Tuesday, July 23, 2013
Kibas panggang signatur TH Hotel & Residence
KIBAS mungkin satu nama yang agak asing dalam masyarakat di negara ini.
Biarpun bentuknya seakan-akan kambing biasa atau kambing biri-biri, namun dagingnya mempunyai rasa dan tekstur yang berbeza.
Bagi mereka yang mahu mencuba keenakan daging kibas ketika menikmati iftar nanti, bolehlah berkunjung ke rangkaian TH Hotel & Residence, hotel milik penuh Lembah Tabung Haji yang terletak di seluruh negara.
Menurut Ketua Pegawai Operasi TH Hotel & Residence Sdn. Bhd., Adly Mohamed, pihaknya telah mengimport lebih 200 ekor kibas dari Arab Saudi bagi menampung keperluan sepanjang Ramadan ini.
“Daging kibas bukan sahaja tidak berbau malah lebih kenyal berbanding daging lembu.
“Lebih penting, ia juga kurang mengandungi lemak di samping tidak membuatkan badan panas selepas menikmatinya,” katanya.
Tambah Adly, selain tarikan daging kibas, pihaknya juga menawarkan lebih 100 sajian tempatan dan Asia Barat yang dihasilkan oleh Eksekutif Chef TH Hotel, Shahrul Hisham dan pasukannya.
“Antara hidangan lain yang wajib dicuba ialah nasi mandi, makanan popular dari Yemen serta aneka nasi seperti nasi minyak, hujan panas, tomato, jagung dan beriani.
“Selain itu, pelanggan juga boleh merasai pelbagai hidangan tradisional dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia seperti asam pedas, masak lemak cili api, masak tempoyak, gulai kawah serta aneka kerabu dan ulam-ulaman yang pasti membangkitkan selera,” katanya.
Ujarnya, promosi selama hampir sebulan berjalan serentak di seluruh rangkaian TH Hotel & Residence iaitu di TH Hotel Kelana Jaya, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel Kota Kinabalu dan TH Hotel Alor Setar.
“Selain berbuka puasa, pengunjung juga boleh beramal kerana sebanyak RM1 daripada harga bufet akan disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim yang memerlukan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: