Tuesday, September 17, 2013

Sajian tradisi merentasi budaya




KELINCAHAN Suhaiza Mohd. Hussaini, 43, memasukkan segala ramuan tanpa mengikut sukatan jelas mempamerkan dirinya yang cukup meminati seni masakan.
Mesra membahasakan dirinya sebagai Su, dia menyatakan mula minat memasak pada usia 10 tahun dan lebih gemar menghabiskan masa di dapur mengasah kemahirannya dalam menyediakan masakan Melayu.
Selepas mendirikan rumah tangga bersama lelaki berketurunan Cina, Mohamad Hadi Lim Abdullah, 53, pada tahun 1991, kemahiran Su semakin bertambah dengan mempelajari masakan kaum Cina, termasuk kuih bulan.
"Pada mulanya, saya tidak tahu suami suka kuih bulan dan memakannya untuk sarapan. Namun, selepas dia mengadu bosan kerana dihidangkan dengan hidangan sarapan pagi yang sama setiap hari, saya mengambil inisiatif untuk mempelajari cara-cara membuat kuih itu," katanya.
Bertitik tolak dari situ, wanita tersebut sanggup mengikuti kursus penyediaan kuih bulan bersama dua orang chef berketurunan Cina di Puchong dan Petaling Jaya. Kelas-kelas yang dihadiri itu hanya berlangsung selama satu hari dan diajar menerusi demonstrasi chef sahaja.
"Cara-cara membuat kuih ini sukar kerana peserta tidak diberi peluang menyediakannya ketika di kelas. Jadi apabila mencuba resipi yang dipelajari di rumah, hasilnya tidak menjadi," kata Su ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Balakong, Selangor baru-baru ini.
Kuih bulan merupakan kuih tradisi Cina yang dinikmati pada Festival Kuih Bulan yang jatuh pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar lunar Cina. Berdasarkan mitos dan legenda zaman purba, komuniti Cina menyambut festival ini sebagai tanda kesyukuran selepas musim menuai. Kuih-kuih bulan akan disediakan kepada kenalan atau pada majlis-majlis himpunan keluarga sebagai simbol tanda kasih sayang dan harapan kehidupan yang harmoni.
Penyediaan rumit
Kuih bulan yang berbentuk bulat mempunyai ukuran diameter kira-kira 10 sentimeter dengan ketebalan di antara empat sehingga lima sentimeter. Kebanyakan kuih bulan terdiri daripada lapisan kulit nipis yang dibakar dengan inti pelbagai perasa seperti pes kacang hijau, biji bunga teratai, kurma merah dan kuning telur masin.
SUHAIZA mengkomersialkan kuih bulan kerana melihat potensi pasaran.


Namun, pada hari ini turut disediakan versi kuih bulan yang tidak dibakar atau dipanggil berkulit salju dan pelbagai inovasi perasa bagi memikat cita rasa pelanggan.
Ibu kepada enam orang anak itu memberitahu, sungguhpun tidak dapat membuat sendiri kuih bulan di kelas, beliau menganggap ia sebagai satu cabaran yang perlu diatasi dengan berlatih sendiri di rumah.
"Ada kala ia menjadi keras dan sebaliknya. Hakikatnya, untuk mendapatkan hasil yang sempurna bukanlah mudah. Ia perlu dilakukan berkali-kali supaya berhasil.
"Hampir setahun mencuba, Alhamdulillah, kini saya boleh membuat kuih bulan yang saya percaya setanding dengan yang dihasilkan orang Cina," katanya sambil tersenyum.
Ditanya mengenai cara-cara menyediakan 10 biji kuih bulan berintikan kacang merah, Su berkata, dia menggunakan satu kilogram kacang merah, minyak dan gula.
Pada mulanya, kacang merah tersebut akan direbus sehingga menjadi lembut dan kemudian dikisar.
"Kacang merah yang telah dikisar itu akan dimasukkan bersama minyak untuk dimasak di atas api sederhana selama tiga jam bagi mendapatkan inti yang lembut. Jika terlalu lama ia akan menjadi keras," jelasnya.
Inti yang telah dimasak kemudiannya disejukkan pada suhu bilik dan bersedia untuk proses pembentukan kuih bulan.
Kulit kuih bulan disediakan melalui adunan tepung gandum, sirap kencana, minyak kacang, soda bikarbonat dan tepung kek.
"Inti tersebut akan disalutkan dengan doh lalu ditekap dengan menggunakan acuan bagi mendapatkan bentuk sempurna.
"Sebaik selesai, kesemua kuih bulan itu akan dimasukkan ke dalam ketuhar selama 15 minit pada suhu 180 darjah Celsius," ujarnya sambil memberitahu, sebaik masak ia akan disapukan dengan kuning telur lalu dibakar semula sehingga 10 minit agar kuih bulan kelihatan kilat kekuningan.
Melihat proses penyediaan yang rumit dan mengambil masa yang lama, tidak hairanlah mengapa kuih tradisi itu boleh dijual sehingga mencecah RM30 sebiji.
Menyedari tidak ramai masyarakat Melayu menjual kuih bulan, Su memutuskan untuk mengkomersialkan kuih berkenaan kepada orang ramai terutamanya umat Islam.
"Jarang sekali orang Melayu mahu menyediakan kuih bulan apatah lagi ia merupakan makanan tradisi masyarakat Cina. Jadi, tanpa berfikir panjang, saya cuba menjual kuih itu secara kecil-kecilan melalui laman sosial Facebook, Annis Suhaiza.
"Sejak tiga tahun mengusahakan perniagaan ini, sambutan yang diterima amat memberangsangkan," jelasnya.
Pada kebiasaan, dia menjual dua sehingga empat biji kuih bulan pada harga RM18 dan RM35 sebiji, bergantung kepada jenis inti yang dikehendaki pelanggan.
Ilmu yang dimiliki Su turut dikongsi melalui penyediaan kelas membuat kuih bulan, agar-agar dan kek di rumahnya dengan bayaran RM350 seorang.

SYARIKAT-syarikat besar seperti Leong Yin Pastry menghasilkan sehingga 15,000 biji kuih bulan setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.


Sedap
Bagi Wardah Hani Rosli, 24, dia mula merasai keenakan kuih bulan sejak awal tahun ini, khususnya apabila pelbagai jenama di pasaran telah mendapat status halal.
"Saya lebih suka inti biji teratai dengan telur masin berbanding inti-inti lain. Kelazatannya berbeza memandangkan ia bersifat lembap dengan rasa manis dan masin yang menyebabkan kita tidak jemu menikmati kuih itu," ujarnya yang sering memperoleh kuih bulan di pasar raya utama.
Begitupun, lain pula bagi kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Azura. Dia lebih gemar membeli kuih bulan buatan pengusaha Muslim kerana khuatir terbeli yang tidak halal di pasaran.
"Saya yakin pengusaha beragama Islam akan menggunakan ramuan yang diterima syarak," jelasnya.
Tambah anak jati Negeri Sembilan itu, menikmati kuih bulan halal yang dijual pada harga berpatutan bukan mudah didapati lebih-lebih lagi di luar Lembah Klang.
Sehubungan itu, dia berharap lebih ramai pengusaha Islam di luar Lembah Klang tampil menjual kuih bulan memandangkan ramai masyarakat Muslim yang mahu mencuba hidangan tersebut jika statusnya halal.
Bagi Tai Kim, 35, yang juga merupakan pelanggan Su, dia tidak menyangka jirannya itu mempunyai kemahiran menyediakan kuih bulan.
"Rasa kuih bulan yang dihasilkan Su sama seperti yang disediakan masyarakat Cina. Tidak ramai orang Melayu yang mampu melakukan perkara ini," katanya yang mendapat tahu mengenai kebolehan Su daripada jiran-jiran yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: