|
SEPULUH minit sebelum pukul 12 tengah hari, Razak Omar, 54, sudah berada di dalam biliknya. Tanpa berlengah, lelaki itu terus membersihkan tangannya dengan sabun pencuci khas dan dikeringkan.
Kemudian, dia mengambil satu bungkusan yang mengandungi cecair jernih dan disangkutkan di sebatang tiang. Di bahagian bawah tiang itu pula, terdapat bekas lut sinar yang kosong.
Sambil duduk di kerusi, Razak terus mencapai tiub lembut atau kateter yang telah dimasukkan secara pembedahan melalui dinding abdomen ke dalam rongga peritoneum di perutnya. Ia disambungkan dengan bungkusan cecair dan bekas lut sinar tersebut.
Beberapa saat kemudian, cecair berwarna sedikit kekuningan mula memenuhi bekas lut sinar tersebut. Dalam tempoh antara lapan hingga 10 minit, air yang disedut melalui kateter itu habis dikeluarkan. Malah, dia turut menggoyang-goyangkan badan untuk memastikan tiada lagi air yang tersimpan di dalam perutnya.
Selepas itu, Razak menekan punat sambungan saluran cecair baharu untuk dimasukkan kembali ke dalam rongga peritoneum melalui lubang yang sama.
“Inilah rutin harian saya sejak menggunakan rawatan dialisis peritoneum (PD) untuk merawat penyakit buah pinggang sejak bulan Mei tahun lalu. Proses ini perlu dilakukan empat kali sehari dan setiap rawatan memakan masa kira-kira 30 minit,” katanya ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Sungai Udang, Klang, Selangor baru-baru ini. Dialisis peritoneum merupakan satu rawatan untuk pe sakit yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik yang teruk.

MENJALANI rawatan dialisis peritoneum di rumah menyebabkan Razak bebas melakukan rutin hariannya seperti biasa.
Rawatan ini dilakukan di dalam badan pesakit melalui membran peritoneum yang terdapat di bahagian abdomen manusia. Membran ini juga meliputi kesemua organ dalam abdomen. Ia separa telap, justeru hanya bahan tertentu boleh melalui selaput itu.
Apabila larutan dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneum, hasil buangan akan ditapis daripada aliran darah menerusi membran peritoneum ke dalam larutan dialisis.
Dari situ, bahan buangan akan dikeluarkan dari badan pesakit dan digantikan dengan larutan dialisis baharu.
Kos perbelanjaan
Tambah Razak, rawatan PD memberi peluang kepadanya dari aspek kebebasan masa, menjimatkan wang dan tenaga berbanding rawatan hemodialisis yang dilakukan sebelum ini.
Sebaik didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang, beliau telah menjalani rawatan di Pusat Dialisis Mukmin, Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Setiap rawatan memakan masa empat jam dan ia perlu dilakukan tiga kali seminggu.
Jumlah perbelanjaan keseluruhannya mencecah RM3,000 sebulan. Kini, selepas menggunakan PD, kos perbelanjaan rawatan tersebut sekitar RM2,600 sebulan.
“Lebih penting, saya tidak terikat dengan masa dan badan rasa segar. Malah, saya juga boleh terus membuat kerja-kerja rumah sejurus rawatan selesai,” ujarnya sambil tersenyum.
Bapa kepada empat cahaya mata itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) pada tahun 2010. Ia mula disedari apabila pada satu malam, Razak terpaksa tidur menggunakan tiga biji bantal kerana dadanya terasa sesak apabila hanya memakai satu biji bantal. Keesokan harinya, beliau berasa amat lemah hingga hendak berjalan ke luar rumah pun nafasnya termengah-mengah.

PESAKIT buah pinggang kronik perlu menjalani rawatan dialisis tiga hingga empat kali seminggu.
“Saya hampir pengsan ketika itu. Mujurlah jiran sebelah ternampak keadaan saya lantas memapah saya yang kemudian dihantar terus ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Di hospital, doktor bertindak menebuk perut saya untuk melakukan rawatan dialisis. Pada masa itulah, saya tahu bahawa buah pinggang saya sudah rosak. Selepas doktor mengesahkan saya menghidap CKD, dunia saya terasa gelap,” katanya.
Tambah Razak, ketika itu, bermacam-macam perasaan bermain di fikiran. Apa yang hendak dimakan selepas ini, duit untuk menjalani rawatan dan tidak terkecuali ingatan terhadap kematian.
Ujarnya, dia sebenarnya telah lama menghidap diabetes yang hanya disedari 13 tahun lalu. Semua itu disebabkan dia tidak pernah ambil peduli mengenai kesihatan diri.
Maklumlah, ketika itu badannya sihat dan kuat. Malah, jarang sekali diserang demam atau sakit. Namun, insiden luka di kaki yang tidak sembuh-sembuh mendedahkan rahsia sebenar penyakit yang dihidapi. Lima tahun kemudian, dia disahkan menghidap hipertensi.
Mencegah
“Nasihat saya, jalanilah pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali. Tidak kira sama ada anda sakit mahupun tidak, mencegah lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.
“Walau bagaimanapun, saya sangat bersyukur kerana penyakit ini merupakan notis daripada Allah SWT agar saya beringat dalam kehidupan yang berbaki. Apa yang telah ditakdirkan, saya terima dengan reda. Melalui penyakit ini, saya dapat memperbaiki diri dan membuat resolusi hidup,” ungkapnya penuh makna.
Sejak tiga tahun lalu, Razak sudah menjalani enam pembedahan di leher, paha, tangan dan perut bagi tujuan dialisis.
Pada majlis pelancaran kempen kebebasan bersama PD, Razak dijemput untuk berkongsi pengalaman sebagai pesakit CKD yang menggunakan rawatan tersebut.

PELANCARAN kempen Kebebasan dengan
PD telah berlangsung di ibu negara baru-baru ini untuk menggalakkan
pesakit buah pinggang menggunakan rawatan dialisis peritoneum.
Kempen ini merupakan satu inisiatif anjuran Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Baxter Healthcare (M) Sdn. Bhd. (Baxter Healthcare) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai PD sebagai pilihan rawatan untuk penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) melalui penganjuran pelbagai aktiviti pendidikan dan penglibatan awam.
Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat Malaysia terutama pesakit mengenai penyakit buah pinggang dan ketersediaan PD sebagai pilihan rawatan yang menawarkan lebih banyak kebebasan, fleksibiliti dan mobiliti kepada pesakit. Pada masa yang sama, kempen ini juga ingin mengenengahkan bahawa CKD dan ESRD boleh ditangani dengan mengamalkan pengurusan dan kawalan penyakit yang sewajarnya agar pesakit dapat terus menjalani kehidupan yang normal dan aktif.
“MSN percaya bahawa pendidikan adalah elemen penting dalam memahami penyakit buah pinggang. Rawatan yang sesuai penting dalam membantu pesakit menguruskan keadaan mereka,” ujar Presiden MSN, Dr. Wan Jazilah Wan Ismail.
CKD ialah keadaan yang dicirikan sebagai pengurangan fungsi buah pinggang secara berterusan, kehadiran struktur atau jumlah protein abnormal dalam air kencing selama tiga bulan atau lebih.
Apabila buah pinggang gagal berfungsi secara kekal, ia dikenali sebagai ESRD, satu keadaan yang tidak boleh diterbalikkan.
“ESRD ialah salah satu potensi akibat CKD yang memerlukan terapi penggantian buah pinggang yang menelan belanja besar. Kekerapan ESRD di Malaysia meningkat setiap tahun dan pada tahun 2012, dianggarkan 28,590 pesakit yang menjalani dialisis.
“Pesakit buah pinggang perlu tahu tentang faktor-faktor risiko dan pengurusan penyakit bagi memperlahankan progres CKD,” jelas Ketua Jabatan dan Penasihat Nasional, Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.
Rawatan terbaik
Di Malaysia, kurang daripada satu peratus pesakit ESRD yang menerima pemindahan buah pinggang. Kaedah itu dianggap sebagai rawatan terbaik manakala selebihnya dirawat dengan dialisis.
Daripada jumlah pesakit itu, hanya lapan peratus pesakit dirawat dengan PD ambulatori berterusan (CAPD). Berbanding jenis dialisis lain, PD memberikan keputusan klinikal yang sama atau lebih baik di samping kebebasan yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan kepuasan pesakit.
“Pengambilan PD di negara ini tidak begitu tinggi kerana orang ramai dan kebanyakan pesakit tidak menyedari mengenainya.
“Kajian menunjukkan bahawa PD bukan sahaja menjimatkan kos, malah ia juga mampu memberikan impak positif kepada kehidupan pesakit, meningkatkan mobiliti lantas membolehkan mereka bekerja atau meneruskan rutin harian masing-masing,” tambah Ghazali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: