|
BUAT pertama kali sejak 12 tahun berada dalam dunia seni hiburan, lelaki yang mempunyai pelbagai bakat, Roslan Shah berpeluang muncul sebagai pengacara televisyen di bawah produksi AFS Pictures Sdn. Bhd. milik Boy Iman.
Dia yang tampil mengacarakan program terbaru iaitu Diva De Vida berharap, dapat memberi fokus sepenuhnya sebagai pengacara.
Menurutnya, sudah tiba masanya untuk dia menunjukkan bakat dalam bidang pengacaraan, bakat yang sememang dimiliki selebriti itu sejak dari dulu lagi.
"Saya mengaku, banyak produksi yang tidak nampak bakat saya dalam bidang pengacaraan, dan saya berharap, masyarakat di sekeliling terutamanya para peminat saya, dapat menerima penampilan baharu saya ini secara terbuka. Saya sememangnya berhasrat untuk menjadi seorang pengacara hebat, lincah dan dapat menghiburkan semua peminat pada suatu hari nanti," katanya.
Bercakap mengenai program yang bakal dihoskannya itu, Roslan menjelaskan, program tersebut akan bersiaran pada setiap Isnin selama 30 minit bermula pada 26 Ogos ini. Selama 13 episod bersiaran, program tersebut akan membawakan segmen bicara molek, rawat cantik dan chewah pamoga.
Program itu bukan sahaja berkongsi tip tip kecantikan untuk golongan wanita, malah golongan lelaki juga dapat memperoleh sedikit sebanyak manfaat.
Sambutan hari raya
Bercerita mengenai persiapan hari raya, dia akan menyambut Aidilfitri di Singapura. Menurutnya, kesederhanaan dalam kemeriahan sambutan adalah yang terbaik, memandangkan ibunya sedang sakit sekarang.
Harapannya, dia dapat menyambut hari lebaran itu nanti bersama ibunya yang tercinta.
Bertanyakan menu yang wajib ada semasa hari raya nanti, dia akan memastikan kuih-muih seperti makmur, tart, dan baulu ada semasa pagi lebaran. Ujarnya, selain kuih-muih, masakan lain yang perlu ada juga adalah seperti ketupat, rendang dan kari daging.
"Semua menu ini akan disediakan oleh ibu saya sendiri. Masakan air tangan ibu adalah yang paling sedap berbanding masakan orang lain," kata Roslan.
Ditanya mengenai kemeriahan sambutan hari raya di dua negara berbeza iaitu Singapura dan Malaysia., Roslan berkata, dia lebih merasai kemeriahan Aidilfitri di Malaysia berbanding di Singapura.
"Walaupun dilarang bermain mercun dan bunga api, kedua-duanya boleh bawa kemeriahan raya. Tapi, janganlah pula main mercun buatan sendiri," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: