
JINNO menunjukkan gambarnya (dua dari kiri) bersama keluarga di hadapan rumah mereka yang diambil pada 2 Januari 1957.
KOHEI JINNO, 79, menunjukkan sekeping gambar hitam putih anggota keluarganya. Gambar tersebut dirakamkan di hadapan rumah lamanya di tengah-tengah bandar Tokyo.
Mereka sekeluarga pernah dipaksa berpindah kerana rumah tersebut perlu diruntuhkan bagi mendirikan stadium sempena Sukan Olimpik pada tahun 1964.
Nampaknya, Jinno perlu berpindah lagi apabila Jepun dipilih buat kali kedua sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020.
Rumah awam tempat beliau dan isterinya tinggal terletak berhampiran stadium dan tapak rumah lamanya. Kawasan tersebut akan dirobohkan bagi membina stadium baharu di Tokyo.
"Takdir tidak menyebelahi saya. Berita ini mungkin berita baik kepada Jepun, tetapi saya terpaksa meninggalkan kediaman dengan perasaan sedih.
"Saya rasa kalau bukan kerana Olimpik, hidup saya pasti berbeza," katanya.
Stadium Olimpik Negara yang disifatkan sebagai tempat paling ikonik di Jepun kerana ia menjadi lokasi bagi acara pembukaan dan penutupan Olimpik pada tahun 1964. Ia akan dirobohkan pada tahun depan bagi kerja-kerja menaik taraf stadium.
Jepun menjadi negara Asia pertama di dunia yang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.
Sentuhan arkitek
Pembinaan reka bentuk baharu yang berkonsep kapal angkasa futuristik bagi stadium negara tersebut mendapat sentuhan arkitek prolifik dunia iaitu Zaha Hadid. Beliau merupakan arkitek pusat akuatik Sukan Olimpik di London tahun lalu.

KANAK-KANAK perempuan bermain di taman permainandi hadapan kompleks kediaman Kasumigaoka, Tokyo.
Stadium baharu itu bakal mempunyai 80,000 tempat duduk berbanding 50,000 tempat duduk di dalam stadium sedia ada. Pembinaan tersebut mendatangkan manfaat kepada Jepun yang turut menjadi hos bagi Ragbi Piala Dunia pada tahun 2019.
Jinno yang membesar dengan sembilan abangnya dilahirkan di rumah yang kini menjadi tapak tempat meletak kenderaan stadium negara. Selepas rumah tersebut terbakar pada Perang Dunia Kedua, mereka sekeluarga berpindah ke rumah baharu yang jaraknya kira-kira 20 meter dari tapak rumah lama.
Menjelang Sukan Olimpik 1964, rumah mereka dan pemilik 100 buah rumah yang lain dipaksa berpindah ke lokasi lain. Tapak rumah mereka dijadikan dataran tempat letak kenderaan. Tumbuh-tumbuhan di sekitarnya juga telah ditebang dan sungai berhampiran terpaksa dikambus di bawah binaan konkrit.
Jinno juga hilang pekerjaan sehingga memaksa beliau bekerja sebagai pencuci kereta untuk meneruskan kehidupan. Beliau akhirnya tinggal di sebuah bilik kecil bersama isteri dan dua orang anak mereka.
Pada tahun 1965, mereka berpindah ke sebuah kompleks perumahan bandar dan Jinno berupaya membuka kedai menjual tembakau yang beroperasi sehingga kini.
Malangnya, Jinno sekeluarga diarahkan berpindah sekali lagi selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun ini.
"Kerajaan seolah-olah telah mengambil sesuatu yang paling berharga daripada saya (selain keluarganya). Demi Olimpik, saya akan kehilangan jiran tetangga dan kawan-kawan yang paling disayangi," katanya.

JINNO melihat ke luar tingkap rumah yang didiaminya kini di kompleks kediaman Kasumigaoka, Tokyo.
Peluang pekerjaan
Dalam pada itu, Tokyo menganggarkan bakal membuka sebanyak 150,000 peluang pekerjaan. Saham negara Matahari Terbit itu melonjak selepas Tokyo mengenepikan Madrid dan Istanbul pada pemilihan negara tuan rumah Sukan Olimpik 2020 pada 7 September lalu.
Jinno akan menginjak umur 80 tahun pada bulan depan, namun beliau tidak mengetahui lokasi dan tarikh untuk berpindah.
"Saya harap tiada lagi acara Olimpik diadakan di Tokyo pada masa depan. Saya boleh terima ketika diusir buat kali pertama dari rumah kami, tetapi untuk kali kedua ia sangat mengarut," keluhnya.
Sementara itu, atlet wanita angkat berat, Hiromi Miyake, 26, membawa pulang pingat Jepun pertama dalam acara tersebut pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Walaupun sekadar berpuas hati dengan pingat perak pada acara angkat berat, Hiromi berjaya memecahkan rekod kebangsaan negaranya dengan kejayaan mengangkat bebanan 197 kilogram (kg) bagi kategori 48kg.
Hiromi yang juga anak kepada atlet lelaki angkat berat iaitu Yoshiyuki Miyake sekali gus berjaya mengatasi rekod bapanya yang pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan Mexico pada tahun 1968.
Kejayaan Hiromi itu merupakan penyertaannya kali ketiga dalam Olimpik. Beliau berjaya menggapai impiannya untuk memenangi pingat pada sukan berkenaan.
Segala kerja keras semasa membuat latihan dan kecederaan yang pernah dialaminya terbayar dengan kemenangan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: