Sunday, September 1, 2013

Nurfarini minat kerja kebajikan


NURFARINI agak berhati-hati meluluskan dana untuk membiayai projek yang dimohon belia Malaysia bagi memastikan hasilnya benar-benar memberi impak positif kepada golongan itu.


PENGALAMAN ketika menyertai projek kemanusiaan di Yala, Selatan Thailand telah membuka hati Nurfarini Daing untuk terlibat dengan lebih aktif dalam kerja-kerja kebajikan.
Wanita berumur 36 tahun itu kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif myHarapan yang merupakan sebuah pertubuhan kebajikan bukan kerajaan yang bukan berasaskan keuntungan.
Sejak remaja lagi, dia yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini sudah melakukan kerja-kerja kebajikan.
Ketika itu, dia mengikuti ibunya, Norraesah Mohamad mengedarkan pek berisi makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
“Ibu dan ayah sering mengagih-agihkan pek-pek berisi makanan kepada golongan merempat dan miskin di sekitar Petaling Jaya.
“Saya pernah cuba untuk mengelak melakukan perkara itu kerana berpendapat, perbuatan itu harus dilakukan individu lain dan bukannya saya.
“Malaysia memiliki 20 juta penduduk. Justeru, mengapakah pula saya yang menjadi mangsa,” cerita Nurfarini.
Bagaimanapun, sikap negatif itu bertukar menjadi positif sebaik sahaja dia melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
“Ada satu projek yang masih segar dalam ingatan saya iaitu terlibat dalam projek kemanusiaan di Yala, Selatan Thailand.

Keinsafan
“Melihat kesukaran kehidupan masyarakat di kawasan perkampungan daerah itu, terus membekaskan titik keinsafan kepada diri saya.
“Persepsi saya terhadap kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan kemudiannya berubah,” ujar Nurfarini.
Ironinya, dia mengambil masa selama beberapa tahun sebelum dapat dapat menjadikan myHarapan sebagai sebuah pertubuhan kebajikan tiga tahun lalu.
“Saya menyambung pelajaran, bekerja dan mempunyai perniagaan sendiri tetapi tidak puas kerana pengalaman di Yala itu masih segar bermain-main dalam ingatan sebelum saya bertekad terlibat sepenuh masa dengan pertubuhan bukan kerajaan.
Wanita ini mengaku sepanjang terlibat dengan myHarapan, ada masanya dia perlu berjauhan dengan suami dan dua orang anaknya.
Dua watak
Menurutnya, dia pernah bertugas di New York, Amerika Syarikat selama 10 hari.
Namun, Nurfarini bersyukur kerana suaminya, Hamdi Mokhtar mampu menjaga anak-anaknya semasa ketiadaannya di rumah.
Dia turut menceritakan perkenalannya dengan Hamdi.

NURFARINI berharap myHarapan terus kekal untuk membantu lebih ramai golongan belia pada masa hadapan.


“Saya hanya mengenalinya melalui laman sosial ICQ. Setelah enam bulan berkenalan, kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
“Suami saya juga menetap di Petaling Jaya sekali gus memudahkan kami untuk berjumpa dan mengenali hati budi masing-masing sebelum berkahwin,” katanya.
Menyentuh tentang myHarapan, Nurfarini berkata, pertubuhan itu memberikan bantuan kepada golongan belia.
“Kami bukan sekadar menyediakan dana yang berbentuk wang kepada belia semata-mata. Kami juga mendidik mereka menjadi usahawan atau belia yang aktif membantu masyarakat.
“Sebagai contoh, sebagai usahawan, mereka mencipta produk atau perkhidmatan yang bermanfaat untuk masyarakat terutamanya belia.
“Mereka juga dapat menggaji pekerja dalam kalangan belia dan membantu masyarakat sekeliling melalui bantuan derma atau aktiviti kemasyarakatan lain. Ia akan membantu negara dalam aspek ekonomi dan sosial,” ujarnya.
Dana yang disediakan myHarapan bagi membantu belia adalah sebanyak RM500 sehingga RM50,000 untuk belia yang berumur 16 hingga 30 tahun.
Dana untuk usahawan pula adalah sehingga RM250,000.
Menurut Nurafarini, pihaknya turut memberikan dana untuk projek-projek pelik tetapi kreatif.
“Sebagai contoh, ada pemuda di Sabah yang memperkenalkan projek satu rumah satu lembu.
“Sisa buangan haiwan itu boleh menjadi sumber biogas yang boleh digunakan untuk memasak air dan makanan di rumah.
“Sekiranya berhasil, penduduk kampung tidak perlu menggunakan tong gas untuk memasak manakala lembu itu boleh menjadi sumber makanan,” ujarnya.
Dia menjelaskan, terdapat juga seorang belia yang memperoleh dana untuk projek menanam sayur-sayuran di kampungnya.
“Belia itu turut membawa kanak-kanak dan remaja bandar untuk mempelajari cara-cara menanam sayur-sayuran, menjaga serta mengutip hasilnya.
“Kanak-kanak malah individu dewasa dari bandar dewasa sekarang tidak mengenali sayur-sayuran dan ulam seperti pucuk pegaga, petai dan pucuk ubi.
“Mereka hanya melihatnya di pasar raya tanpa mengetahui tentang kesukaran petani untuk menanamnya
“Selain itu, jika berbudi pada tanah banyak juga hasilnya,” jelas Nurfarini sambil berfalsafah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: