Monday, September 16, 2013

Shaheizy Sam keluar single


SHAHEIZY SAM bersedia menyanyikan lagu yang liriknya ditulis oleh para peminat.


DI mana sahaja aktor Shaheizy Sam berada, pasti dirinya tidak terlepas daripada peminat yang datang untuk bergambar. Namun, apa yang membuatkan peminat suka akan dirinya ialah kerana Shaheizy Sam atau lebih mesra disapa sebagai Sam, pasti akan berusaha melayan setiap kerenah peminat.
Baru-baru ini, Sam telah menyertai kempen Nescafe Cans, On The Life. Ia memberi peluang kepada peminat untuk menghantar lirik kepada Nescafe dan dinyanyikan oleh Sam sendiri. Sidang akhbar yang telah diadakan di The Bee, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur itu menyaksikan Sam telah menyampaikan sebuah lagu.
Namun, sebelum ini, ramai tahu Sam pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia belum bersedia untuk menyanyi. Bagaimanapun demi menunaikan permintaan peminat, Sam bakal muncul dengan sebuah single.
“Sebelum ini bukannya Sam tidak mahu menyanyi, mungkin perkara itu terjadi kerana ia merupakan tindak balas saya ketika itu. Tetapi sebenarnya, bila buka sejarah, saya memang gemar menyanyi sejak kecil lagi.
“Pada waktu itu, saya sedang lepak sambil menyanyi di set penggambaran. Seorang rakan merakam aksi saya secara senyap-senyap dan memuatnaik di dalam laman sosial Facebook.
“Bila telah berada dalam Facebook, banyak komen positif yang meminta saya menyanyi. Saya fikir ramai yang tidak tahu saya masuk ke dalam industri hiburan menerusi bidang nyanyian. Rupa-rupanya, tanpa saya sedari ramai yang tahu sejarah saya,” ungkap Sam yang pernah menganggotai kumpulan M.O.B.
Sedia bertanding
Ketika ditebak persoalan seandainya lagu tersebut menjadi popular dan tercalon dalam mana-mana pertandingan, jawab Sam, dia tidak keberatan untuk bertanding.
“Jika lagu itu dimasukkan secara profesional dan bertanyakan dahulu kepada penyanyi sama ada ingin bertanding atau tidak, apa salahnya.
“Tetapi jika mereka tidak bertanyakan dahulu kepada saya sama ada ingin masuk atau tidak, mengapa saya mahu menyanyi? Mengapa orang kata saya tarik diri, walhal saya tidak pernah melangkah masuk. Sebenarnya, ia boleh dibawa berbincang,” tutur Sam.
Tambah penggemar sut rekaan butik terkenal Lord’s Tailor ini, dia juga tidak pasti sama ada sudah bersedia atau tidak untuk aktif dalam bidang nyanyian.
Katanya, perasaan gementar tetap ada.
Berbicara mengenai penglibatannya dalam kempen anjuran Nescafe, jelas Sam, minuman tersebut dianggap umpama pemanas 'enjin' dirinya setiap hari. Mungkin kerana itu juga dia dipilih oleh pihak Nescafe.
“Perjuangan saya ialah untuk menaik taraf bidang seni. Tapi, dalam masa yang sama, punca saya bersungguh-sungguh lakukan perkara ini adalah kerana peminat saya.
“Atas perbincangan dan persetujuan bersama pihak Nescafe, saya pilih Audi Mok untuk menggubah lagu dan membantu saya dalam memilih yang terbaik. Saya tidak dapat nafikan kredibiliti yang ada pada Audi Mok.
“Buat peminat, tidak kisah jika hanya sebaris lirik dan apabila kami rasakan ia sesuai untuk dijadikan sebuah lagu, akan kami ambil juga dan mengolahnya menjadi lebih baik. Namun, jika ada peminat yang menghantar lirik penuh, lebih bagus,” jelasnya tentang kempen tersebut.
Kepada peminat yang berminat menghantar lirik untuk dinyanyikan oleh Sam, maklumat lanjut boleh didapati di www.onsam.com.my atau https://www.facebook.com/shaheizy.sam.official.fanpage.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: