Sunday, July 28, 2013
Opick takut godaan
LENGKAP berserban putih, berselempang dan bersarung, lelaki dengan nama Opick itu cukup bersederhana. Penampilannya kelihatan biasa berbanding tanggapan tinggi dunia muzik Indonesia dan Malaysia terhadap karya-karyanya yang cukup dikenali ramai.
Lagu-lagunya seperti Ubat Hati, Takdir, dan Tiada Duka Yang Abadi merupakan antara lantunan cukup mengeratkan nama Opick terhadap pencinta lagu-lagu ketuhanan dalam persada muzik tanah air.
Opick atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus, 30, sendiri seorang yang cukup islamik tetapi dia melihatkan keramahan dan kesediaannya bertemu serta melayani soalan-soalan berbaur sensasi, ternyata dia bukan yang seorang konservatif atau terlalu serius dengan jalan kerohanian yang dipilihnya.
Ada sisi komedi dalam keinsafan yang dikembangkannya itu. Bicaranya berbunyi santun namun ia menikam jauh.
"Soalan itu cuba mengajak saya bercakap soal poligami," kata Opick merujuk kepada soalan-soalan wartawan baru-baru ini tentang godaan dunia serta kemaruk peminat wanita terhadap dirinya.
Ditanya, apa hukumnya seorang penghibur yang berdakwah menerusi lagu atau ceramah tetapi membuahkan ketaksuban peminat terhadap diri mereka, Opick memiliki pandangan yang cukup santai.
"Jika peminat yang tergila-gilakan ustaz, itu bukan masalah ustaz itu. Jika selama satu jam mendengar ceramah, apa yang dibawa pulang oleh seseorang peminat itu cumalah ustaz itu tampan atau ustaz itu tampan. Hal itu tidak menjadi kesalahan buat ustaz itu, sebaliknya ia berlaku ke atas peminat itu tadi. Apakah hanya itu mereka peroleh?" balas Opick menangani soalan yang ditujukan kepadanya.
Jika hal yang sama terkena pada batang hidungnya sendiri, Opick memilih jalan untuk mengelak daripada melayani godaan para peminat wanita.
"Ramai yang ajak saya menikah. Mahu mengadu masalah. Saya beritahu kepada mereka, jika bermasalah mengadulah kepada Tuhan. Saya tidak mahu terlibat, susah jadinya.
"Kalau ada yang jatuh cinta sama saya, jujurnya saya tidak tahu tentang masa depan. Sampai ke saat ini, isteri saya cuma satu. Semoga Allah berikan saya kekuatan dan persiapan diri, saya juga takut dengan godaan," akui Opick sambil menoleh ke arah isterinya, Dian Rosita, 30, yang duduk tersenyum di sisinya.
Pasangan itu hadir ke Kuala Lumpur sempena pelancaran album ke-11 Opick berjudul Ya Maulana. Album yang mengandungi 10 buah lagu termasuk Ku Tak Pernah Layak dan Ajari Aku itu diedarkan secara eksklusif oleh Inteam Records di Malaysia.
Biarpun sudah hampir 10 tahun bergiat aktif dalam muzik nasyid, Opick masih melihat muzik sebagai ruang yang penuh dengan ujian.
"Mungkin sebab itulah, ada ulamak yang mengharamkan hiburan," katanya yang selalu mengingatkan diri bahawa dunia muzik ini harus diladeni dengan berhati-hati.
Tegas Opick berkali-kali: "Berdiri di ruang ini harus jaga diri, jaga hati, jaga niat, jangan bengkok."
Jauh terpesong daripada judul album yang sedang dipromosi, bekas penyanyi rock itu tidak mahu dianggap ustaz. Dia menulis sebagai peringatan untuk dirinya sendiri, berkongsi kerinduan dan cinta terhadap Allah, Rasul dan Islam.
"Saya bukan ustaz tetapi penyanyi. Jika diminta untuk memberi ceramah atau motivasi, saya tidak keberatan tapi jika ceramah agama, saya tidak mahu, lebih ramai orang yang bijaksana dan tinggi ilmu agamanya daripada saya," katanya.
Enggan mengambil sahaja peluang yang terbuka, Opick beranggapan muzik merupakan jalan terbaik buatnya.
"Saya lebih selesa bergelar seniman. Mudah untuk saya masuk ke mana-mana saluran, saluran hiburan boleh, saluran dakwah juga boleh," tambah Opick yang sedang dalam perancangan mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada Mac tahun depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: