Sunday, September 8, 2013
Fiesta Riuh Sakan capai matlamat
JITRA - Fiesta Riuh Sakan Utusan di Taman Tasik Darulaman di sini mencatatkan kejayaan apabila berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari program itu yang berakhir semalam.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, kemeriahan fiesta dirasai dari hari pertama apabila pengunjung dari Kedah dan negeri-negeri berjiran tidak putus-putus berkunjung ke tapak fiesta seterusnya mengambil kesempatan menyertai setiap aktiviti dianjurkan.
"Sambutan yang diterima memberangsangkan dan tujuan fiesta itu diadakan iaitu mendekati masyarakat terutama pembaca setia akhbar Kumpulan Utusan termasuk Kosmo! dan Kosmo! Ahad adalah berjaya," katanya ketika ditemui di tapak fiesta di sini semalam.
Beliau berkata, penganjuran fiesta itu juga adalah tanda terima kasih kepada pembaca setia akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu di negeri-negeri di Utara Semenanjung.
"Berdasarkan sambutan yang diterima, Fiesta Riuh Sakan ini akan diteruskan dan kita rancang untuk mengadakannya di sebelah timur pula," ujarnya.
Fiesta itu dirasmikan pada malam kelmarin oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah yang mewakili Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Usai perasmian, majlis diambil alih dengan persembahan artis-artis tempatan popular seperti Nassier Wahab, Farawahida, Lan Kristal, Awi Rafael dan One Nation Emcees.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti sampingan seperti cabutan bertuah, merakamkan gambar kenangan di studio mini Utusan, pemeriksaan kesihatan percuma dan membeli-belah di gerai jualan.
Acara penutup fiesta itu dimeriahkan dengan sesi bersama artis yang dijayakan oleh pelakon Nur Fathia, Aiman Hakim dan Ayu Raudah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: