Saturday, September 7, 2013

Honda Civic Tourer: Civic untuk Eropah


PENAMPILAN Civic Tourer nyata menawan.


CIVIC merupakan antara model paling laris Honda sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Model itu dijual di serata dunia sama ada di Amerika Syarikat, Asia Barat, Afrika, Eropah dan Asia.
Civic ialah model global. Lazimnya model-model lain seperti Accord, CR-V dan Jazz, semua pasaran akan menerima model yang sama tetapi dengan aksesori yang berbeza.
Walau bagaimanapun strategi produk untuk Civic tidak sama apabila model Eropah langsung berbeza dengan pasaran lain.
Pengguna di Eropah menerima model hatchback dengan rekaan yang jauh berbeza berbanding Civic sedan di pasaran lain. Melebarkan lagi jurang pasaran Eropah dengan benua lain ialah varian Civic terbaharu iaitu Civic Tourer yang dikongsi kepada umum pada September lepas.
Dijangka mula dijual pada awal tahun depan, model itu dibangun dan direka bentuk di Eropah oleh tenaga kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honda Eropah. Ia akan diproduksi di kilang Honda di Swindon, United Kingdom yang turut memasang CR-V dan Jazz.
“Saya begitu bangga dengan reka bentuk luaran Civic Tourer yang sporty, kemas dan dinamik. Ia tidak menampakkan sifat dalamannya yang pelbagai fungsi dan versatil.
“Untuk mengeluarkan sesuatu keistimewaan daripada kereta kompak, pereka bentuk akan menggunakan ruang kabin yang ada dengan sebaik mungkin. Proses ini biasanya akan menjejaskan reka bentuk.
“Oleh kerana platform Civic yang pintar, para pereka bentuk mempunyai kebebasan untuk mengoptimumkan pakej yang diberi. Hasilnya ialah sebuah kereta yang mempunyai pengaruh kereta sport. Bagi saya, kekuatan kereta ini terletak pada sinergi di antara kebolehgunaan dan versatilitinya,” kata Ketua Projek Civic Tourer, Adrian Killham.
Reka bentuk luaran Civic Tourer nampak kemas dan sporty. Gayaannya dipengaruhi oleh garisan yang bersambung dari tiang A hinggalah ke tiang D, seolah-olah seperti garisan bumbung yang terapung.
Cermin belakang menutupi tiang D, manakala bingkai bonet belakang pula dinaikkan kepada 17 milimeter (mm) berbanding Civic hatchback bagi menampakkan garisan yang menonjol.
Civic Tourer menggunakan teknik sama dengan Civic hatchback yang mempunyai tangki minyak di bahagian tengah kereta.
Tangki tersebut dipasang di bawah kerusi hadapan yang membolehkan saiz ruang kabin menjadi luas dan kerusi boleh lipat ke atas yang dipanggil Magic Seats.

DIPASARKAN ke Eropah, jentera ini dilengkapi enjin daripada keluarga Earth Dreams Technology ciptaan Honda.


Keluasan ruang kargo dikatakan boleh memuatkan dua basikal bukit bersaiz penuh atau tiga buah beg Samsonite besar. Kapasitinya dari lantai ke bumbung adalah 624 liter dan meningkat kepada 1,668 liter jika kerusi belakang direbahkan.
Earth Dreams Technology
Menyentuh tentang janaan kuasa pula, Civic Tourer dibekalkan dengan dua opsyen enjin iaitu 1.6 i-DTEC daripada famili Earth Dreams Technology atau 1.8 i-VTEC yang dipadankan sama ada dengan transmisi manual atau automatik.
Enjin i-DTEC diesel buat pertama kalinya dipasang pada Civic hatchback dan C-RV. Enjin tersebut merupakan siri pertama enjin Earth Dreams Technology yang diperkenalkan di Eropah.
Falsafah di sebalik teknologi tersebut adalah untuk mengimbangi aspek kuasa dan penjimatan bahan api yang nyata sesuai dengan imej Civic Tourer.
Komponen enjin 1.6 i-DTEC terdiri daripada penutup silinder dan blok aluminium. Ia merupakan enjin diesel paling ringan dalam kelasnya.

RUANG kargo menjadi seluas 1,668 liter jika tempat duduk belakang dilipat.


Geseran mekanikal dikurangkan, sekali gus menjadikannya setara dengan enjin petrol. Kesemua peralatan yang berputar telah dioptimumkan untuk mengurangkan geseran bagi membolehkan penggunaan bahan api dijimatkan. Pada masa yang sama seronok untuk dipandu. Harus tahu bahawa enjin 1.6 i-DTEC sebenarnya direka khusus untuk pasaran Eropah.
Civic Tourer menggunakan Adaptive Damper System (ADS) yang inovatif. Penggunaan rear adaptive system adalah yang pertama kali diperkenalkan pada kereta produksi. Ia mempunyai tiga talaan iaitu Comfort, Normal dan Dynamic. Ketiga-tiga talaan tersebut dibangunkan untuk memberikan lebih kestabilan dan keselesaan dalam pelbagai muatan dan keadaan pemanduan.
Hasilnya Civic Tourer tetap selesa sewaktu meluncur di lebuh raya selain tegar dan lincah apabila dipandu dalam keadaan pengendalian yang berprestasi.
Jika diikutkan, pasaran di Eropah lebih bertuah dengan model secantik ini, ditambah pula dengan enjin diesel yang menjimatkan.
Sebenarnya, pengguna tempatan tidaklah asing sangat dengan Civic Eropah kerana banyak pengimport kenderaan terpakai membawa masuk Accord Euro R dan Civic Type-R Euro.
Tidak salah rasanya jika saya kata Malaysia adalah syurga Type-R memandangkan Honda Malaysia turut mengimport masuk Civic Type-R dari Jepun dan Malaysia adalah pengimport rasmi pertama model itu di dunia.
Dengan sikap rakyat negara kita yang terbuka, tiada masalah rasanya untuk Civic Tourer dijual di Malaysia. Lihat sahaja begitu banyak Toyota Caldina terjual sejak beberapa tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: