|
HONDA boleh dikatakan sebagai jenama yang bernasib baik di Malaysia. Walaupun sering berhadapan dengan cabaran sengit daripada para pesaingnya, kebanyakan model Honda yang ditawarkan tetap mendapat sambutan hangat.
Sejak kebelakangan ini, Honda sering hadir dengan berita gembira untuk pengguna tempatan. Sebagai satu pasaran yang amat sensitif dengan harga, tawaran harga berpatutan untuk produk keluarannya memang disambut baik.
Harus tahu bahawa inisiatif pengurangan harga itu dilakukan sendiri oleh Honda atau lebih spesifik lagi Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB). Tiada kena mengena dengan sebarang insentif daripada kerajaan.
Kesan penurunan harga dapat dilihat dengan pantas. Contoh terbaharu, apabila model kompak Honda Jazz versi petrol ditawarkan pada harga RM74,800 seunit, HMSB mencatat jualan tertinggi pada Julai lalu iaitu sebanyak 6,038 unit. Sebelum ini, jualan tertinggi yang dicatatkan ialah 5,045 unit pada Julai 2012.
Penawaran harga yang kompetitif dibuat menerusi usaha meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan memaksimumkan komponen tempatan. Alangkah bagusnya jika semua pengeluar ada kesungguhan sebegitu.
Minggu lalu HMSB sekali lagi menggunakan formula hampir sama. Kali ini, harga yang ditawarkan cukup kompetitif bersama barisan ciri baharu yang nilainya mencecah belasan ribu ringgit.
Generasi kesembilan Honda Accord sememangnya ditunggu-tunggu kerana pesaingnya seperti Toyota Camry dan Mazda6 sudahpun tampil dengan model baharu. Menurut HMSB, sedan itu menerima pelbagai penambahbaikan yang signifikan untuk bersaing dalam segmen D yang sangat kompetitif.
Accord kini sudah berusia 37 tahun. Menerusi lapan generasi, Accord menjadi antara model utama Honda. Di peringkat global, sebanyak 19 juta Accord telah terjual di 160 buah negara sejak generasi pertamanya menemui pengguna pada tahun 1976.
Pada tahun 1982, Accord menjadi model CKD pertama yang dihasilkan di Amerika Syarikat. Sedan itu juga menjadi kenderaan terlaris di Jepun selama 15 tahun berturut-turut.

UENO (kiri) bersama Pembantu Ketua
Projek Honda Accord generasi kesembilan, Masao Nakano melancarkan Honda
Accord baru-baru ini.
Untuk pasaran Malaysia, Accord tampil pada tahun 2001 apabila generasi ketujuhnya diperkenalkan. Sejak itu, ia mencatatkan jumlah jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 51,500 unit sehingga 31 Ogos 2013. Accord generasi kelapan sahaja terjual lebih 29,000 unit.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HMSB, Yoichiro Ueno menyatakan Accord baharu menetapkan satu penanda aras baru dalam segmen D. Ia dibina berdasarkan kemahuan pengguna, di samping menggabungkan aspek kemewahan, prestasi, sistem keselamatan inovatif dan teknologi canggih.
Nadi Accord adalah 'Honda DNA'. Nilai-nilai dan DNA Accord seperti gaya yang tidak ditelan zaman, keselesaan dan kesenyapan terbaik dalam kelasnya dikekalkan. Bukan itu sahaja, Accord juga menjanjikan peningkatan tahap penjimatan bahan api, seronok untuk dipandu serta bernilai untuk wang.
Dengan penambahan teknologi termaju, sofistikasi, kemewahan dan kualiti, Accord serba baharu dikonsepkan agar menjadi 'Pakej paling efisien pada sebuah Sedan Premium Pintar.'
Accord serba baharu ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0VTi, 2.0VTi-L dan 2.4VTi-L. Varian paling premium dikuasakan oleh enjin Earth Dreams Technology Honda yang revolusionari. Earth Dreams Technology merupakan satu set inovasi teknologi generasi akan datang yang dicipta untuk menawarkan kualiti pemanduan berprestasi tinggi dan jimat bahan api.
Jentera ini merupakan model pertama HMSB yang menggunakan rangkaian kuasa Earth Dreams Technology. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan.
Ketiga-tiga varian ini dilengkapi ECON Mode. Apabila diaktifkan, ECON Mode akan menggabung dan mengoperasikan satu siri fungsi ECO Assist. Kombinasi pintar ini mampu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api kenderaan dengan hanya menekan satu butang sahaja.
Kabin luas
Satu fakta menarik tentang Accord ialah jentera itu lebih kecil dan ringan berbanding model terdahulu. Ruang kabin Accord dibina berasaskan kepada falsafah kejuruteraan dan reka bentuk Honda iaitu 'Man Maximum, Machine Minimum' (Manusia Maksimum, Mesin Minimum), Honda berjaya meningkatkan ruang dalaman untuk menjadikannya lebih luas dan selesa buat para penumpangnya.

REKAAN lampu belakang yang kemas dan elegan.
Ruang kaki penumpang belakang telah ditingkatkan sebanyak 35.5mm, manakala bahagian butnya pula 23 liter lebih besar. Secara keseluruhannya, ruang dalamannya mengutamakan kemewahan dan berkualiti tinggi bersama rekaan yang bersih untuk meningkatkan lagi keselesaan.
Perkakasan penyerapan bunyi bising yang efisien, Kawalan Bunyi Bising Aktif (Active Noise Control, ANC) dan Kawalan Suara Aktif (Active Sound Control) berfungsi untuk menawarkan kesenyapan di dalam kabin yang terbaik dalam kelasnya.
Aspek kebisingan, getaran dan kekasaran (Noise, Vibration, Harshness atau NVH) ditingkatkan secara signifikan melalui pakej pemasangan pad penyerapan. Ini membolehkan pemandu dan penumpang menikmati pemanduan menyeronokkan di dalam kabin Accord serba baharu yang luas dan selesa.
Accord dibina berdasarkan kepada kemahuan para pelanggan Honda terhadap ciri-ciri keselamatan pintar dan maju, di samping teknologi bantuan penglihatan yang sememangnya membantu pemandu. Salah satu contohnya ialah LaneWatch Camera yang ada pada varian 2.4VTi-L dan menjadi model pertama Honda Malaysia yang menerima ciri keselamatan tersebut.
Visual titik buta akan dipaparkan pada Paparan Multi Maklumat pintar (i-MID) VGA LED sepenuhnya bersaiz lapan inci. Accord (2.0VTi-L and 2.4VTi-L) juga menampilkan Kamera Pandang Belakang Pelbagai Sudut (Multi-Angle Rearview Camera) yang mampu memaparkan ruang sehingga 180 darjah untuk pandangan lebih jelas ketika mengundur kenderaan.
Ciri isyarat berhenti kecemasan (Emergency Stop Signal) dan One Touch Lane Change nyata meningkatkan lagi aspek keselamatan inovatif Accord.
Varian 2.4VTi-L turut dilengkapi sistem Active Cornering Lights (ACL) yang menawarkan pencahayaan tambahan secara automatik apabila pemandu mengaktifkan indikator atau memusingkan stereng melebihi 90 darjah. Ini adalah satu ciri baharu buat Honda. Lampu utama LED pada varian 2.4VTi-L juga merupakan yang pertama ditawarkan pada model keluaran HMSB.
Sehingga 31 Ogos lalu, HMSB telah menerima lebih 330 tempahan untuk Accord. "Kami menyasarkan untuk menjual 2,800 unit Accord sehingga hujung tahun ini dengan purata jualan sebanyak 700 unit sebulan," tambah Ueno.
Ini bermakna Accord dijangka mampu menguasai 30 peratus perkongsian pasaran untuk kenderaan segmen D eksekutif bukan nasional.
Dalam usaha memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik, HMSB telah melanjutkan selang servis kenderaannya kepada 10,000 kilometer. Accord juga hadir dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Accord didatangkan dalam lima warna menarik iaitu kelabu, emas, hitam, putih dan perak.
Kalau berminat, anda boleh menempah Accord di salah satu daripada 64 pengedar Honda di seluruh negara. Bagi membolehkan kenderaan Honda lebih mudah diakses dan menambah baik perkhidmatannya, HMSB mengumumkan bahawa jumlah pengedar akan ditambah menjadi 80 menjelang akhir tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: