- Saharuddin menunjukkan perbezaan produk yang mempunyai logo halal sebenar dan nombor siri kelulusan (kanan) dengan produk yang didakwanya menyalah guna logo halal berkenaan.
Saharuddin tindakan itu seolah-olah mempersendakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali gus mengelirukan pengguna.
Menurutnya, ada bahan makanan didapati tidak mematuhi aspek logo halal Jakim dan logo halal itu diletakkan sebelum mendapat kelulusan dipercayai bagi meyakinkan pengguna.
"Apabila pemeriksaan dilakukan, kita mendapati pengeluar produk dan pengusaha masih belum mendapat kelulusan Jakim. Bukan sahaja makanan, malah logo halal juga didakwa disalah guna pada produk kesihatan, jualan langsung dan juga hotel.
“Pengguna Islam yakin membeli produk makanan halal, jadi pihak terbabit tipu pengguna dengan meletakkan logo berkenaan pada produk jualan mereka,” katanya ketika mengadakan pemeriksaan berdasarkan aduan orang ramai mengenai beberapa produk di sebuah pasar raya di sini.
Saharuddin mendakwa terdapat lebih 30 produk menyalahgunakan logo halal dan Jakim perlu mengambil tindakan tegas berikutan isu itu bukan perkara baru.
Menurutnya, sejak Akta Perihal Dagangan 2011 dikuat kuasa, hanya logo Jakim sahaja dibenarkan, malah pengusaha dan pengeluar produk yang melakukan kesalahan itu boleh berdepan tindakan denda RM500,000 atau penjara.
“Sepatutnya pasar raya boleh memainkan peranan keluarkan produk seperti itu dan jika ragu boleh hubungi Jakim.
"Pengguna juga dinasihatkan memeriksa logo halal dengan memastikan ia mempunyai kelulusan nombor siri," katanya.
Terdahulu, beliau turut berpuas hati melihat peniaga mematuhi harga ditetapkan kerajaan ketika melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di sini.
"Kita juga akan memantau beberapa tempat lain dalam memastikan peniaga mematuhi harga kawalan dibenarkan.
"Malah kita lega apabila dimaklumkan barangan keperluan seperti minyak dan gula mencukupi di pasar raya berkenaan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: