Monday, September 16, 2013

Diana belum bersedia kembali berlakon



DIANA DANIELLE enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan ibunya, Norsiah.


SELEPAS lebih dua bulan melahirkan cahaya mata sulung, akhirnya pelakon Diana Danielle membuat kemunculan pertama di khalayak ketika menemani suaminya, Farid Kamil pada majlis malam gala filem Dampak di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita tentang kehidupannya setelah bergelar seorang ibu, Diana menyatakan dia sedang melalui saat-saat yang indah bersama bayi lelakinya yang diberi nama Muhammad itu.
"Apabila pulang ke Malaysia beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, saya membuat keputusan untuk menetap di kampung suami di Alor Setar, Kedah.
"Sekarang, saya masih lagi dalam proses berpantang untuk tempoh selama 100 hari sambil menikmati kehidupan yang indah di kampung bersama-sama dengan anak," ujarnya.
Apabila ditanya mengenai kenyataan yang dibuat oleh Farid sebelum ini yang agak keberatan untuk mengizinkan dia kembali berlakon, Diana memberitahu bahawa ia dibuat atas kebaikan untuk dirinya.
Diana, mengakui dia memang belum bersedia untuk kembali berlakon dalam tempoh terdekat, meskipun sudah ada beberapa tawaran yang telah diterimanya.
"Suami keberatan untuk mengizinkan saya berlakon bukan disebabkan mahu saya kelihatan kurus, tetapi dia inginkan saya supaya betul-betul sudah kuat.
"Selepas bersalin, memang keadaan saya masih lagi tidak stabil dari segi kesihatan dan emosi. Biarlah saya sihat seperti sediakala, barulah saya akan fikir untuk berlakon semula," jelasnya.
Selain mahu berada dalam keadaan sihat, Diana juga menjelaskan bahawa ketika ini dia masih belum bersedia untuk meninggalkan anaknya semata-mata mahu berlakon.
Menurutnya, dia tidak mahu terlalu mengharapkan ibu mertuanya itu menjaga Muhammad sepanjang masa dan ingin mencari individu yang mampu menjaga anaknya dengan baik.
"Kalau boleh, saya mahu seseorang yang dapat bersama saya sepanjang masa dan paling penting, individu tersebut boleh dipercayai. Cuma, saya masih belum berjumpa lagi dengan orang yang sesuai," jelasnya.
FIGURA ini mengakui emosinya masih belum stabil pada peringkat awal melahirkan anak sulungnya ini.


Sementara itu, ketika diajukan pertanyaan tentang pengajiannya di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia, Diana memberitahu dia baru sahaja menamatkan pengajian untuk kelas teori dan perlu menjalani praktikal.
"Kalau ikutkan saya perlu menjalani latihan di Australia, tetapi dengan keadaan sekarang ini agak sukar. Jadi, saya putuskan untuk buat praktikal di Malaysia sahaja.
"Saya dibenarkan bekerja dengan mana-mana syarikat yang sesuai di sini dan setiap laporan akan dihantar kepada pihak NIDA untuk mereka membuat penilaian dan memberi markah," jelasnya.
Tenang
Menceritakan tentang kehidupannya sewaktu mengandung di luar negara, Diana berkata, dia bernasib baik kerana tidak berhadapan dengan sebarang masalah yang besar.
Ujarnya, dia menjalani kehidupan yang cukup tenang tanpa sebarang gangguan, malah peluang tinggal di sebuah kawasan yang berhampiran dengan pantai semasa di Australia cukup membahagiakan dirinya.
"Saya menyukai suasana yang lebih bebas dan tanpa memikirkan tentang kerja atau komitmen lain. Selain itu, saya suka berada di sekeliling orang yang langsung tidak mengenali saya.
"Kalau ditakdirkan mengandung anak kedua nanti, saya memang merancang untuk pergi ke suatu tempat yang orang lain tidak tahu untuk dapat ketenangan," jelasnya.
Bagaimanapun, ketika diajukan soalan oleh wartawan berhubung isu yang timbul dengan ibu kandungnya, Norsiah Ramli, pelakon itu bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: