Sunday, September 1, 2013
Jamu selera sambil tunggu pakaian dicuci
SEORANG usahawan memperkenalkan konsep unik kepada para pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan kedai dobinya di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Konsep unik yang diperkenalkan oleh usahawan itu, Danny Hamdan adalah menyediakan perkhidmatan dobi di dalam kafenya.
Para pelanggannya boleh menjamu selera, membaca majalah dan melayari internet dalam satu masa di kafe dobi Wash Ur Gossips miliknya itu.
Menurut Danny, 56, idea untuk membuka kedai dobi di dalam kafe tersebut tercetus selepas dia melihat rutin harian isterinya.
Isterinya itu sibuk dengan urusan mencuci pakaian, memasak dan sempat pula mencuri masa dengan membaca majalah.
"Sebenarnya, idea itu datang melalui rutin harian kita yang kadangkala tiada masa untuk melakukan semua kerja harian tersebut dalam satu masa," katanya.
Dia menjelaskan, perniagaan di kedai itu mula dibuka pada Jun tahun lalu.
"Ia merupakan perniagaan pertama keluarga saya," katanya.
Menurut Danny, perkhidmatan dobi di dalam kafe itu juga turut ditawarkan di negara-negara Eropah.
"Pelanggan-pelanggan boleh melakukan semua kerja dalam satu masa.
"Selain itu, kita turut menawarkan kemudahan sambungan Wi-Fi dan surau bagi keselesaan pelanggan," ujarnya yang berasal dari Kuala Kangsar.
Danny memberitahu, dia turut mewujudkan dinding kaca bagi memisahkan kafe dan dobi supaya pelanggannya dapat menjamu selera dengan selesa.
Usahawan tersebut berkata, pada zaman kini, seseorang itu perlu bergerak pantas menyebabkan dia menawarkan perkhidmatan seperti itu bagi memudahkan para pelanggannya yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pekerja.
"Walaupun ditempatkan di dalam satu premis, mesin basuh yang digunakan itu tidak berbunyi bising atau boleh mengganggu ketenteraman pelanggan," katanya.
Danny juga menjelaskan kenapa dia memilih nama Wash Ur Gossips sebagai nama kafe dobinya.
"Nama itu dipilih bagi melambang kepelbagaian cabang perniagaan yang ada di dalam kafe dobi itu seperti perniagaan menjual makanan dan minuman, perkhidmatan dobi. Kita turut cuba menjual pakaian di kafe ini.
Dia memberitahu, bagi setiap cucian yang menggunakan mesin basuh bermuatan 9 kilogram (kg), harga yang ditetapkan hanya RM6.
"Harga sebanyak RM4 dikenakan jika menggunakan mesin basuh muatan 7kg untuk satu cucian," jelas Danny yang dibantu oleh anaknya, Ranie Hamdan, 31 untuk menguruskan kafe dobi itu.
Dobi tradisional
Tambahnya, bayaran untuk satu cucian dengan menggunakan mesin pengering bermuatan 14kg ialah RM4.
"Para pelanggan boleh memilih sama ada bahan pencuci yang kita sediakan atau menggunakan bahan pencuci yang dibawa sendiri.
"Harga bagi bahan pencuci berbentuk serbuk ialah RM1 untuk satu cucian manakala bagi bahan pencuci berbentuk cecair dan pelembut pakaian pula, pelanggan akan dikenakan bayaran sebanyak RM1.20 untuk satu cucian.
"Namun, terdapat juga pelanggan yang lebih selesa menggunakan kaedah dobi tradisional dengan meninggalkan pakaian mereka dan mengambilnya semula pada keesokan harinya.
"Kaedah seperti itu sering dilakukan oleh para pelanggan yang bekerja dan mereka yang sudah biasa dengan cara tradisional walaupun mengetahui kita menyediakan konsep perkhidmatan layan diri," katanya.
Menurut usahawan gigih ini, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan dobi secara tradisional akan dikenakan bayaran sebanyak RM1 untuk setiap 1kg pakaian.
"Kita menyasarkan pelanggan-pelanggan yang bekerja, pelajar dan keluarga yang tinggal berdekatan dengan kafe dobi ini.
"Kami juga menyediakan perkhidmatan seterika pakaian, perkhidmatan membasuh permaidani dan ruang untuk pelanggan membaca manakala bahan bacaan terbaharu juga disediakan.
"Ketika menunggu pakaian siap dicuci yang melibatkan masa 30 hingga 40 minit bergantung kepada jenis pakaian, para pelanggan boleh bersantai di ruang membaca itu," ujarnya.
Kafe dobinya itu juga menyediakan perkhidmatan membersihkan permaidani.
Bapa kepada dua orang anak ini memberitahu, bayaran untuk perkhidmatan mencuci permaidani itu adalah antara RM15 hingga RM115.
Mengulas lanjut, Danny memberitahu, sejak mula dibuka, sambutan yang diterimahnya daripada penduduk adalah menggalakkan.
Pelanggan cadang menu
Ujar Danny, apa yang membuatkan kafe dobi itu menjadi bertambah unik adalah apabila dia mengambil berat tentang komunikasi dengan para pelanggannya.
Dia menjelaskan, komunikasi seperti itu juga menyebabkan terdapat beberapa menu yang ditawarkan di kafenya itu datang daripada pelanggannya sendiri.
"Ada sebahagian menu yang dicadangkan oleh para pelanggan antaranya sandwic daging pekasam, ayam panggang dan spageti carbonara yang didatangkan dengan pilihan kuah yang berbeza iaitu klasik, sosej dan ayam," tambahnya.
Selain menu popular, Danny berkata, kafenya itu turut menawarkan makanan mi yee Shanghai, mi daging masak halia, salad caesar dan pasta.
Dia berkata, pihaknya turut menawarkan pelbagai jenis masakan Barat, Asia dan pencuci mulut kepada pelanggan.
"Terdapat lebih 50 jenis makanan dan minuman yang ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan pada harga dari RM1.50 sehingga RM24.50.
"Kita juga akan menukar menu promosi setiap tiga bulan sekali," jelasnya.
Dia berkata, tujuannya berbuat demikian adalah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
"Menu utama yang disediakan oleh tukang masak akan diperbaharui setiap enam bulan sekali," tambahnya sambil memberitahu, kafenya itu boleh memuatkan seramai 50 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Danny yang mempunyai pengalaman di dalam bidang perhotelan selama 25 tahun itu berkata, pihaknya turut menyediakan pakej perkhidmatan untuk acara seperti majlis pertunangan hari jadi.
Majlis itu, kata Danny, boleh diadakan di premisnya itu dengan kadar bayaran sebanyak RM15 hingga RM60 bagi setiap seorang bergantung kepada menu yang dipilih oleh pelanggan.
"Perkhidmatan yang turut disediakannya itu termasuklah dekorasi untuk majlis-majlis tertentu," tambahnya.
Selain itu, Danny turut menawarkan perkhidmatan penyediaan makanan untuk majlis-majlis yang diadakah di luar kedainya itu.
"Kita juga menawarkan perkhidmatan penyediaan makanan untuk majlis yang mempunyai jumlah tetamu sebanyak 20 hingga 2,000 orang," ujarnya.
Sesuai dengan perkembangan teknologi internet, dia turut menggunakan laman sosial Facebook dan pengedaran risalah sebagai medium untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkannya kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Danny berkata, dia sedia memberikan bantuan dan peluang kepada para peniaga yang berminat untuk menjalankan perniagaan sepertinya.
Bagaimanapun, katanya, dia menetapkan syarat bahawa para peniaga itu perlu mengekalkan 50 peratus daripada menu makanan dan minuman yang ditawarkan di Wash Ur Gossips.
Dalam pada itu, seorang pelanggan, Shahrizal Zambahari, 48, memberitahu, dia amat menggemari konsep unik yang diperkenalkan di Wash Ur Gossips.
Menurutnya, konsep yang diperkenalkan itu berlainan daripada kedai-kedai dobi lain.
"Konsep yang dipilih itu memberikan kelainan kepada para pelanggan kerana ketika menunggu pakaian yang dicuci itu siap, mereka boleh menjamu selera.
"Setakat ini, saya tidak pernah lagi menemui kafe dobi seperti itu di sekitar Shah Alam," tambahnya.
Shahrizal juga mengaku tentang kelazatan makanan yang ditawarkan di kafe milik Danny itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: