Tuesday, September 10, 2013
Kek nanas identiti Taiwan
KETIKA menjengah Kilang Vigor Kobo yang terletak di Jiuquan Street, Taipei, Taiwan tiada apa yang luar biasa. Namun, persepsi itu berubah tatkala melangkah masuk ke sebuah kilang yang moden dan canggih.
Bukan itu sahaja, dalam kalangan rombongan Malaysia ke sana, masing-masing teruja apabila melihat pembuatan dan merasai kuih yang dikenali sebagai kek nanas atau dalam bahasa Mandarinnya fengli su persis kuih tat nanas yang merupakan kuih wajib pada Aidilfitri.
Kreativiti masyarakat Taiwan menyebabkan nanas menjadi satu industri yang berskala besar di negara tersebut. Kilang Vigor Kobo juga mendapat jolokan Kerajaan Nanas atau Pineapple Kingdom kerana menghasilkan 100 peratus produk dan pastri menggunakan bahas asas iaitu nanas yang ditanam secara meluas di Taiwan.
Inisiatif pengasasnya yang menjadikan semua produk berstatus halal menjadi nilai tambah terutama kepada pelancong Islam yang bertandang ke negara yang 99 peratus penduduknya masyarakat Cina.
Diiktiraf
Rekod kilang ini cemerlang. Dalam tempoh beberapa tahun kilang ini dibangunkan, produk Vigor Kobo telah menerima banyak pengiktirafan di peringkat kebangsaan termasuk antarabangsa.
Namun paling mengujakan warga Vigo Kobo pastinya apabila kerajaan Taiwan menyenaraikan kilang itu sebagai antara destinasi wajib dikunjungi oleh pelancong luar.
Prestasi kilang semakin memuncak apabila pada tahun 2008, kuih nanasnya dinamakan sebagai 10 produk yang disyorkan sebagai buah tangan paling popular di negara yang berkeluasan 35,980 kilometer persegi itu.
Seperti kata jurucakap Kilang Vigor Kobo yang mahu dikenali sebagai Han, 27, mereka berkembang dengan pesatnya daripada permulaan yang sederhana sejak tahun 1992.
“Kek nanas merupakan makanan tradisional Taiwan, nanas merupakan simbol tuah kepada masyarakat di sini.
Kami gembira kerana pada tahun ini, sudah 18 tahun kami beroperasi, sebelum ini lokasi kami hanya di sebuah tapak kecil, di Tamsui, namun selepas momentum bisnes semakin baik kami berpindah ke tapak baharu yang lebih gah di Jiuquan Street.
“Kami juga mempunyai 13 cawangan kedai lain yang terletak di Taipei, Kaohsiung, Taichung, Kaohsiung termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan,” katanya yang bertutur dalam bahasa Mandarin dan diterjemahkan oleh jurubahasa kami, Prof. Ma.
Apakah rahsia di sebalik populariti kek nanas ini? Jawab Han semasa rombongan yang turut membawa 20 kanak-kanak dari Rumah Jalinan Kasih, Cheras, Kuala Lumpur dan kru produksi Safiyya, TV9 melawat sekitar kilang: “Kami masih mengekalkan resipi tradisional warisan nenek moyang kami namun kami menyesuaikan sajian klasik itu menggunakan teknologi dapur moden selari dengan perkembangan dunia yang semakin canggih.”
Ujar Han, mereka juga menggunakan bahan-bahan segar dan yang paling dititik berat ialah mengurangkan penggunaan gula dalam setiap penyediaan.
Selain kek nanas, kuih tat juga dijual kerana rasa dan saiznya yang hampir serupa di negara ini, Han memberitahu ada 10 lagi jenis pastri berasaskan nanas.
Antaranya, kek merah hijau, kek nanas taichi, kek nanas arang, kek taro, kek kuning telur dan nanas, kek buah berangan, shortcake kuning telur, kek susu matahari, nougat dan lain-lain.
Salah satu ruang yang mencuri perhatian di Kilang Vigor Kobo ialah Pineapple Cake Do It Yourself (DIY) Area. Lokasi ini menurut Han, disediakan kepada para pengunjung untuk merasai pengalaman membuat sendiri kek nanas.
Sijil penghargaan
Sebagai menghargai kedatangan kami, pihak kilang memberi peluang kepada ahli rombongan mengadun, membentuk dan melihat hasil air tangan kami dibakar dalam sebuah ketuhar canggih.
Sememangnya rasa kek nanas yang kami hasilkan serupa dengan kuih tat yang dihasilkan oleh ibu atau pengusaha tempatan di negara kita.
Kami turut diberikan sijil penghargaan yang mengesahkan penyertaan kami membuat sendiri kek nanas di sana.
“Selain rakyat Malaysia, ramai kumpulan pelancong dari Hong Kong, Macau, Singapura dan Cina juga telah diberi kesempatan membuat kuih tradisional kebanggaan kami.
“Mereka semua telah membawa hasil kek nanas buatan mereka dengan bungkusan yang menarik untuk dijadikan hadiah kepada saudara-mara mereka di negara masing-masing,” kata Han.
Ujar beliau, Vigor Kobo bermatlamat memberi servis yang terbaik dan memudahkan pengguna terutamanya kepada pelanggan antarabangsa. “Selain penghantaran dalam negara, kami turut menawarkan penghantaran ke luar negara, mereka hanya perlukan isikan borang yang disediakan,” katanya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Vigor Kobo, boleh layari www.vigorkobo.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: