti Kelab Pendidikan Luar (KPL) sekolah itu pada tahun ini setelah lima tahun mengadakan pelbagai aktiviti snorkeling di Pulau Perhentian dan Redang.
“KPL melakukan pelbagai aktiviti snorkeling selain daripada aktiviti paintball dan kayak. Bermula sebagai satu aktiviti santai yang memberi tumpuan kepada kemahiran fizikal, pengisiannya telah berkembang sejajar dengan pengalaman yang dilalui.
“Aktiviti snorkeling menjadi sebahagian daripada program penghayatan taman laut dan aktiviti kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar.
“Pulau Perhentian dipilih kerana tempat itu sering dilawati pihak sekolah dan pelajar-pelajar dapat melihat sendiri kesan yang berlaku kepada batu karang di kawasan ini disebabkan aktiviti manusia dan perubahan cuaca dunia.
“Saya berterima kasih kepada pihak yang memberikan kerjasama termasuk Watercolours Resort yang bersedia untuk memantau pertumbuhan karang yang ditanam dari semasa ke semasa,” katanya.

PROJEK menanam ranting karang mampu meningkatkan kefahaman peserta mengenai hidupan marin dan alam sekitar.
Penghayatan
Pelajar SMKDAM, Hasanah Ghazali, 16, berkata, penyertaannya di dalam program tersebut telah memberi pendedahan penting terhadap kehidupan marin.
“Ia juga memberi kesedaran kepada kita bahawa apa sahaja yang kita lakukan akan memberi kesan kepada makhluk alam yang lain. Apabila menyertai program sebegini, kita mudah berasa sedih apabila mendengar atau melihat tindak-tanduk manusia yang sewenang-wenangnya memusnahkan alam,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Mohd. Hijaz Ramzi, 16, berkongsi rasa bangga kerana dapat mencipta rekod baharu buat sekolahnya dan berbakti kepada alam sekitar.
“Kawasan karang merupakan tempat ikan-ikan kecil berlindung dan membiak.
“Jika karang tiada, di mana ikan-ikan kecil itu akan berlindung untuk meneruskan hidupnya? Alam sekitar wajar dijaga dan keindahannya perlu terus dipelihara untuk tatapan generasi kini dan akan datang,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: