PELBAGAI aktiviti menarik disediakan untuk orang ramai.
|
PROGRAM Fun Fair At The Park anjuran Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam) berlangsung penuh meriah di Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Acara tahunan yang telah memasuki tahun ke-16 penganjurannya itu berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit strok selain mengumpul dana yang diperlukan persatuan tersebut.
Pengurus Besar Nasam, Ng Wye Wye berkata, sehingga kini, pihaknya mempunyai lapan pusat di seluruh negara dan menyediakan perkhidmatan pemulihan dan kaunseling kepada lebih 400 survivor penyakit berbahaya itu.
“Kami bergantung hampir secara eksklusif kepada kerelaan sukarelawan dan kemurahan hati penaja serta penderma untuk memberi sokongan kepada pesakit strok.
“Kami percaya, ada kehidupan selepas diserang strok dan ia merupakan misi kami untuk membantu pesakit agar pulih dan kembali menjalani kehidupan normal,” jelas Wye Wye sambil memberitahu, kos tahunan operasi Nasam mencecah RM2 juta.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang untuk berbelanja di gerai jualan yang terdapat di tapak karnival.
Program yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 2 petang itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti mewarna muka, sudut haiwan peliharaan, menunggang kuda padi, gerai permainan, persembahan nyanyian dan banyak lagi.
Kelibat beberapa orang badut yang berkeliaran di sekitar taman untuk menghiburkan orang ramai, membuatkan kanak-kanak teruja untuk mendekati mereka.
Selain itu, kehadiran maskot watak animasi Smurf turut menarik perhatian para peminatnya untuk bergambar bersama.
Tidak ketinggalan, gerai jualan makanan yang menawarkan variasi menu berbeza memberi peluang kepada pengunjung menikmatinya.
Semua pembelian di gerai atau untuk menyertai aktiviti yang ada perlu menggunakan kupon khas yang bertujuan memudahkan proses pengiraan dana yang berjaya dikumpul.

MASKOT watak animasi Smurf mencuri perhatian pengunjung.
Tampung kos
Secara keseluruhan, program Fun Fair At The Park berjaya mencapai matlamat untuk mengumpul dana berjumlah RM200,000 yang akan digunakan bagi menampung kos perbelanjaan operasi Nasam di seluruh negara.
Menurut Wye Wye, salah satu misi Nasam tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit strok kepada semua lapisan masyarakat.
“Setiap tahun, lebih 50,000 kes baharu dilaporkan di Malaysia. Justeru, amat penting untuk setiap individu mengetahui tanda-tanda awal strok dan kesan yang membuatkan badan lemah untuk membolehkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga di peringkat awal.
“Lantaran itu, kami turut membuka kaunter informasi berkaitan strok untuk menyebarkan maklumat ini kepada masyarakat di luar sana,” terang Wye Wye yang gembira dengan sambutan luar biasa terhadap program Fun Fair At The Park tahun ini.
Untuk maklumat lanjut, layari www.nasam.org atau melalui laman sosial Facebok/National Stroke Association of Malaysia
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: