Tuesday, July 23, 2013

Demi Dia kesinambungan Azura 2012



TIGA pelakon utama drama rantaian Demi Dia (dari kanan), Zoey, Elfira dan Amar.


PEMINAT setia filem Azura 2012 boleh mengukir senyum apabila kesinambungan kisah Azura dan Zack bakal bertemu simpul menerusi sebuah drama rantaian 24 episod berjudul Demi Dia yang sudah bersiaran di TV3 bermula awal Julai lalu.
Demi Dia mengisahkan kehidupan seorang lelaki kaya yang tidak pandai berdikari bernama Zack (Zoey Rahman) yang berkahwin dengan Azura (Elfira Loy), namun pada masa sama perkahwinan itu ditentang oleh keluarga Zack.
Kakak tiri Zack, Wanda (Dynas) cuba memisahkan pasangan itu termasuk mengupah Sheila (Niena Baharun). Tanpa diduga, Zack terbabit dalam kemalangan dan Azura cuba mengembalikan ingatan suaminya, namun gagal.
Menjanjikan lebih drama dan konflik, ujar pengarahnya, Aziz M. Osman, pengakhiran drama Demi Dia sukar diduga dan keseluruhan penceritaan bukan klise.
"Kisah ini menekankan perjanjian sosial antara golongan kenamaan yang menjerat keluarga hingga sanggup memperdagangkan anak sendiri atas kepentingan peribadi.
"Demi Dia bukan semata-mata konflik berbeza darjat tapi ada tekstualiti serta suspens yang sukar dijangka," katanya yang ditemui di set penggambaran drama Demi Dia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tercabar
Aziz mengakui wujud tekanan ekoran rating luar biasa yang telah dikutip drama rantaian sebelum ini di slot Akasia TV3 iaitu Teduhan Kasih. Bagaimanapun, sutradara berbakat besar itu meletakkan tekanan sebagai satu motivasi.
Begitupun, ujar pelakon utamanya, Elfira Loy, menggantikan naskhah yang telah mengutip 4.1 juta tontotan pada episod akhir 2 Julai lalu, dia tidak menyandarkan harapan tinggi untuk penonton menerima bakat lakonannya dalam Demi Dia.
"Saya tahu penonton akan menjangkakan mutu lakonan dan penceritaan yang lebih baik daripada Teduhan Kasih memandangkan drama itu mendapat maklum balas positif daripada masyarakat.

AZIZ (duduk, kanan) bersama karyawan drama Demi Dia.


"Tapi apa yang boleh saya perkatakan, saya telah berikan yang terbaik dan berilah saya waktu untuk memperkembangkan karakter saya," ujar Elfira.
Memberikan reaksi terhadap pandangan penonton daripada episod sulung Demi Dia pada 3 Julai lalu yang menyifatkan Elfira tidak sesuai memegang watak wanita yang berumah tangga, pelakon itu tidak mudah melatah.
"Memang watak Azura seorang wanita yang telah berumah tangga dan saya telah menduga akan wujud isu kesesuaian watak dengan usia.
"Ingin saya tegaskan bahawa karakter saya ialah seorang gadis yang telah berkahwin ketika usia muda. Jadi, saya dan Zoey adalah pasangan muda yang baru berkahwin, beri peluang untuk watak itu berkembang," tambahnya.
Luar negara
Demi Dia turut membabitkan penggambaran di Jerman dan Austria selama seminggu. Sebanyak 30 babak perlu dihabiskan sepanjang penggambaran di sana dalam keadaan sejuk kurang daripada 4 darjah Celsius.
Berdepan cabaran cuaca di negara asing, kata Amar Baharin yang memegang watak Nazri dalam drama itu, faktor tersebut tidak mematahkan semangatnya.
"Kadang-kadang lidah sampai kelu untuk melontarkan dialog sebab cuaca yang terlalu sejuk ditambah pula hujan ketika itu. Pada masa sama, kami perlu menghabiskan babak yang banyak dalam tempoh singkat.
"Uniknya drama ini kerana dialog yang diberikan kepada kami dalam ayat-ayat yang puitis dan bukan bahasa pasar. Seronok apabila dapat menyampaikannya," tambah Amar.
Demi Dia mula bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 petang menerusi slot Akasia TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: