Saturday, September 7, 2013

Motard pertama Boon Siew Honda



MOTOSIKAL ini menjanjikan keseronokan tunggangan kepada pemiliknya.


BOON Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan motosikal motard pertama ke pasaran Malaysia. Model yang dimaksudkan ialah CRF250M dan tergolong dalam keluarga CRF.
CRF250M tidak jauh berbeza dengan jentera dwikegunaan Honda CRF250L yang diperkenalkan pada tahun lalu. Perbezaannya hanya melibatkan penggunaan komponen bagi menawarkan keseronokan tunggangan.
Motard tersebut dipasang rim berukuran 17 inci yang juga selesa untuk ditunggang di atas jalan tar.
Keupayaan cengkaman tayar ditingkatkan menerusi aplikasi tayar berprofail lebih lebar. Tongkat sisi yang digunakan juga lebih pendek berbanding model CRF250L.
Suspensi asal hadapan jenis Showa 43 milimeter (mm) diberikan talaan baru. Pegas gegelung jenis berat diadun bersama sistem suspensi untuk meningkatkan prestasi sewaktu tunggangan di atas jalan biasa.
CRF250M memperoleh kuasa daripada enjin jenis empat lejang DOHC silinder tunggal. Kotak gear enam kelajuan diberikan sebagai padanan. Haba yang terhasil daripada enjin dikawal dengan adanya sistem penyejukan cecair.
Penyampaian bahan api ke kebuk pembakaran dibuat menerusi sistem suntikan bahan api terancang Honda (PGM-FI). Rangkaian kuasa itu berupaya menjana kuasa maksimum sebanyak 17kW @ 8,500rpm, manakala kuasa torknya pula setinggi 22Nm pada 7,000rpm.
CRF250M menggunakan casis besi jenis buaian separuh kembar dan dipadankan dengan lengan ayun (swingarm) aluminium. Seperti mana-mana model terkini Boon Siew Honda, jentera itu turut mengaplikasi sistem Pro-Link pada penyerap hentak tunggal belakang.
Tugas membrek dan kawalan diserahkan kepada dua set brek cakera pada kedua-dua roda. Cakera roda hadapan yang berukuran 296mm diapit oleh angkup dwiomboh. Roda belakang pula menggunakan khidmat cakera bersaiz 220mm dengan omboh tunggal.
Harga rasmi bagi model Honda CRF250M akan diumumkan tidak lama lagi. Apa yang pasti, jaminan diberikan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web: www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi nombor talian bebas Boon Siew Honda: 1800-88-3993.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: