
Nombor satu. Persembahan duo, Azhael meraih undian terbanyak daripada penonton.
PENYINGKIRAN pertama peserta dari Singapura, Sani pada konsert pertama Akademi Fantasia 2013 malam Sabtu lalu memang di luar jangka.
Ini memandangkan peratusan undian penonton selepas konsert prelude tidak meletakkan peserta itu di tangga tercorot.
Sebaliknya, telahan ramai bahawa peserta yang diundi masuk secara wildcard ketika konsert prelude di Kuantan, Pahang dua minggu lalu, Amira akan tersingkir meleset sama sekali.
Pada konsert pertama Akademi Fantasia 2013 yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya itu, Amira dengan gaya bersahaja menyampaikan lagu Ratuku (nyanyian asal Awie) dalam gubahan muzik baharu ala marching.
Memetik komen juri tetap Edry Abd. Halim selepas melihat persembahan peserta dari Johor itu sebagai aksi yang kurang penghayatan dan tidak mencapai standard vokal yang dikehendaki, kedudukan Amira pada waktu itu sudah di ambang penyingkiran.
"Persembahan Amira mendatar dan jauh daripada penyanyi asal. Dia kurang mendalami makna lagu itu, penyampaian vokal di tahap biasa serta telah ditenggelami oleh muzik yang gah," katanya.
Begitupun, Sani terpaksa akur apabila menjadi peserta yang mendapat jumlah undi paling rendah dalam konsert pertama minggu lalu dengan cuma dua peratus.
"Saya bersyukur dapat sampai ke peringkat 12 peserta terbaik tahun ini dan pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang. Banyak yang telah saya pelajari sepanjang berada di Akademi Fantasia 2013," tutur Sani yang akan meneruskan perjuangan dalam dunia seni suara selepas ini.

TIGA juri tetap Akademi Fantasia 2013 (dari kiri) Amani, Edry dan Roslan.
Salah pilih lagu
Pada konsert minggu pertama, peserta diberikan peluang untuk memilih sendiri lagu yang akan dinyanyikan daripada senarai 12 buah lagu berdasarkan tema Meraikan 15 Ikon Malaysia.
Amira, Nabila, Sani dan Suhada antara peserta yang mendapat kritikan negatif daripada juri-juri tetap Edry, Sharifah Amani dan Roslan Aziz berdasarkan persembahan minggu lalu.
Melihatkan perubahan susunan lagu yang berbeza dan lebih terarah kepada cita rasa Inspirer yang terbabit pada minggu tersebut iaitu Faizal Tahir, tidak mustahil kesalahan itu diletakkan atas kesesuaian vokal peserta dan pemilihan lagu.
Ada antara peserta gagal memilih lagu yang 'masuk' dengan suara masing-masing termasuk Nabila yang terlebih dulu memberikan persembahan menarik menerusi vokal dalam lagu Mercy pada konsert prelude.
Sama ada perubahan susunan muzik yang terlalu ekstrem yang sukar untuk 'ditelan' oleh peserta-peserta yang masih baharu dalam arena ini atau mungkin kesalahan besar pemilihan lagu oleh peserta itu sendiri.
Sekali lagi pasangan duo, Azhael (Aja & Hael) mendahului kesebelas peserta lain menerusi pungutan akhir mata undian penonton menerusi konsert pertama minggu lalu iaitu sebanyak 26 peratus.
Kedudukan itu sekali gus mengiakan komen daripada Sharifah Amani pada minggu itu bahawa rupa mampu membeli undi daripada peminat.
Pujian harus diberikan kepada peserta-peserta yang telah mempersembahkan berkualiti dengan nyanyian yang membanggakan antaranya Aishah (menyanyikan lagu Coba), Indah (Ku Akui), Nona (Tiada Kepastian) dan Iman (Kejoraku Bersatu).

PERSEMBAHAN lagu tema, Menuju Puncak oleh para peserta Akademi Fantasia 2013 tidak sistematik.
Gaya & koreografi
Seperkara yang menjejaskan tumpuan penonton menerusi konsert pertama minggu lalu adalah pemilihan pakaian peserta yang kurang kemas dan tidak bergaya.
Seperti kritikan yang diberikan oleh Roslan Aziz mengenai gaya Iman ketika menyampaikan lagu Kejoraku Bersatu: "Saya tidak suka penampilan awak walaupun pada keseluruhannya anda menyanyi dengan baik."
Begitu juga persembahan lagu tema, Menuju Puncak yang menjadi tradisi setiap musim sebelum proses penyingkiran peserta.
Kali ini koreografi dilihat tidak sistematik, bercelaru dan kurang lancar berbanding musim-musim lain. Peserta nampak kaku dan pergerakan sedikit terbatas.
Mungkin faktor rekaan pentas yang membataskan pergerakan peserta untuk bergerak. Bagaimanapun, penonton masih menantikan langkah-langkah tari yang lebih mengujakan berbanding statik atau ulang gerak.
Sukar untuk penonton atau pengkritik menilai dan membuat hipotesis awal daripada konsert sulung Akademi Fantasia musim ini.
Berikan peluang untuk peserta dan produksi berkembang!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: