Tuesday, September 17, 2013

Muzik rock masuk DFP

ELLA pasti akan menggegarkan konsert MPO Rocks.


MEWAKILI legasi rock tanah air, Ella, Mus May dan Man Kidal bakal berpadu tenaga untuk sebuah konsert sulung MPO Rocks di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur sempena Festival Seni DFP pada 21 September depan.
Pemilihan ketiga-tiga otai rock Malaysia itu dibuat berdasarkan pengalaman, pencapaian dan warna muzik yang dipersembahkan sepanjang pembabitan dalam dunia seni.
Lebih menarik, konsert itu bakal dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose dan Datuk Ramli MS bertindak sebagai pengarah artistik.
Kata Muriz, beberapa lagu popular Ella dan Mus digubah semula dan disusun bersama 75 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk memberikan kelainan daripada konsert-konsert rock sebelum ini.
“Kita tidak akan mengulangi konsert-konsert rock sebelum ini dan pemilihan dibuat berdasarkan faktor luar biasa yang dilihat sepanjang karier mereka.
“Ella, Mus dan Man Kidal mewakili putera, puteri dan pemuzik generasi rock,” ujarnya pada sidang akhbar MPO Rocks di Hotel Traders Kuala Lumpur baru-baru ini.
Etika
Ketiga-tiga legenda rock tanah air itu bakal menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu malar segar mereka. Antaranya Standing In The Eyes Of The World, Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Pelayaran, Hakikat Perjuangan, Sinar, Sentuhan Kidal dan sebuah lagu cover Srikandi Cintaku.
Sepanjang proses perbincangan sejak awal tahun ini, pemilihan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan telah dipersetujui oleh ketiga-tiga pihak iaitu DFP, pengarah muzik dan artis.
Tambah Muriz, dia berdepan cabaran besar untuk memilih beberapa lagu terbaik daripada koleksi diskografi Ella, Mus dan Man Kidal memandangkan ketiga-tiga artis itu memiliki terlalu banyak lagu hits.
Sementara itu, kata Ramli MS, pihaknya telah berbincang bersama DFP untuk memberikan kelonggaran kepada penonton yang akan hadir ke konsert MPO Rocks pada hari Sabtu depan.
DARI kiri: Man Kidal, Ramli MS dan Mus May bakal menyuntik aura masing-masing untuk konsert MPO Rocks yang julung-julung kali diadakan di DFP, Kuala Lumpur.


“Seperti mana kita tahu DFP sangat mementingkan etika pemakaian tapi kami telah mengutarakan kepada pihak DFP agar melonggarkan syarat berpakaian nanti.
“Sudah pasti penonton yang datang mahu meraikan muzik rock yang pertama kali bakal bergema di dewan berprestij ini tapi penonton juga harus mematuhi etika asas di dalam DFP serta tidak memakai pakaian selekeh,” tambahnya.
Gementar
Vokalis kumpulan terkenal May iaitu Mus menyandarkan harapan tinggi untuk menjayakan konsert pertamanya di DFP. Kata Mus, persiapan stamina dan mental telah mula dibikin demi memastikan kelancaran persembahannya nanti.
“Walaupun saya sudah biasa membuat persembahan atau konsert, kali ini suasananya amat berbeza. Sukar untuk seorang artis rock mendapat peluang beraksi di pentas DFP jadi persiapan saya lebih daripada kebiasaan.
“Walaupun saya akan menyanyikan beberapa buah lagu rakaman semula, saya mesti memberikan persembahan terbaik untuk konsert itu,” ujarnya yang telah dimaklumkan tiga bulan lalu.
Berkongsi perasaan gemuruh, Man Kidal berkata, dia akan beraksi bersama-sama Ella dan Mus.
Namun Man Kidal juga akan diberikan slot solo untuk menampilkan bakat petikan gitarnya.
“Persembahan di DFP ini sudah pasti sangat istimewa dan untuk konsert kali ini, saya akan mengiringi kedua-dua penyanyi itu selain mungkin nanti akan ada segmen solo untuk saya,” katanya.
Tiket berharga RM150 hingga RM300 boleh didapati di kaunter Box Office DFP atau hubungi 03-2051 7007. Maklumat lanjut di laman sesawang www.mpo.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: