|
MENGHASILKAN novel berbentuk sejarah Islam dengan harapan ia dapat menjadi panduan generasi muda merupakan matlamat penulis, Hizamnuddin Awang, 44, yang berasal dari Jerteh, Terengganu.
Dunia penulisan sememangnya tidak pernah jauh bagi bapa kepada lima orang cahaya mata yang pernah bertugas sebagai penyelidik dan pegawai pemasaran di MIMOS Berhad dan Jaring Communication Sdn. Bhd. (Jaring) itu.
"Saya bergiat aktif dalam bidang penulisan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, sains, teknologi dan peradaban manusia bermula tahun 1995 di Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi, Dewan Masyarakat, Usahawan Sukses dan Majalah PC.
"Ketika bertugas di Jaring, saya telah melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, penyunting bersekutu dan pengarang bagi majalah Jaring Internet Magazine. Oleh itu, menulis sememangnya menjadi minat saya dari dahulu lagi," katanya yang turut menjalankan sebuah perniagaan katering.
Setelah lebih 10 tahun bersama Jaring, Hizamnuddin yang terkenal dengan nama penanya, Web Sutera, telah mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang penulisan sekitar tahun 2006.
Katanya, keinginan untuk memberi tumpuan pada bidang penulisan tercetus apabila beliau sendiri mendapati kekurangan buku-buku motivasi keluaran anak tempatan di pasaran.
"Oleh itu, saya mula menghasilkan buku-buku berkaitan dengan motivasi yang berbeza daripada yang dihasilkan penulis asing. Saya memastikan buku itu sesuai dibaca oleh rakyat tempatan.
"Buku motivasi Barat dilihat sarat dengan elemen-elemen kebaratan dan tidak sesuai dengan adat ketimuran," katanya sambil memaklumkan buku motivasi pertamanya berjudul Buat Duit dengan Katering.
Selain buku motivasi, beliau juga gemar gaya penulisan berkaitan perniagaan dan sejarah.
"Saya bukan seorang yang mahir menggunakan bahasa retorik dalam penulisan. Oleh itu, saya lebih gemar menulis mengenai sejarah," ujarnya.
Mesej penulisan
Sejak tahun 2007 sehingga hari ini, beliau berjaya menghasilkan dua novel sejarah, dua buku motivasi dan sebuah buku perniagaan.
Novel terbaharunya adalah genre sejarah yang berjudul Konstantinopel: Kibaran Panji Al Fateh yang menyasarkan pembaca yang meminati sejarah Islam.
"Ia adalah novel kedua selepas Macedonia : Alexander Agung Hijab Raja Zulqarnain yang menceritakan mengenai ketokohan Raja Zulqarnain. Ia mula didapati di pasaran sejak Mei lalu.
"Walaupun sibuk dengan perniagaan katering bersama isteri, saya berjaya menghasilkan novel ini dalam tempoh enam bulan sahaja," ujarnya.
Ditanya mengenai novel yang setebal 885 muka surat yang dijual pada harga RM29 itu, lelaki yang tidak lekang dengan senyuman ini berkata, ia berkisar Kota Konstantinopel yang kemudiannya dikenali sebagai Istanbul, Turki.
Menurutnya, Konstantinopel merupakan sebuah kota yang menjadi rebutan pelbagai pihak termasuk kerajaan Rom.
"Betapa pentingnya Konstantinopel dalam sejarah Islam dan Kristian sehinggakan ia disebut oleh Rasulullah semasa Perang Khandak.
"Ia juga memperlihatkan tanda-tanda kenabian Rasulullah yang sering menceritakan kejadian yang akan terjadi pada masa akan datang, selain peranan Muawiyah Abu Sufiyan dengan seorang lagi sahabat Rasulullah iaitu Abu Ayub Al-Ansari," kata Hizamnuddin.
Katanya, novel tersebut banyak menyentuh perjuangan tentera Islam, khususnya Sultan Muhammad al-Fateh.
Beliau menjelaskan, inspirasi novel itu datang daripada kisah tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah itu dan banyak melakukan penyelidikan dan pemahaman berkaitan kisah tersebut.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia itu kini sedang menulis sebuah lagi novel dan buku motivasi.
"Ia berjudul Kombat Armagedon dan buku motivasi yang berjudul Hijrah Champion Gaya Rasulullah yang akan diterbitkan pada tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya ringkas.
Beliau tidak menafikan akan mencuba pelbagai genre penulisan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: