Sunday, July 28, 2013

Rentung selepas bangun sahur


ANGGOTA bomba memeriksa mayat tiga mangsa rentung di dalam bilik air di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Sandakan semalam.


SANDAKAN - Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun rentung dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Muhibbah di sini semalam.
Mereka yang terkorban dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi itu ialah dua beradik iaitu Juliana Sikin, 24, dan Kamisah, 16, serta anak saudara mereka, Nurnilam Sari, 6. Juliana merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Lebih memilukan, mayat ketiga-tiga mangsa yang baru selesai bersahur itu ditemui berpelukan di dalam bilik air di rumah berkenaan dipercayai terperangkap dalam asap tebal.
Difahamkan, rumah atas air itu turut dihuni oleh beberapa keluarga lain yang tinggal di bilik berasingan tetapi tiga mangsa yang rentung itu berada di dalam sebuah bilik sama.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Nordin Pauzi berkata, kebakaran tersebut dikesan bermula dari rumah mangsa sebelum merebak ke sebuah rumah berhampiran.
"Sebaik tiba di lokasi, rumah yang didiami tiga mangsa tersebut telah musnah sepenuhnya namun api dapat dikawal daripada merebak ke rumah-rumah berhampiran.
"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam salah sebuah rumah yang musnah, membawa kepada penemuan tiga mayat yang sudah rentung," katanya di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: