Saturday, September 7, 2013

Senyum Malaysia sasar si cilik


NOR Aziah (belakang enam dari kiri) dan Amiruddin (belakang enam dari kanan) bergambar bersama sekumpulan kanak-kanak Tabika Kemas Taman Wilayah ketika pelancaran kempen 'Senyum Malaysia' yang dilancarkan baru-baru ini.


TIDAK ramai yang menyedari kesihatan mulut dan gigi adalah kunci kepada kesihatan anggota tubuh secara keseluruhan.
Oleh itu, penjagaannya perlu dimulakan di peringkat awal iaitu sejak bayi mulai tumbuh gigi.
Ia diikuti usaha mendisiplinkan mereka untuk menggosok gigi sebanyak tiga kali sehari menggunakan kaedah yang betul.
Menyedari hakikat itu, jenama penjagaan gigi terkemuka, Colgate-Palmolive Marketing Sdn. Bhd. (Colgate) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) baru-baru ini telah melancarkan kempen Senyum Malaysia.
Pengarah Kanan Pemasaran Ubat Gigi Colgate, Nor Aziah Mohd. Said, kempen selama sebulan itu bertujuan mendidik ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut dan gigi.
Katanya, ia sejajar dengan usaha syarikat itu untuk menyokong Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyasarkan pengurangan pelbagai penyakit gigi dalam kalangan kanak-kanak yang berumur enam tahun dan ke bawah sehingga 50 peratus menjelang tahun 2020.
“Kempen ini menekankan kepentingan amalan penjagaan kesihatan gigi susu dalam kalangan kanak-kanak prasekolah di seluruh negara.
“Ini kerana penjagaan gigi susu penting bagi membantu golongan ini mempelajari kepentingan pemakanan dan pengambilan nutrisi yang betul,”katanya pada pelancaran kempen itu di Tabika Kemas, Taman Wilayah, Selayang baru-baru ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Amiruddin Ariffin.
Nor Aziah menambah, pada masa yang sama, penganjuran kempen juga dilihat dapat membantu pembentukan gigi kekal yang cantik dan teratur pada masa hadapan.
Pada majlis pelancaran itu, seramai 70 kanak-kanak prasekolah tersebut telah mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan seperti bengkel penjagaan mulut dan demonstrasi memberus gigi oleh kakitangan Klinik Pergigian Selayang Baru.
Sokongan umum
Dalam menjayakan kempen itu, Nor Aziah berkata, pihaknya turut menggesa orang ramai untuk menyatakan sokongan terhadap kempen itu dengan menonton dan berkongsi video Senyum Malaysia yang disiarkan di laman sosial Facebook Colgate (www.facebook.com/ColgateMy).
Katanya, orang ramai boleh menyatakan sokongan mereka melalui tiga kaedah iaitu dengan menekan butang ‘suka’ yang diterjemah sebagai satu sokongan; menekan butang ‘suka’ dan ‘kongsi’ (dua sokongan); memuat naik gambar senyuman (lima sokongan) atau membeli produk ubat gigi Colgate Total (satu sokongan) di kedai-kedai di seluruh negara.
“Kita menyasarkan sebanyak 500,000 sokongan akan dikumpul sepanjang kempen ini.
“Sebaik sahaja sasaran ini dicapai, kami akan menukarnya kepada sumbangan berupa set ubat gigi dan berus gigi kepada 14,700 kanak-kanak di 545 buah Tabika Kemas di seluruh negara,”ujarnya.
Sejajar dengan kempen itu, Nor Aziah berkata, pihaknya turut melancarkan Skuad Senyum Malaysia, sebuah skuad yang terdiri daripada para sukarelawan Colgate.
“Skuad ini akan melakukan kunjungan ke 20 buah Tabika Kemas terpilih di sekitar Lembah Klang mulai minggu hadapan dan menunjukkan kaedah penjagaan dan memberus gigi yang betul.
“Ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat Colgate bersama Kemas dalam mengutamakan keperluan penjagaan kesihatan mulut dan gigi melalui pendidikan kepada kanak-kanak,” jelasnya.
Manfaat
Sementara itu, seorang penjaga, Norlizawati Nordin, 31, berkata, kempen terbaharu Colgate itu mampu membendung masalah penyakit atau kerosakan gigi yang sering dialami dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
“Kanak-kanak dan makanan manis sukar dipisahkan, justeru adalah penting mereka didedahkan dengan kaedah penjagaan gigi yang betul di peringkat awal,” katanya.
Bagi Mohd. Fairus Yahya, 30, kempen itu mampu menanam tabiat menggosok gigi sebagai satu amalan harian dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
“Mungkin amalan memberus gigi sebanyak tiga kali sehari sukar dilaksanakan kanak-kanak, tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mengalakkan tabiat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: