LARUT dalam kebiasaan, lagu-lagu raya lama dan malar segar masih dimainkan di radio dan skrin televisyen untuk menggambarkan kemeriahan bulan Syawal.
Namun, bagi memeriahkan suasana hari raya dan industri itu sendiri, tidak terkecuali anak-anak muda yang mendukung generasi seni tempatan melakarkan rasa raya mereka ke dalam lagu.
Kedua-dua 'grup' ini muncul dengan lagu baharu untuk memeriahkan suasana perayaan selain dapat mengeratkan hubungan sesama teman selebriti.
The Noisy Project
Lagu: Sama-sama Raikannya
Lagu raya ini mengingatkan kita kepada lagu Warna-Warni Aidilfitri. Bukan kerana melodi atau iramanya tetapi berkaitan dengan kolaborasi beramai-ramai artis tempatan dalam menyanyikan lagu raya yang baharu.
Lagu dengan tajuk Sama-sama Raikannya ini dinyanyikan bersama oleh Dina Nadzir, Harris Aliff, Datuk Aznil Nawawi, Nabil, Soo Wincci, Ezlynn, Farhan, Bob AF, Fazley Zainal dan Mimi ONE.
Lagu sempena Syawal ini ditulis bersama oleh Dina Nadzir dan Franciss Cobb. Malah, ia merupakan runut pertama tulisan Dina yang memuatkan elemen keutuhan ke dalam lagu ini.
"Saya kenal Franciss lapan tahun yang lalu. Sebenarnya lagu ini sudah saya siapkan sebelum saya menjadi penyampai radio Era tetapi waktu itu saya nyanyikan bersama arwah Izwan Pilus, Farah Asyikin, Bob dan ramai lagi," cerita Dina.
"Setelah saya bertugas sebagai penyampai radio, lagu itu mengalami masalah untuk dilancarkan kerana saya turut terlibat dengan lagu raya Era. Malahan arwah Izwan juga sudah tiada dan Farah Asyikin juga sudah tidak menyanyi. Hanya pada tahun ini lagu ini dinyanyikan semula oleh artis yang berbeza," jelas Dina tentang lagu perdana tulisannya.
Dalam kesyukuran Dina menjelaskan bahawa dia tidak menyangka bahawa nama-nama besar serta segar akan bersatu menyanyikan lagu nukilannya bersama Franciss.
"Terkejut sangat sebab dulu dinyanyikan rakan-rakan sebaya dan sama taraf dengan saya. Tetapi, kini dinyanyikan oleh pelbagai artis. Lagu ini akan dimainkan di radio bermula pada minggu depan," jelas Dina.
|
Rakan penyanyi
Selama enam tahun dalam industri, buat kali pertamanya, Nabil menyanyikan lagu raya. Dalam kemeriahannya menantikan raya bersama puteri hatinya dan isteri, dia juga teruja menjadi sebahagian daripada pasukan nyanyian The Noisy Bunch tersebut.
"Saya sebelum ini kurang berminat untuk menyanyikan lagu raya tetapi apabila saya dengar bahawa Aznil terlibat dalam projek ini, maka saya bersetuju. Saya mengisi nyanyian rap dalam lagu Sama-Sama Raikannya ini," ujarnya yang teruja kerana dapat berkolaborasi dengan nama-nama besar.
Aznil juga terlibat dengan kolaborasi lagu raya ini pada saat-saat akhir. Mengenang kembali penglibatan Aznil bersama The Noisy Bunch, sebelum ini kerjasama itu pernah terjalin dalam filem animasi Kampung Boy dan kini berlarutan ke dalam lagu.
"Lagu Sama-Sama Raikannya ini menangkap. Ia juga tidak susah untuk dinyanyikan atau menyeksakan kerana ia dinyanyikan beramai-ramai. Kiranya saya seperti buat penampilan khas," ujar Aznil yang kini sibuk dengan rancangan televisyen dan penjualan keknya yang dinamakan kekwat.
Ezlynn yang pernah bekerjasama dengan Aznil dalam filem animasi Kampung Boy itu merupakan penyanyi kedua yang mengisi vokal buat lagu ini.
"Saya suka lagu ini kerana ia ada semua elemen. Ia berlainan dan ada stail. Awalnya saya yakin dipanggil untuk menyanyikan bahagian rap, rupa-rupanya itu untuk Nabil," tambah Ezlynn yang pernah terlibat dengan nyanyian lagu raya beramai-ramai.
Abstrak Hingga ke Bulan
Lagu: Indahnya Hari Raya
Selain bakal muncul dengan album kedua yang akan menemui peminat selepas Syawal kelak, grup Abstrak Hingga Ke Bulan melepaskan dahulu produk raya yang dinyanyikan bersama Zahid AF2 ke udara.
Lagu ini merupakan sebuah kolaborasi antara grup yang dibentuk pada tahun 2006 bersama penyanyi baharu mereka, Deeba dan disatukan dengan Zahid AF2.
"Sebenarnya, lagu raya ini sudah lama saya buat. Asalnya, saya menyanyikan lagu ini bersama Maizawati (bekas isteri Akhil Hay) namun, ia tidak dapat dilancarkan. Jadi, Abstrak Hingga Ke Bulan mengambil keputusan menyanyikan bersama Zahid," ujar Zarul.
"Lagu ini berentak pop rock dan tidak sedih. Uniknya, lagu ini berawal dengan takbir raya," ujar Deeba yang sudah dua tahun bersama grup ini dan merupakan vokalis terbaharu.
Selain sibuk mempromosikan lagu raya pada bulan Syawal, grup ini juga semakin teruja dengan album yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
"Album kedua kami ini bakal berisi 13 buah lagu. Selain lagu baharu, kami turut menyanyikan semula lagu Hingga Akhir Nanti (Allyecats)," ujar Zarul yang menegaskan bahawa grup ini masih berempat.
"Tahun lepas, kami jual single kami dan sebanyak 300 unit sudah terjual. Ini memberikan keyakinan kepada kami untuk keluar dengan album. Kami masukkan 13 buah lagu kerana semua ini untuk para peminat," ujar Zarul lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: