Tuesday, September 17, 2013

Elit China belajar etika kelas atasan


SARAH menunjukkan cara menuang teh dengan cara yang betul.


BAGAIMANAKAH mengupas kulit oren dengan betul, memegang garpu tiram dan menyebut nama-nama jenama mewah?
Golongan kaya di China sanggup membayar sejumlah wang yang banyak untuk mempelajari pelbagai kemahiran sesuai dengan gaya hidup mereka yang mewah.
Yuran kursus selama dua minggu di Institut Sarita di Beijing, China yang baru sahaja dibuka itu adalah sebanyak 100,000 yuan (RM53,558.34).
Namun, jumlah yang tinggi itu tidak membantutkan hasrat berdozen-dozen pelajar dari seluruh negara untuk mengikuti etika kelas atasan.
Pengasasnya, Sarah Jane Ho memberitahu, beberapa dekad kebelakangan ini ramai dalam kalangan wanita kaya yang berusia dalam lingkungan umur 40-an menyertai kelas tersebut.
Menurutnya, ibu bapa mereka terselamat daripada trauma kesusahan di bawah pemimpin mendiang Mao Zedong, sementara anak-anak mereka menikmati kehidupan yang terdedah dengan konsep Barat dan terperangkap dalam kejutan budaya yang berpanjangan.
"Kini, orang kaya baharu di China mengambil alih semua peranan isteri, ibu, anak perempuan, ahli perniagaan dalam dunia yang berubah secara mendadak.
"Apa yang pelanggan saya mahu ialah satu panduan iaitu Confucius Baharu. Apa yang mereka perlukan ialah rujukan dan itulah yang saya berikan," katanya.
Bagi kebanyakan peserta, harga yuran yang mahal untuk memperoleh ilmu tersebut bukan masalah nesar kepada mereka. Bahkan, menurut Sarah, para pelajarnya boleh menghabiskan wang tiga kali ganda berbanding harga yuran tersebut semata-mata mahu mendapatkan bulu haiwan atau barang kemas yang diperkenalkan di dalam kelas.
Selain belajar etika penampilan diri, mereka perlu membiasakan diri dengan wain, sukan elit seperti golf dan menunggang kuda, cara penyediaan teh Inggeris, seni menggubah bunga dan menghias meja.
Kata Sarah, seorang pelajar yang menjalani ujian menjadi tuan rumah telah melakukan kesilapan apabila dia meletakkan pisau menghadap ke luar dan bukannya ke dalam.
Mereka juga belajar cara-cara membantu suami dan etika berbual bersama rakan-rakan perniagaan lelaki dengan topik perbualan yang boleh diterima. Mereka tidak boleh melontarkan soalan seperti, "Berapa banyak pendapatan anda?" atau "Mengapa anda menceraikan isteri?". Begitu juga dengan jarak ketika berdiri seseorang dengan individu lain.
"Jarak peribadi merupakan sesuatu yang baharu di China," kata Sarah yang memberitahu pelajarnya supaya sentiasa meletakkan siku rapat ke badan.
Institut tersebut yang menjadi tuan rumah kepada pelajar di hotel mewah dibuka secara rasmi sejak bulan Mac lalu. Ia diwujudkan khusus untuk wanita muda daripada keluarga yang disegani di Barat mempelajari kursus penampilan diri di sekolah-sekolah tradisional tetapi sebahagian besarnya sudah tiada.

PARA pelajar diajar cara menyediakan meja makan mengikut etika susunan yang ditetapkan.


Sarah, graduan Harvard yang boleh bertutur dalam lima bahasa pernah mengikuti kursus di Institut Villa Pierrefeu, Montreux, Switzerland yang juga dikenali sebagai sekolah keterampilan Swiss terakhir.
Ramai pelajarnya mengambil keputusan untuk mengikuti kelas etika selepas mendapati mereka berasa kekok ketika berada di majlis mewah lebih-lebih lagi yang menghidangkan makanan Barat.
"Mereka tidak berani untuk menjamu selera kerana takut dipersendakan khususnya apabila dihidangkan menu siput escargot yang merupakan siput babi," kata ketua chef institut tersebut yang direkrut daripada Kedutaan Perancis.
Jocelyn Wang, 24, menjelaskan mempelajari selok-belok protokol gaya makan Barat adalah antara pelajaran yang paling berharga bagi dirinya selama menjalani kursus 10 hari di Institut Sarita.
"Cara seseorang makan, memegang pisau dan garpu melambangkan tingkah laku mereka. Topik ini tidak diajar secara meluas di China.
"Ibu bapa saya mungkin telah belajar melalui pengalaman atau daripada televisyen mahupun internet," ujarnya yang mahu mempelajarinya dengan lebih mendalam.
Pada sesi 9 hingga 6, dia menggunakan pembaris untuk mengukur kedudukan yang tepat bagi garpu dan pisau. Dia juga melawat galeri-galeri seni dan mengambil nota untuk digunakan di dalam kelas.
Di sebalik arahan terperinci yang perlu diikutinya, dia mendapati ada nilai-nilai lain yang tiada dalam sesi pembelajaran boleh diterapkan dalam kehidupan iaitu sikap tenang, rasa dan keyakinan.
Jocelyn yang membuat kajian tentang globalisasi untuk ijazah sarjananya di London memberitahu, terdapat perbezaan antara bangsawan dan orang kaya baharu.
"Kita memiliki kehidupan yang benar-benar baik, sekurang-kurangnya material. Jadi, takkan kita mahu bersikap kasar dan kekampungan," katanya.
Ahli Sosiologi dari Harvard, Martin Whyte berkata, minat orang China dalam etika ini sudah dijangkakan kerana mereka sedang menikmati kekayaan yang diperoleh, namun tetapi masih ada kekurangan iaitu tradisi bangsawan.
"Sebagai orang kaya baharu, keadaan itu mendedahkan mereka kepada kritikan.
"Mereka merasakan ada keperluan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka bukan sahaja mata duitan, tetapi turut mempunyai kehalusan budaya dan kesopanan agar dilihat sebagai orang kaya yang dihormati dan bukannya dibenci," ujarnya sambil menyamakan orang kaya di China hari ini seperti rakyat Amerika pada abad ke-19.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: