Tuesday, July 23, 2013

Sajian stimbot di Hotel Sheraton Imperial



LIMA chef profesional menunjukkan hidangan stimbot beraneka pilihan yang terdapat di Hotel Sheraton Imperial.


TEMA The All Stars Steamboat Affair yang diperkenalkan Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur menjadi taruhan untuk bufet Ramadan pada kali ini. Kelazatan stimbot bertambah istimewa kerana disajikan bersama enam jenis sup.
Sajian lengkap dengan pilihan sayuran segar yang enak dimakan bersama ikan siakap, salmon, daging, ketam dan udang menjanjikan sajian iftar anda berlainan dengan hari-hari sebelumnya. Bagi pencinta masakan pedas yang disuntik rasa masam manis pula bolehlah mencuba hidangan popular Sheraton Imperial iaitu asam pedas 'Jonker Street' dan tomyam Thai.
Sheraton Imperial turut menghidangkan kari nyonya Pulau Pinang dan sup daging 'Napoli' sebagai menu tambahan istimewa kepada pengunjung yang hadir. Tidak dilupakan lauk wajib seperti sup ayam dan ikan untuk mereka yang gemarkan selera tradisional ala kampung.
Bagi yang tercari-cari masakan utara, apa kata nikmati hidangan nasi beriani dan nasi kandar Pulau Mutiara. Sajian tersebut disediakan oleh lima chef profesional yang terdiri daripada Chef Kabir, Chef Jamsari, Chef Alessandro dan Chef Loo.
Bagi mereka yang berhajat untuk makan di rumah boleh dapatkan nasi Mandi Ramadan di Toastina Café & Bar pada harga RM15 seorang. Ia mula dijual pada pukul 4 hingga 6 petang sehingga 6 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: