Thursday, September 12, 2013

Jam tangan, kasut dan baju tingkat kualiti sukan



JOGING dan aerobik merupakan antara cabang sukan yang paling mudah dan kerap dilakukan bagi mengekalkan tahap kesihatan individu. Ia dilakukan secara berkala dengan tempoh minimum 30 minit sehari. Justeru, boleh dikatakan bahawa aktiviti riadah bukanlah sesuatu yang membebankan untuk dilaksanakan.
Bagaimanapun, sesetengah individu tidak bersenam untuk menjaga kesihatan semata-mata, malah ada yang menjadikan ia sebagai satu gaya hidup. Kelompok ini sanggup melabur modal yang agak tinggi bagi mendapatkan kualiti optimum ketika bersukan menerusi pembelian gajet dan aksesori tambahan termasuk jam tangan, kasut dan baju.
Setiap pembelian produk tersebut adalah berdasarkan fungsi dan faedah untuk penggunaan secara kerap. Ia dilengkapi teknologi terkini bagi membantu seorang atlet bergerak pantas dan aktif ketika melakukan senaman pada tahap maksimum seperti maraton, mendaki dan berbasikal.
“Tidak dinafikan harga barangan berkualiti sebegini agak mahal, tetapi bagi seseorang yang bergiat secara serius, ia adalah pembelian yang berbaloi.
“Sebagai contoh, jam tangan Garmin Forerunner 610 (FR610) yang saya beli empat bulan lepas ini. Ia boleh dipakai ketika berenang, maraton dan mendaki,” ujar Mohd. Ridwan Mustafa, 26, ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.
FR610 merupakan inovasi baharu keluaran Garmin dengan beberapa fungsi terkini. Ia merupakan jam tangan pertama syarikat sistem penentu kedudukan global itu yang mempunyai fungsi paparan sesentuh. Salah satu peningkatan teknologi FR610 ialah Virtual Racer yang membolehkan pengguna mengatasi catatan masa terdahulu.
Contohnya, jika larian 10 kilometer anda sebelum ini mencatatkan masa 1 jam 10 minit, dengan jam tangan tersebut, tempoh itu akan disingkatkan menjadi 55 minit kerana ia berfungsi sebagai pacer. Dalam acara maraton, pacer merujuk kepada seorang individu yang membantu pelari menamatkan larian dalam tempoh yang spesifik. Justeru, jam tangan itu meminjam tujuan yang sama agar larian pemakai lebih konsisten dan menepati tempoh yang ditetapkan.

VARIASI kasut sukan di pasaran mempunyai fungsi dan teknologi yang berbeza-beza.


Fungsi
Berbeza pula dengan Tengku Fariz Tengku Roslan, 26, yang memilih jam tangan model Suunto Ambit. Mungkin ramai yang kurang mengenali gajet itu, namun dalam kalangan atlet professional, ia antara jam tangan sukan yang mempunyai fungsi dan teknologi yang terbaik.
“Dulu saya hanya menggunakan jam tangan sukan biasa dengan fungsi-fungsi yang terhad. Sebelum membeli, saya buat kajian selama beberapa bulan dengan merujuk laman YouTube dan blog-blog khusus untuk sukan.
“Harganya yang mencecah ribuan ringgit membuatkan saya berfikir dua kali untuk memilikinya. Namun selepas berpuas hati dengan ulasan dan respons daripada para pengguna, saya terus membeli jam ini,” ujarnya yang telah membeli jam tangan berkenaan pada Julai 2012 pada harga RM2,199.
Kepuasan menjadi ukuran utama kepada Tengku Fariz kerana setiap barangan yang dibeli adalah mengikut kesesuaian aktiviti sukannya. Seperti Ridwan, Tengku Fariz juga aktif dalam maraton, mendaki gunung dan aktiviti meredah hutan. Kesemua aktiviti tersebut terdapat dalam fungsi-fungsi jam tangannya.
“Mendaki gunung misalnya, jam tangan ini dapat memberi maklumat mengenai tahap ketinggian dan tekanan sekeliling. Ia juga boleh berfungsi sebagai kompas bagi menentukan arah ketika berada dalam hutan,” kongsi beliau.
Peranan kasut
Selain daripada jam tangan, kasut juga memainkan peranan penting kepada individu yang aktif bersukan. Kasut sukan amat berbeza berbanding kasut harian kerana ia dicipta dengan teknologi yang mampu menyokong bahagian kaki, memandangkan ia menerima tekanan dan haba yang tinggi.
Ridwan memberitahu, kasut sukan seharusnya dapat menampung kaki dan berat badan dengan stabil serta mengurangkan rasa sakit daripada tekanan ketika berlari. Namun, pelaburan yang tinggi dengan membeli kasut berjenama bukanlah jaminan bagi memberi keselesaan kepada si pemakai.
“Bagaimanapun, kebanyakan jenama kasut sukan terkenal sentiasa mengorak langkah ke hadapan dalam kajian dan pembangunan mengenai teknologi agar dapat memenuhi kehendak pengguna,” ujar Ridwan yang baru menubuhkan kumpulan Gorgeous Runner yang bertujuan mengumpul pelari tegar maraton bagi mengikuti kejohanan larian di dalam dan luar negara.
Memilih kasut jenis Asics Gel-DS Trainer 17, Tengku Fariz pula mengutamakan fungsi dan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam kasut yang dibelinya. Jenama kasut yang dimilikinya sekarang mempunyai kelebihan teknologi yang dipanggil gel cushioning.
“Ia membolehkan kaki menyerap hentakan dengan lebih baik dan membantu fokus penstabilan kaki ketika berlari. Pengguna akan berasa lebih selamat kerana ia membantu mengelak daripada kecederaan,” tambahnya.
“Biasanya teknologi yang ada pada kasut bergantung kepada pengeluar. Setiap jenama tersebut mempunyai kelebihan yang berbeza. Jadi pemilihan kasut hendaklah bersesuaian dengan kegunaan dan keselesaan,” kata jurutera muda itu.
RIDWAN (kiri) mendengar penerangan daripada Tengku Faris mengenai fungsi jam tangannya.


Pakaian
Gajet dan aksesori sukan pastinya tidak lengkap jika tidak mengambil kira baju khas yang dipakai oleh kebanyakan atlet. Baju yang betul mesti mempunyai saiz dan tahap penyerapan peluh yang baik. Sejenis baju yang sering diguna pakai ialah pelapis asas (base layer) atau lebih dikenali sebagai pakaian mampatan yang melekap pada tubuh (compression wear).
Tengku Fariz berkata, ia dipakai sebagai lapisan dalam baju dan diperbuat daripada material yang cepat kering, ringan dan mampu membebaskan haba badan dengan cepat. Ia menjadikan badan lebih nyaman ketika beraktiviti.
“Selain itu, ia sebenarnya membantu 'memegang' otot kita ketika melakukan aktiviti. Maksudnya, badan kita terasa lebih kemas dan mapan ketika beraksi dalam pakaian itu,” kongsinya.
“Compression wear juga membantu pengedaran darah ketika beraktiviti dengan mempercepatkan kadar pengaliran darah. Ia penting untuk penghantaran oksigen ke seluruh badan. Ini membantu dalam proses penyembuhan dengan mengurangkan jangka masa pemulihan tisu otot yang rosak,” ujar Tengku Fariz.
Bagi Ridwan, dia lebih selesa menggunakan baju daripada material spandeks kerana menyejukkan badan ketika bersukan.
Motivasi
Kedua-dua mereka bersependapat, pelaburan terhadap gajet perlu mengikut kemampuan dan kepentingan. Pembelian perlu disertakan dengan beberapa kajian dengan merujuk kepada pakar atau pengguna terdahulu.
“Selain itu, kelengkapan ini banyak membantu memotivasikan diri kita supaya bersukan dan mengamalkan cara hidup sihat. Ia turut meningkatkan keyakinan kita ketika melakukan sesuatu aktiviti,” kongsi Tengku Fariz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: