Saturday, September 14, 2013

Bertemu tokoh ternama dunia



MELIHAT iklan-iklan di dada akhbar dan internet mengenai pembukaan muzium patung lilin di i-City, Shah Alam, Ogos lalu ternyata mengimbau kenangan Radziah Abdullah, 44, ketika bercuti bersama keluarga di Universal Studios, Resort World Sentosa, Singapura tahun lalu.
Apa yang tersimpan dalam memorinya ketika kunjungannya itu ialah rupa paras dan bentuk fizikal ukiran patung-patung lilin tokoh, selebriti dan ahli sukan ternama dunia yang dipamerkan itu sama seperti yang ditontonnya menerusi kaca televisyen dan internet.
Sehubungan itu, pembukaan Red Carpet iaitu sebuah muzium yang menempatkan patung-patung lilin interaktif di i-City, Shah Alam pada pertengahan Ogos lalu amat ditunggu-tunggu oleh ibu kepada empat cahaya mata itu.
“Anak lelaki saya ingin melihat patung lilin legenda seni bela diri dan pelakon aksi Hong Kong, Bruce Lee. Ia merupakan matlamat asal saya dan keluarga datang ke sini. Dia (anak lelaki) juga terpegun melihat tekstur lilin rupa paras pelakon itu kerana ukirannya amat terperinci.
“Kami berpeluang menyentuh dan mengambil gambar bersama patung-patung lilin yang dipamerkan tanpa halangan daripada pihak pengurusan. Sebagai pengunjung, saya juga bertanggungjawab untuk mengawasi anak-anak agar tidak merosakkan patung-patung yang dipamerkan itu,” ujar guru yang bertugas di sebuah sekolah di Shah Alam itu.
DUA orang pelawat terpegun melihat patung Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman pada Hari Merdeka 1957.


Suasana eksklusif
I-City telah dimajukan oleh I-Berhad di kawasan seluas 29 hektar di Seksyen 7, Shah Alam. Antara daya tarikan pelancongan di i-City ialah Bandar Lampu Digital yang mempunyai kira-kira 1 juta lampu diod pemancar cahaya (LED), Snowalk, WaterWorld dan FunWorld .
Kini, Red Carpet merupakan produk pelancongan baharu milik i-City di dalam kategori FunWorld selain daripada Muzium Seni Silap Mata.
Red Carpet menempatkan kira-kira 100 patung lilin tokoh-tokoh, pemimpin, selebriti dan ahli sukan terkenal dari dalam dan luar negara dan ia merupakan muzium lilin yang pertama di Malaysia.
Dengan tema berkonsepkan Anugerah Oscar, bangunan tiga tingkat di dalam kawasan seluas 2.7 meter persegi itu menampilkan suasana eksklusif untuk pengunjung berjalan di atas karpet merah sambil melihat patung-patung lilin yang dipamerkan.
Radziah juga berpendapat, muzium tersebut memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia melihat patung-patung lilin seperti di Universal Studios, Singapura dan Disneyland, Hong Kong tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk ke luar negara.
“Ia merupakan satu strategi yang baik untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara ke i-City. Bagi saya yang tinggal di sekitar Shah Alam, lokasi muzium ini tidak menjadi halangan untuk kembali berkunjung ke sini pada bila-bila masa,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, patung lilin Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Pertama Malaysia turut menarik minat generasi muda untuk lebih mengetahui ciri-ciri fizikal bapa kemerdekaan itu walaupun tidak sempat menatap wajahnya ketika beliau mentadbir negara.
Red Carpet merupakan salah satu produk pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014). Sejak mula dibuka kepada umum pada bulan Ogos lalu, muzium tersebut berpotensi menambah bilangan pengunjung sebanyak 30,000 sebulan ke i-City.

KEHADIRAN patung lilin Presiden AS, Barrack Obama di muzium itu mencuri tumpuan pengunjung.


Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Red Carpet merupakan salah satu produk pelancongan terbaharu yang telah diperkenalkan oleh kerajaan di Selangor bersempena dengan TMM 2014.
“Kewujudan muzium ini juga akan menarik pelancong berkunjung ke ibu negeri Selangor dan menerokai produk pelancongan yang terdapat di sini terutamanya di i-City. Kerajaan akan memberi komitmen dan kerjasama dalam mempromosikan muzium lilin ini.
“Saya sendiri amat kagum dengan rekaan patung-patung lilin yang dipamerkan di muzium ini. Ia merupakan satu idea bernas dan salah satu produk pelancongan terbaik yang ada di Malaysia,” ujarnya pada satu sidang akhbar selepas merasmikan muzium tersebut Ogos lalu.
Konsep muzium
Pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates, aktres legenda Amerika Syarikat (AS), Marilyn Monroe, saintis terkemuka, Albert Einstein dan pemain badminton nombor satu di dunia, Datuk Lee Chong Wei merupakan karakter patung lilin yang dipamerkan di muzium itu.
Sebanyak 100 patung lilin itu mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan di sebuah kilang di China. Pengarah Reka Bentuk Kreatif dari AS, Bernardo Munoz merupakan individu penting yang merancang konsep muzium tersebut.
Idea dan pengalaman Munoz yang pernah bekerjasama dengan produksi filem animasi studio Pixar, The Walt Disney dan Universal Studio ternyata memberi nilai eksklusif dalam segenap perincian bangunan dan patung-patung lilin yang dipamerkan.
Kafe Bellagio yang menjual aneka kek cawan dan air minuman menjadi tumpuan para pengunjung berehat sambil ditemani oleh beberapa patung lilin yang duduk di kerusi kafe tersebut. Antaranya, pelakon legenda British yang terkenal sekitar tahun 1950-an, Audrey Hepburn.
Pengurus Perkhidmatan Korporat i-City, Tang Soke Cheng memberitahu, menerusi setiap patung lilin yang dipamerkan, pengunjung dapat merasai suasana sebenar ketika berada di majlis rasmi yang membabitkan tokoh-tokoh patung lilin itu.
Sebagai contoh, postur badan patung lilin tokoh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan pakaian yang dipakainya ketika melaungkan perkataan keramat, Merdeka di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 1957 digambarkan dengan jelas untuk tatapan para pengunjung.
Selain itu, momen perkahwinan pewaris takhta diraja Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton dapat dilihat dan difahami dengan jelas walaupun tiada papan maklumat yang disediakan oleh pihak i-City.
“Pihak kami juga menyediakan kostum dan pakaian yang sesuai dengan karakter patung lilin untuk dipakai oleh pengunjung bagi sesi fotografi.
“Ia merupakan satu idea baharu untuk pengunjung lebih merasai detik dan suasana ketika bersama dengan idola mereka,” ujarnya yang turut memberitahu muzium tersebut mengambil masa selama setahun bermula daripada perancangan sehingga dibuka kepada pengunjung.
Menurutnya, Red Carpet menjadi destinasi pilihan untuk pengunjung yang rata-rata terdiri daripada keluarga untuk merasai pengalaman baharu ketika berkunjung ke i-City.

KAFE Bellagio menghidangkan aneka kek dan minuman untuk para pengunjung di Red Carpet.


“Pihak pengurusan juga dalam perancangan untuk menambah bilangan patung-patung lilin dari semasa ke semasa. Setakat ini, sambutan pengunjung amat menggalakkan. Mereka juga menghargai patung-patung lilin itu yang kebanyakannya masih elok tanpa sebarang cacat cela,” ujarnya.
Selain itu, pihak pengurusan juga merancang untuk menambah karakter patung-patung lilin dari semasa ke semasa dalam usaha untuk menarik pengunjung sempena TMM 2014 pada tahun hadapan.
Seorang selebriti kanak-kanak yang popular menerusi rancangan realiti televisyen Idola Kecil 3, Abdul Hadi Abdul Mazlan, 14, memberitahu, kunjungannya ke Red Carpet memberi peluang kepadanya untuk melihat idola yang dipuja seluruh dunia secara lebih dekat walaupun hanya menerusi ukiran patung lilin.
“Sememangnya mustahil untuk saya berjumpa dengan Presiden AS, Barrack Obama. Tetapi saya dapat mengambil gambar bersama patung lilinnya di sini. Saya juga tertarik dengan patung warga Angola, Francisco Domingo Joaquim yang mempunyai keluasan mulut terbesar di dunia. Patung lilin dengan setin minuman Coca-Cola di dalam mulutnya itu ternyata amat melucukan,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat sesi penggambaran rancangan televisyen di Red Carpet baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: