|
KETIKA chef selebriti, Bobby Chinn mengembara ke wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, beliau sempat singgah di sebuah pulau yang didiami biawak komodo yang terkenal itu.
Pulau Komodo yang terletak berhampiran Irian Jaya dinamakan sempena biawak terbesar dunia itu.
Semasa menyelam berhampiran pulau berkenaan, perasaan Bobby tambah teruja tatkala melihat bentangan dasar laut yang indah.
Hatinya terus terdetik: ‘Apa akan terjadi jika tiada kawalan terhadap aktiviti menangkap ikan di laut?’
“Ia akan menjadi bencana besar jika cara penangkapan ikan dan pemakanan kita tidak diubah dari sekarang,” katanya ketika melancarkan kempen Selamatkan Makanan Laut Kita 2.0 (S.O.S) anjuran Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) di Kuala Lumpur bulan lalu.
Kempen S.O.S bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenis ikan yang boleh dimakan bergantung kepada tahap bilangannya di perairan dunia berdasarkan Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam dan Sumber Semula Jadi (IUCN).
Kod warna
Sekeping risalah panduan bersaiz tapak tangan dicetak dalam kuantiti yang banyak telah diedarkan kepada orang ramai.
Ia memaparkan senarai jenis ikan dalam pasaran yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Disyorkan, Kurangkan dan Elakkan.
Bagi memudahkan penggunaan risalah tersebut, setiap kategori diberikan kod warna yang berbeza iaitu hijau, kuning dan merah.
Kod warna ini memudahkan golongan suri rumah membuat rujukan pantas ketika membeli makanan laut di pasar.
Antara maklumat yang disenaraikan ialah spesies, kaedah penangkapan dan kawasan tangkapan makanan laut tersebut.
Antara yang berada dalam kategori Disyorkan atau kod hijau ialah tilapia, lala, kerang, patin, salmon, tuna dan sardin, manakala senarai Kurangkan (kuning) terdiri daripada ikan tamban, tongkol kurik, kembung dan udang putih.
Ikan seperti mameng, sunah, kerapu tikus, yu, kerapu bebeh dan senderong dimasukkan dalam bahagian Elakkan (merah).
Bagi kemudahan pengguna, risalah itu diterbitkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.
Senarai tersebut dibuat mengikut kaedah antarabangsa dalam menilai tahap kelestarian makanan laut.
Kategori Disyorkan dibuat berdasarkan stok ikan yang diuruskan secara mampan dan tidak ditangkap secara berlebihan, selain pilihan terbaik untuk dijadikan hidangan.
Bahagian Kurangkan terdiri daripada ikan yang berisiko untuk tidak menjadi mapan dan hanya dipilih apabila pilihan Disyorkan telah tidak ada.
Semua jenis ikan yang tidak diuruskan dengan kaedah lestari dan ditangkap secara berlebihan dimasukkan dalam kategori Elakkan.
Sasaran
Pengguna merupakan kumpulan sasaran kerana umum mengetahui bahawa jika tiada permintaan, maka penangkapan tidak akan dibuat.
Kadar purata rakyat Malaysia memakan ikan adalah kira-kira 52 kilogram (kg) setahun. Permintaan terhadap ikan di negara ini dijangka meningkat kepada 1.68 bilion kg pada tahun 2020.
Kempen S.O.S pertama dilancarkan pada Jun 2010. Jika dibandingkan, panduan kempen sulung hanya memaparkan sebanyak 44 peratus jenis ikan yang berada dalam Senarai Merah IUCN.
Pada panduan kempen S.O.S 2.0 pula, terdapat sebanyak 52 peratus jenis ikan yang berada dalam Senarai Merah berkenaan, manakala penilaian dibuat meliputi 100 peratus spesies penting dari segi komersial di Malaysia.
Lebih 140,000 keping risalah panduan makanan laut itu dicetak dan diedarkan ke semua cabang berkaitan perikanan.
Di samping itu, kempen ini juga melibatkan aktiviti promosi, pameran dan seminar jelajah di seluruh negara.
“Fasa pertama kempen menunjukkan peningkatan kesedaran pengguna, sekali gus dapat menarik lebih banyak perhatian daripada penggiat industri terhadap kepentingan kelestarian makanan laut,” kata Ketua Konservasi WWF Malaysia, Dr. R. Sundari.
Memantau bekalan
Dalam pada itu, Penasihat Marin Kanan WWF, Carol Phua berkata, data dan maklumat yang dikeluarkan Jabatan Perikanan pada tahun 1997 sudah dianggap tidak relatif dengan keadaan pada tahun 2013.
Walaupun menghadapi kesulitan, berdasarkan data yang ada, satu penilaian telah dibuat pihak WWF bagi melihat tahap bekalan ikan yang masih ada di laut.
Kerjasama juga dibuat dengan pelbagai badan berkaitan termasuk Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Yayasan Laut Utara dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Kajian yang dilaksanakan turut meneliti kaedah-kaedah penangkapan ikan yang digunakan pada hari ini seperti jenis jala dan perangkap, selain isu pengeluaran lesen tangkapan dan kawasan penangkapan ikan.
Menurut Phua, kajian selama enam bulan telah dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran yang menyeluruh dan meliputi semua pihak yang terlibat.
Pada tahun yang sama kempen kali pertama dibuat, satu kaji selidik mendapati lebih 70 peratus pengamal industri perikanan bersedia atau akan mengurangkan pengambilan makanan laut jika menyedari bekalan semakin berkurangan.
Hanya 27 peratus responden menyedari bahawa bekalan ikan negara sedang mengalami penurunan yang menakutkan.
“Maka, kempen kali ini dengan penambahan jenis ikan dalam Senarai Merah ini dilihat sebagai satu langkah yang baik,” ujarnya.
Ketika ditanya berkenaan hidangan warisan yang menggunakan spesies ikan tertentu, Chin menjawab, kawalan perlu diambil terhadap perkara terbabit.
“Jika tidak, masyarakat tidak akan dapat menikmati hidangan tersebut buat selama-lamanya,” tegas beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: